Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Author: Amira Saryati Ameruddin

24 Usahawan Mikro dan Kecil Daerah Muar Timba Ilmu Baharu Melalui Kursus Kesedaran Halal dan Latihan Pengendali Makanan

PAGOH – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ), sebuah Pusat Latihan Halal (PLH) berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Pusat Kepimpinan Dan Kompetensi (PKK), telah menganjurkan Program Kursus Kesedaran halal dan Latihan Pengendali Makanan pada 06 Ogos 2025 yang lalu.

Program ini bertujuan mengukuhkan hubungan kolaboratif antara UTHM dan komuniti industri makanan daerah Muar dalam usaha menghasilkan makanan selamat melalui pemerkasaan amalan Halal secara berterusan dalam kalangan pengusaha mikro dan kecil,

Kursus ini telah disertai oleh 24 orang pengusaha dan pengendali makanan daerah Muar, antaranya daripada  pengusaha restoran, pengusaha produk ikan pekasam, pengusaha bakeri, pengusaha produk ketupat palas sejuk beku dan lain-lain lagi. Menurut salah seorang wakil penerima manfaat iaitu En Ibrahim bin Sudin selaku Pengerusi RT Progresif Parit Tarom, menyatakan program yang dianjurkan amat membantu pengusaha makanan mikro dalam memenuhi keperluan pemasaran produk tempatan. Beliau berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Penceramah terdiri daripada Dr. Munira binti Zainal Abidin yang merupakan Tenaga Pengajar Halal (TPH) JAKIM bertauliah dan Prof. Madya Ts Dr Faridah binti Kormin, yang merupakan TPH dan juga tenaga pengajar sekolah pengendali makanan bertauliah Bahagian Keseihatan dan Keselamatan Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengarah program, Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad, menyatakan bahawa para peserta menunjukkan komitmen tinggi serta kerjasama yang baik sepanjang program berlangsung.

Penulis dan Penulis Bersama:

  • Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad
  • Dr. Hj. Muhammad Suhaimi bin Datuk Hj Sulong
  • Dr. Nur Hafizah binti Malik
  • Dr. Fazleen Izzany binti Abu Bakar
  • Prof. Madya Ts Dr Norazlin binti Abdullah
Program Kursus Kesedaran halal dan Latihan Pengendali Makanan pada 06 Ogos 2025 FAST UTHM
Program Kursus Kesedaran halal dan Latihan Pengendali Makanan pada 06 Ogos 2025 FAST UTHM

Perkongsian Kepakaran: Dr. Kamarul Rahim di Universitas Gadjah Mada

Yogyakarta, Indonesia, 20–22 Julai 2025 – Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Bin Kamarudin telah menerima jemputan rasmi sebagai invited lecturer di International Summer Course on Sustainable Fisheries and Marine Biodiversity Conservation yang dianjurkan oleh Fakultas Biologi, Universitas Gadjah Mada (UGM).

Pada 21 Julai 2025, beliau telah menyampaikan syarahan bertajuk Marine Bioprospecting Best Practices dalam salah satu sesi utama bertempat di Fakulti Biologi, UGM. Syarahan tersebut berlangsung dari jam 2.00 hingga 4.00 petang waktu tempatan dan mendapat sambutan daripada peserta antarabangsa melibatkan Australia, Jepun, Filipina, Indonesia, serta Malaysia.

Pengiktirafan Kepakaran Antarabangsa

Penglibatan Dr. Kamarul Rahim dalam kursus ini membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepakaran beliau dalam bidang bioprospek marin, serta mengangkat reputasi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di persada global. Kehadiran beliau bukan sahaja memperkukuh imej akademik UTHM, malah memberi peluang kolaborasi dengan penyelidik dan peserta pelbagai negara, khususnya dalam bidang perikanan lestari dan pemuliharaan biodiversiti marin.

Cadangan Kerjasama Strategik

Selain sesi syarahan, lawatan ini turut menghasilkan beberapa cadangan penting, termasuk:

  • Memperkasa program mobiliti antarabangsa pelajar melalui penglibatan bersama antara UGM dan UTHM.
  • Perbincangan pelaksanaan Program Dwi Ijazah (Double Degree Program) bagi pelajar program Sarjana Muda Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan dengan Kepujian (BWW), FAST-UTHM, bersama pelajar Fakulti Biologi, UGM.

MoU sedia ada antara UTHM dan UGM (Rujukan: ID 20230170) yang sah sehingga 9 Julai 2028 telah pun menjadi asas kepada penganjuran siri mobiliti inbound dan outbound secara tahunan. Pada tahun ini, enam pelajar daripada Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) turut menyertai International Summer Course tersebut sebagai sebahagian daripada program mobiliti jangka pendek yang berlangsung dari 21–25 Julai 2025.

Manfaat Jangka Panjang

Cadangan Program Dwi Ijazah ini bakal menjadi langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala UTHM–UGM, meningkatkan keterlihatan antarabangsa UTHM, serta memberi nilai tambah kepada pengalaman akademik pelajar. Pada masa yang sama, ia membuka ruang kerjasama penyelidikan dalam bidang sains laut dan disiplin lain yang berkaitan.

6 Pensyarah FAST UTHM Terlibat Dalam Program STI1003: Perkongsian Ilmu STEM Bersama Murid Sekolah

Muar, 7 Julai – Program STI1003 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah sekitar Muar dan Tangkak, sebagai usaha untuk meningkatkan minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan perkongsian ilmu secara langsung bersama saintis tempatan.

Program ini merupakan inisiatif yang menghimpunkan 100 orang saintis tempatan ke 100 buah sekolah dalam tempoh 100 hari, dengan matlamat memberi inspirasi, menyemai minat, dan meningkatkan pemahaman murid terhadap bidang STEM melalui aktiviti interaktif serta perkongsian pengalaman profesional.

Seramai 6 orang pensyarah dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM telah dijemput untuk berkongsi ilmu STEM berdasarkan kepakaran masing-masing, sekaligus menarik minat pelajar terhadap bidang ini:

  • Ts. Dr. Furzani binti Pa’ee – Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir
  • Dr. Nurul Nadia Adnan – Sekolah Kebangsaan Panchor
  • Dr. Fahmiruddin bin Esa – Sekolah Kebangsaan Paya Redan
  • Dr. Mohamad Zulhafiz Shafiq bin Zulhilmi Cheng – SMK Tengku Temenggong Ahmad
  • Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim bin Kamarudin – SMKA Maahad Muar
  • Prof. Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki bin Mustafa – Sekolah Kebangsaan Lenga

Keterlibatan para pensyarah ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan sekolah, malah memberi peluang kepada murid untuk melihat aplikasi sebenar sains dalam kehidupan dan kerjaya. Diharapkan, usaha ini dapat menyemai minat yang mendalam terhadap bidang STEM dan melahirkan lebih ramai saintis muda pada masa akan datang.

Ceramah di SK Lenga “Mengapa Minat Sains?”

Pada 7 Julai 2025, satu ceramah bertajuk “Mengapa Minat Sains?” telah disampaikan oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa di Sekolah Kebangsaan Lenga, Muar sempena Program STI 100³ yang dianjurkan secara serentak di seluruh negara oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ceramah ini dihadiri oleh kira-kira 90 orang murid dan 15 orang guru yang diketuai oleh Guru Besar, En. Halid bin Tandang. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Guru Besar serta gimik perasmian, diikuti dengan penyampaian ceramah yang interaktif, penuh inspirasi dan diselitkan dengan elemen kuiz bagi menarik minat murid.

Murid-murid yang berjaya menjawab soalan kuiz telah menerima hadiah yang disampaikan sendiri oleh penceramah. Semua murid kelihatan ceria dan teruja dengan penyampaian ceramah yang menarik dan mudah difahami. Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada penceramah.

Untuk makluman, Sekolah Kebangsaan Lenga merupakan sekolah angkat kepada Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah.

FAST STEM FESTIVAL 2025 & Majlis Menandatangani MoU UTHM bersama The Prayer Mat (TPM) dan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST)

Pagoh, 26 Jun 2025 – FAST STEM FESTIVAL 2025 anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berlangsung di Pusat Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh. Festival ini menjadi platform penting bagi memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar serta mengukuhkan jaringan kerjasama strategik antara universiti, industri dan komuniti.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Herman bin Raban, Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor, yang juga merupakan wakil rasmi kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa bidang STEM adalah tunjang kepada pembangunan negara dan memainkan peranan besar dalam memperkukuh daya saing generasi muda.

“Pelaksanaan program seperti FAST STEM Festival ini amat bertepatan dalam mencungkil bakat-bakat anak Johor yang berpotensi dalam bidang teknologi dan sains. Saya menyarankan agar ramai anak Johor merebut peluang yang ditawarkan oleh Johor Talent Development Council (JTDC), khususnya dalam pelbagai inisiatif pembangunan modal insan yang sedang dan akan dilaksanakan,” ujar beliau.

Kemuncak program menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM bersama dua rakan industri iaitu The Prayer Mat (TPM) dan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST). UTHM diwakili oleh YBhg. Profesor Dr. Afandi bin Ahmad, Provost UTHM-Kampus Pagoh, selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, manakala TPM diwakili oleh Dr. Siti Norwahida Shukeri, Ketua Pegawai Eksekutif TPM dan NEST diwakili oleh Tuan Sulaiman Salikan, Presiden NEST.

Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Pn. Nur Izwah binti Mat Kail, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor merangkap wakil rasmi Pengarah JPN Johor;YBrs. Encik Afzan bin Mohamed, Penolong Pustakawan, Perbadanan Perpustakaan Awam Johor selaku wakil rasmi Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor;YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura binti Awang, Pemangku Dekan FAST;YBhg. Profesor Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki bin Mustafa, Pengarah Program FAST STEM FESTIVAL 2025;wakil-wakil industri, pegawai-pegawai universiti, serta dif-dif jemputan yang turut memeriahkan majlis.

Antara pengisian menarik sepanjang festival yang bermula pada 15 Jun hingga 26 Jun 2025 ini termasuklah Pertandingan Racing RC, Saintis Muda Asli,Ndatamathics, Bengkel IMO Guru, STEMathics Camp, Meet The Scientist, Forum STEM, Pertandingan Inovasi STEM, serta Pameran STEM yang menampilkan hasil inovasi pelajar-pelajar FAST. Pelajar sekolah dari sekitar Muar dan Segamat turut hadir dan terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti interaktif yang dijalankan.

FAST STEM FESTIVAL 2025 membuktikan komitmen UTHM untuk terus menjadi peneraju dalam memasyarakatkan STEM serta memperkasakan kolaborasi antara universiti dan industri demi melahirkan generasi masa depan yang kompeten, kreatif dan berpandangan jauh.

STEMathics Camp 2025 Angkat Peranan Mahasiswa Dalam Pemindahan Ilmu Berasaskan Matematik Kepada Komuniti Melalui SULAM

Laporan disediakan oleh: Prof. Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan

Pagoh, Muar – Program STEMathics Camp 2025 yang berlangsung selama dua hari satu malam pada 21 dan 22 Jun 2025 telah melabuhkan tirainya dengan jayanya. Bertempat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh, seramai 108 murid dari 6 sekolah angkat di sekitar Muar dan Batu Pahat telah menyertai program ini yang bukan sahaja menawarkan pengalaman pembelajaran berasaskan Matematik dan Statistik, malah turut memberikan peluang kepada murid-murid untuk merasai suasana kehidupan di kampus apabila mereka bermalam di Kolej Kediaman UTHM sepanjang program berlangsung.


Program tahunan anjuran Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) ini dikendalikan oleh para pelajar Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) dan Tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) sebagai urusetia utama. Pelaksanaan ini merupakan sebahagian daripada projek SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) di bawah kursus Kreativiti dan Inovasi (BWU10202), yang bertujuan memupuk kemahiran insaniah dan keterlibatan aktif mahasiswa bersama komuniti.


Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang dua hari tersebut. Antaranya termasuklah aktiviti ExploreSTATS yang memperkenalkan konsep statistik melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan, bengkel upskill digital Matematik Tambahan melalui aplikasi GeoGebra yang direka khusus untuk guru-guru bagi meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi dalam pengajaran, serta pameran Augmented Reality (AR) Matematik yang memaparkan bagaimana teknologi AR boleh dimanfaatkan untuk memvisualkan konsep abstrak dalam pembelajaran. Selain itu, turut diadakan pertandingan inovasi MathStats, sesi bimbingan Mentor-Mentee bersama pelajar universiti, aktiviti riadah Matematik yang disulami elemen matematik, dan kemuncaknya ialah majlis perasmian penutup.


Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Puan Hajah Zainab binti Mohamed @ Ismail, School Improvement Partners Plus (SIPartners+) dari Pejabat Pendidikan Daerah Muar, dan turut diiringi oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FAST iaitu Ts. Dr. Suhadir Shamsuddin. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa gembira atas penganjuran program yang mampu mencetuskan minat murid terhadap bidang STEM, serta mencadangkan agar program sebegini diperluas pelaksanaannya kepada lebih banyak sekolah sekitar Muar. Beliau turut menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada murid sekolah menengah rendah bagi membina asas yang kukuh ke arah peningkatan bilangan murid dalam aliran STEM A apabila mereka melangkah ke peringkat menengah atas.


Ucapan penghargaan turut diberikan kepada sekolah-sekolah angkat yang telah memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan program ini, iaitu SMK (P) Sultan Abu Bakar, SMK Agama Pagoh, SMK Dato’ Sri Amar DiRaja Muar, SMK Sultan Alauddin Riayat Shah 1, SMK Tun Perak, dan SMK Penghulu Saat. Komitmen dan sokongan yang diberikan oleh pihak sekolah amat dihargai dan menjadi asas kejayaan program ini. STEMathics Camp 2025 bukan sahaja membuka ruang untuk murid sekolah menikmati pembelajaran secara kreatif dan berimpak, tetapi turut memperlihatkan komitmen universiti dalam memperkasa hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat. Melalui pendekatan hands-on, teknologi dan bimbingan bersama mahasiswa, program ini diharapkan mampu mencetus inspirasi dan minat mendalam terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda.

PELAJAR MATEMATIK TEKNOLOGI ANJUR KAEDAH KREATIF MENGHAFAL SIFIR MELALUI SIFIR HOUR

Kesukaran menghafal sifir wujud di kalangan murid sekolah menengah, apatah lagi bagi murid sekolah rendah. 60 orang pelajar Tahun 3 program Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia memperkenalkan cara kreatif dalam menghafal sifir melalui program Sifir Hour.

Program yang diadakan khusus kepada murid Tahun 3, Sekolah Kebangsaan Kota Raja, Panchor, Muar berjaya meningkatkan bilangan murid yang boleh menghafal sifir 2 hingga 9 dalam masa 1 jam sahaja.


Program ini adalah salah satu inisiatif Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) di bawah kursus Kreativiti dan Inovasi (BWU10202). Menurut Pensyarah kursus ini, Prof. Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan, program ini bertujuan mendedahkan mahasiswa untuk mempraktikkan pemindahan ilmu Matematik secara kreatif kepada komuniti dan semangat berpasukan dalam kumpulan di mana keduanya merupakan hasil pembelajaran kursus/course learning outcome (CLO) yang harus dicapai dan dikuasai oleh mahasiswa. Hadir bersama adalah pensyarah dari Panel Matematik iaitu Pn. Noor Azliza Abd Latif dan Pn. Azila Md Sudin.

Turut hadir bersama ialah Guru Panitia Matematik SK Kota Raja iaitu Cikgu Heriansyah bin Hamsyah yang menyambut baik program ini demi kebaikan murid-murid di sekolah tersebut. Beliau merupakan guru matematik kelas 3 Bijak. Beliau menambah bahawa program seperti ini telah berjaya mengubah persepsi murid terhadap sifir-sifir yang sukar dihafal. Bagi murid yang telah dikenalpasti lemah dan memerlukan intervensi susulan, perlunya diadakan program pengukuhan oleh pihak sekolah agar semua murid dapat menguasai semua sifir. Manakala Cikgu Mohd Nerwan yang merupakan guru matematik kelas 3 Cerdik juga memberi sokongan dan melibatkan diri dalam program ini.

Program SULAM: UTHM anjur program Inisiatif Baja Kompos untuk Komuniti Muar

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Masyarakat Living Lab – Bandar Muar telah melaksanakan program khidmat komuniti bertemakan “Inisiatif Baja Organik untuk Kelestarian Tanaman” bersama komuniti Muar bertempat di SMK Tun Sulaiman Ninam Shah.


Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menggalakkan pembelajaran berasaskan perkhidmatan kepada masyarakat.


Matlamat utama program ini adalah untuk membantu komuniti menghasilkan baja kompos sendiri daripada sisa dapur dan bahan organik, sekali gus mengurangkan kos pertanian dan sisa buangan.


Antara aktiviti yang dijalankan:
✅ Sesi perkongsian ilmu oleh pensyarah Panel Kimia Industri UTHM iaitu Dr. Nurun Najwa Ruslan dan ChM. Dr. Mohammad Arif Budiman Pauzan
✅ Bengkel & demonstrasi penyediaan baja kompos oleh fasilitator yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 2 Sarjana Muda Sains Kimia Industri dengan Kepujian
✅ Edaran pamplet panduan untuk rujukan komuniti
✅ Perkongsian hasil ujikaji penggunaan baja kompos ke atas tanaman

Program ini turut memberi pendedahan asas tentang sains di sebalik proses kompos,
termasuk:

  • Bagaimana bahan organik seperti sisa makanan dan daun kering mengalami proses pereputan oleh mikroorganisma.
  • Bagaimana unsur-unsur kimia seperti nitrogen (N), fosforus (P), dan kalium (K) memainkan peranan dalam pertumbuhan pokok.
  • Penerangan tentang reaksi penguraian dan pembentukan humus, serta fungsi sulfur semula jadi dari bahan seperti kulit bawang.

Pensyarah juga turut memberi perkongsian ringkas tentang konsep kimia di sebalik perubahan warna, bau dan suhu kompos, serta bagaimana ia menjadi indikator kepada keberkesanan proses penguraian.

Dengan pelaksanaan program ini, komuniti setempat berpeluang meningkatkan kemahiran menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan dan bahan organik bagi menyokong amalan persekitaran yang lestari.

Bengkel yang dianjurkan bersama Ahli Majlis Zon 8, Majlis Perbandaran Muar iaitu En. Noordin bin Tamjis, bersama SWCorp Muar dan Jabatan Pertanian Daerah Muar. Urusetia bengkel, Prof. Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan, Ketua Pusat Masyarakat Living Lab Bandar Muar dan turut dihadiri oleh Ketua Jabatan (Jaringan Masyarakat dan Pemindahan Ilmu), Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat Dr. Nurul Nadia Adnan.

“Seronok belajar buat baja sendiri. Tak sangka kulit bawang dan nasi basi pun boleh suburkan pokok!” – kata salah seorang peserta.

Program ini bukan sahaja memberi pengalaman kepada pelajar dalam menyampaikan ilmu secara praktikal, tetapi juga memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat.

Jom kompos di rumah, tanam untuk masa depan lestari!

#UTHMPrihatin #SULAM2025 #BajaKomposDIY #KomunitiMuar #TanamSendiri
#PertanianLestari #KampusUntukMasyarakat #KimiaIndustriUTHM

“Cahaya Lilin, Sinar Inovasi: EcoEssence Workshop Buka Minda Saintis Muda”

Oleh: Ts. Dr. Furzani Pa’ee

Pagoh, 11 Jun 2025 (Rabu) – Seramai 20 orang pelajar dari lima buah sekolah menengah sekitar Muar dan Tangkak telah menyertai EcoEssence Candle Workshop yang berlangsung di UTHM Kampus Cawangan Pagoh dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, bersempena Program BioDFest 2025.

Sekolah-sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Tinggi Muar, MRSM Muar, SMK Dato’ Sri Amar Diraja, SMK Bukit Gambir, dan Sekolah Menengah Sains Muar (SAMURA), dengan kehadiran seramai 7 orang guru pengiring.

Program ini telah dijalankan di bawah pelarasan Ts. Dr. Furzani Pa’ee dan Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah, dengan penglibatan aktif pelajar UTHM dalam menjayakan keseluruhan aktiviti.

Terdapat dua program utama dijalankan secara serentak iaitu:

  • Bengkel Pembuatan Lilin– Para peserta didedahkan kepada asas pembuatan lilin menggunakan bahan semula jadi berasaskan herba. Mereka turut berpeluang mencipta dan mendekorasi sendiri hasil lilin masing-masing, yang sekaligus memupuk kreativiti serta kesedaran terhadap kelestarian sumber alam.
  • Innopreneur Exhibition – Pelajar-pelajar UTHM mempamerkan pelbagai produk berasaskan sumber semula jadi dan berkongsi informasi menarik berkaitan biodiversiti serta potensi ekonomi hijau. Sesi ini juga memberi ruang interaksi antara pelajar sekolah dan mahasiswa universiti.

Salah seorang guru pengiring berkongsi pandangan bahawa “Program ini telah memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami konsep sains secara aplikasi serta membuka minda mereka terhadap inovasi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.”

Penganjuran program ini diharap dapat menyemai minat dalam bidang sains, inovasi dan keusahawanan lestari dalam kalangan generasi muda. Aktiviti seperti ini turut menjadi platform penting yang menghubungkan ilmu akademik dengan penerapan praktikal, sejajar dengan aspirasi pendidikan masa kini yang menyeluruh dan berimpak.

Translate »