Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

108 PELAJAR TEKNOLOGI MAKANAN, FAST, UTHM SERTAI KURSUS SEMBELIHAN AYAM DENGAN KERJASAMA JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR

UTHM PAGOH – Seramai 108 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar yang mengambil kursus Makanan Halal (BWD22402) telah menyertai Kursus Sembelihan Ayam secara Islam 4.0 pada 15 Mei 2024 bertempat di Makmal Teknologi Makanan, UTHM Kampus Pagoh. Turut serta ialah 6 orang pensyarah panel Teknologi Makanan dan 6 orang staf Pejabat Pengurusan Makmal. 2 orang Pensyarah Panel Teknologi Makanan iaitu Dr Nur Hafizah Malik dan P.M. ChM. Dr. Hatijah Basri juga mengambil peluang untuk menyembelih ayam dalam aktiviti ini.  Lebih meriah lagi tetamu yang berkesempatan hadir termasuk Prof. Madya Dr. Afandi Ahmad selaku Provost UTHM Kampus Pagoh dan Prof. Madya Dr. Mohamad Zaky Noh yang merupakan Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi 

Program ini merupakan latihan praktikal yang  memberi pengalaman kepada para peserta mengenai cara penyembelihan yang menepati hukum syarak. Para peserta yang berjaya dalam latihan ini akan memperolehi sijil kompetensi penyembelihan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebagai nilai tambah. Di samping itu, program ini dapat melatih peserta dalam melaksanakan penyembelihan untuk kemahiran tambahan apabila memohon penempatan industri dan kerjaya setelah tamat pengajian (Kebolehpasaran Graduan/Graduate Employability).

Program yang dirasmikan oleh  Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura binti Awang, Timbalan Dekan Akademik & Antarabangsa telah dimulakan dengan sesi ceramah daripada pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) iaitu Encik Haji Nasri bin Haji Selamat. Ceramah bertajuk “Penyembelihan Halal Menurut Pandangan Islam” ini telah memberi pandangan awal kepada pelajar tentang prosedur penyembelihan ayam yang mematuhi syarak sebelum aktiviti penyembelihan dilakukan. 

Aktiviti penyembelihan dimulakan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Pegawai JAINJ iaitu Encik Mohd Firdaus Bin Abu Talib bagi memastikan aktiviti penyembelihan dilakukan dengan selamat dan mematuhi syarak, di mana proses sembelihan mestilah dimulai dengan niat, dan seterusnya memastikan saluran-saluran utama iaitu saluran pernafasan (urat halkum), saluran makanan (urat meri’) dan salur darah (arteri karotid dan vena jugular)  adalah terputus.  Selain itu, proses mengeluarkan darah ayam selepas selesai sembelihan perlulah dilaksanakan sebelum ianya dibersihkan. Para peserta menjalankan penyembelihan ayam mengikut giliran sehingga selesai. 

Ayam-ayam yang telah disembelih kemudian dibersihkan dan dipotong bagi menghasilkan produk makanan seperti “cheesy fried chicken”, pau ayam, “chicken dumpling”, “chicken nugget” dan sebagainya. Produk makanan yang dihasilkan kemudian dikongsi bersama para pelajar, pensyarah dan staf makmal. Melalui aktiviti ini, peserta dapat mengeratkan ukhuwah di samping menyerlahkan kreativiti masing-masing dalam penghasilan produk makanan daripada ayam yang disembelih.

Program kompetensi seumpama ini wajar diteruskan bagi setiap kohort untuk melengkapkan pelajar dengan berbagai kemahiran untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian UTHM.

Last Updated on June 4, 2024

Translate »