FAST STEM FESTIVAL 2025 & Majlis Menandatangani MoU UTHM bersama The Prayer Mat (TPM) dan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST)
Pagoh, 26 Jun 2025 – FAST STEM FESTIVAL 2025 anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berlangsung di Pusat Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh. Festival ini menjadi platform penting bagi memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar serta mengukuhkan jaringan kerjasama strategik antara universiti, industri dan komuniti.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Herman bin Raban, Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor, yang juga merupakan wakil rasmi kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa bidang STEM adalah tunjang kepada pembangunan negara dan memainkan peranan besar dalam memperkukuh daya saing generasi muda.
“Pelaksanaan program seperti FAST STEM Festival ini amat bertepatan dalam mencungkil bakat-bakat anak Johor yang berpotensi dalam bidang teknologi dan sains. Saya menyarankan agar ramai anak Johor merebut peluang yang ditawarkan oleh Johor Talent Development Council (JTDC), khususnya dalam pelbagai inisiatif pembangunan modal insan yang sedang dan akan dilaksanakan,” ujar beliau.
Kemuncak program menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM bersama dua rakan industri iaitu The Prayer Mat (TPM) dan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST). UTHM diwakili oleh YBhg. Profesor Dr. Afandi bin Ahmad, Provost UTHM-Kampus Pagoh, selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, manakala TPM diwakili oleh Dr. Siti Norwahida Shukeri, Ketua Pegawai Eksekutif TPM dan NEST diwakili oleh Tuan Sulaiman Salikan, Presiden NEST.
Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Pn. Nur Izwah binti Mat Kail, Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Johor merangkap wakil rasmi Pengarah JPN Johor;YBrs. Encik Afzan bin Mohamed, Penolong Pustakawan, Perbadanan Perpustakaan Awam Johor selaku wakil rasmi Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor;YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura binti Awang, Pemangku Dekan FAST;YBhg. Profesor Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki bin Mustafa, Pengarah Program FAST STEM FESTIVAL 2025;wakil-wakil industri, pegawai-pegawai universiti, serta dif-dif jemputan yang turut memeriahkan majlis.
Antara pengisian menarik sepanjang festival yang bermula pada 15 Jun hingga 26 Jun 2025 ini termasuklah Pertandingan Racing RC, Saintis Muda Asli,Ndatamathics, Bengkel IMO Guru, STEMathics Camp, Meet The Scientist, Forum STEM, Pertandingan Inovasi STEM, serta Pameran STEM yang menampilkan hasil inovasi pelajar-pelajar FAST. Pelajar sekolah dari sekitar Muar dan Segamat turut hadir dan terlibat secara langsung dalam aktiviti-aktiviti interaktif yang dijalankan.
FAST STEM FESTIVAL 2025 membuktikan komitmen UTHM untuk terus menjadi peneraju dalam memasyarakatkan STEM serta memperkasakan kolaborasi antara universiti dan industri demi melahirkan generasi masa depan yang kompeten, kreatif dan berpandangan jauh.









