Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Foodies Explorer: Growing Together

3 November 2025, Pagoh, Johor – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited memperkasa kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui penganjuran program Foodies Explorer: Growing Together. Program ini merupakan inisiatif ulung oleh Panel Teknologi Makanan yang dirangka khusus bagi menjadikan pembelajaran dalam kursus Teknologi Makanan lebih interaktif, holistik dan menyeronokkan, selari dengan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Program yang berlangsung pada 3 November 2025 itu menghimpunkan seramai 90 orang pelajar Tahun 1 Program Teknologi Makanan, dengan penyertaan 6 orang pensyarah Panel Teknologi Makanan dan 16 orang fasilitator yang bertindak sebagai penggerak utama dalam melaksanakan aktiviti sepanjang program. Pemilihan pelajar tahun pertama sebagai kumpulan sasaran bertujuan memberi pendedahan awal terhadap silibus Teknologi Makanan, di samping memupuk semangat perpaduan, keyakinan dan interaksi positif dalam kalangan mahasiswa baharu.

Menggunakan pendekatan game-based learning, program ini menggabungkan elemen pembelajaran Teknologi Makanan melalui pelbagai aktiviti menarik dan mencabar. Setiap peserta diberikan satu huruf untuk membentuk beberapa kumpulan berdasarkan istilah yang terdapat dalam bidang Teknologi Makanan, sekali gus membantu mereka membiasakan diri dengan istilah tersebut.

Aktiviti dimulakan dengan Tic-tac-toe, yang menguji pengetahuan asas pelajar merangkumi topik seperti teknologi makanan, kimia makanan, mikrobiologi makanan, pemprosesan makanan, keselamatan makanan, HACCP, halal, pembungkusan, pelabelan, fermentasi, bioteknologi serta analisis deria makanan. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kemahiran kognitif pelajar, malah meningkatkan keyakinan mereka dalam menerapkan pengetahuan yang dipelajari.

Program diteruskan dengan Explore Race, aktiviti utama yang menggabungkan elemen pembelajaran interaktif melalui lima pusat tugasan (checkpoints), iaitu checkpoints keselamatan makanan, penilaian deria, perjalanan makanan dalam sistem pencernaan, halal, dan mikrobiologi makanan. Setiap kumpulan perlu menyelesaikan tugasan di setiap checkpoint, sekaligus mengaplikasikan teori melalui cabaran praktikal yang menyeronokkan.

Bagi mengukuhkan semangat kerjasama dan kecergasan minda, peserta turut terlibat dalam permainan seperti bola beracun, tiup belon sampai pecah, dan ping pong train, yang menguji koordinasi, komunikasi dan strategi kumpulan.

Menurut Penasihat Program, Dr. Farawahida Binti Abdul Halim, penganjuran Foodies Explorer: Growing Together adalah antara usaha FAST untuk memperkenalkan pendekatan pembelajaran yang lebih dinamik dan menarik dalam kalangan pelajar.

“Program ini mengaplikasikan pembelajaran interaktif melalui permainan, di mana pelajar menyelesaikan cabaran di setiap checkpoint yang berkaitan silibus Teknologi Makanan. Kaedah ini bukan hanya menyeronokkan tetapi mampu meningkatkan keupayaan pelajar memahami konsep dengan lebih mendalam,” jelasnya. Beliau turut menambah bahawa proses pembelajaran kini tidak lagi terhad kepada kuliah dan amali semata-mata, sebaliknya boleh diterjemahkan melalui aktiviti yang kreatif, berstruktur dan dekat dengan minat pelajar.

Foodies Explorer: Growing Together bukan sahaja meningkatkan motivasi dan minat pelajar tahun pertama, malah menjadi platform untuk memupuk semangat kerjasama, setiakawan, perpaduan, kepimpinan, kreativiti serta hubungan erat antara pelajar, fasilitator dan pensyarah,” katanya lagi.

Program ini diharapkan menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif pengajaran kreatif pada masa akan datang, khususnya dalam memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman dalam bidang Teknologi Makanan. FAST percaya bahawa nilai-nilai kerjasama, kepimpinan, komunikasi dan kreativiti yang disemai melalui program ini dapat membantu membentuk mahasiswa yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri makanan yang semakin berkembang.

Laporan ditulis oleh: Dr. Farawahida Binti Abdul Halim, Penasihat Program Foodies Explorer

PROGRAM STEMtastic Junior 2025

Pada 1 Oktober 2025, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan kelab Pascasiswazah FAST dengan jayanya telah menganjurkan Program STEMTASTIC JUNIOR 2025 bertempat di Dewan Dato’ Onn, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar. Program ini digerakkan oleh pelajar pascasiswazah dan pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) dengan Kepujian sebagai jawatankuasa tertinggi serta fasilitator, di bawah bimbingan Ts. Dr. Furzani Pa’ee dan Dr. Nor Atiqah Norazlimi.

Seramai 148 murid Tingkatan 2 MRSM Muar, dengan iringan dua guru pengiring, telah menyertai program berimpak tinggi ini. Aktiviti yang berlangsung di sekitar dewan berkenaan dirangka bagi menyemai minat dan menambah pengetahuan dalam bidang Sains dan Matematik melalui pameran interaktif dan permainan berasaskan pembelajaran.

Program ini menggunakan konsep stesen pembelajaran, di mana setiap peserta berpeluang mengunjungi pelbagai booth pameran serta mengambil bahagian dalam permainan mini Matematik secara bergilir. Melalui pendekatan ini, para pelajar bukan sahaja dapat menimba ilmu tentang Biodiversiti Malaysia, malah berpeluang mempertajam minda melalui aktiviti berasaskan kuiz dan permainan interaktif.

Antara tema utama pameran termasuk dunia binatang, tumbuhan, teknologi dalam bidang biodiversiti, serta peralatan penyelidikan yang digunakan dalam bidang tersebut. Pelbagai koleksi spesimen flora dan fauna yang menarik dipamerkan, sekali gus mencuri perhatian para peserta. Suasana bertambah meriah apabila fasilitator mempersembahkan demonstrasi teknologi dron serta kelengkapan biodiversiti, yang menimbulkan keterujaan para pelajar.

Sepanjang program, peserta menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi melalui aktiviti perbincangan, kuiz, dan permainan mini. Program diakhiri dengan sesi penutup, penyampaian hadiah, serta sesi bergambar kenangan bersama semua peserta dan fasilitator.

Secara keseluruhan, Program STEMTASTIC JUNIOR 2025 bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali flora dan fauna tempatan, malah menekankan kepentingan aplikasi ilmu Sains dan Matematik dalam kehidupan seharian. Pada masa yang sama, ia turut berperanan mengukuhkan kesedaran tentang pentingnya usaha memelihara dan memulihara kepelbagaian biologi negara.

#UTHMPrihatin #UTHM

Laporan disediakan oleh Ts. Dr. Furzani binti Pa’ee

Ilmu Forensik Jadi Tarikan, Program K-STEMTrek Himpun Pelajar Sekolah Rendah di Muar

Pagoh, 2-3 September 2025 – Program K-STEMtrek anjuran Axis Xperience dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berlangsung dengan jayanya pada 2 hingga 3 September 2025, bertempat di Bangunan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.

Program ini telah menghimpunkan pelajar sekolah rendah dari sembilan buah sekolah di Muar dengan objektif meningkatkan minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya dalam aplikasi forensik. Seramai 136 orang pelajar dan 23 orang guru telah menyertai program termasuk dari sekolah SK Parit Zain, SK Bandar Maharani, SK Setia Jaya, SK Bkt Gambir, SK Convent Muar, SK Simpang Jeram, SK St Andrew dan SK Seri Gading. Program yang diketuai PM. Dr. Hamizah Mohd Safuan turut disertai enam orang pensyarah FAST iaitu, Ts. Dr. Salasiah Mohamad, ChM. Dr. Mohammad Arif Budiman Pauzan, Dr. Mohamad Zulhafiz Shafiq Zulhilmi Cheng, Dr. Noorakmar Ab Wahab, Dr. Farawahida Abdul Halim, Dr. Hana Syafiqah Sayeed Ibrahim, pelajar pascasiswazah serta pelajar diploma selaku jawatankuasa tertinggi program dan fasilitator.


Program yang diisi dengan empat slot menarik ini dimulakan dengan slot energiser sebelum diteruskan dengan slot pengenalan kerjaya STEM yang memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai potensi masa hadapan dalam bidang ini. Sesi diteruskan dengan ceramah kerjaya oleh pensyarah FAST iaitu Ts. Siti Fatimah Sabran dan Dr. Nurul Nadia Adnan yang berkongsi pengalaman serta peluang kerjaya dalam bidang STEM. Para pelajar kemudian melalui aktiviti di zon konsep, yang memperkenalkan asas teori dan pengetahuan penting berkaitan kimia dan sains forensik. Peserta kemudian diberi peluang untuk menjalani aktiviti praktikal di zon eksperimen, yang merupakan antara slot paling menarik kerana pelajar dapat mengaplikasikan konsep yang dipelajari secara hands-on melalui eksperimen berkaitan forensik di lima checkpoint interaktif yang berbeza di mana setiap satunya memberikan klu dalam menyelesaikan misi CSI mereka. Peserta berpeluang menyelesaikan pelbagai tugasan berkonsep CSI (Crime Scene Investigation) seperti menganalisis cap jari, mengenal pasti audio dan tulisan, dan merungkai beberapa cabaran forensik lain. Aktiviti hands-on ini mengasah kemahiran berfikir secara kritis, kerjasama dalam kumpulan, serta memberi pendedahan bagaimana teknik STEM diaplikasikan dalam menyelesaikan kes sebenar. Pengalaman ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga satu pengalaman yang akan membuka laluan kerjaya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik kepada para pelajar.


Program diakhiri dengan sesi penutup dan bergambar berkumpulan. Menurut penganjur, program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan minat pelajar dalam bidang STEM, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman sebenar dunia penyiasatan forensik atau CSI melalui pendekatan pembelajaran interaktif.

30 orang Komuniti Bandar Muar Diperkasa Melalui Kursus Latihan PengendaliMakanan Percuma di bawah Geran Komuniti@UniMadani

Muar, 29 Ogos 2025 – Seramai 30 orang komuniti Bandar Muar, kebanyakannya terdiri daripada pengusaha dan peniaga dari rumah (home-based), telah berjaya melengkapkan diri dengan ilmu keselamatan makanan melalui Kursus Latihan Pengendali Makanan yang diadakan di Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC) Muar hari ini.

Program penting ini dibiayai melalui Geran Komuniti@UniMadani, daripada Kementerian Kewangan Malaysia. Program hari ini merupakan Fasa 1, di bawah tajuk Program Rantaian Inovasi Dan Pembuatan Makanan Difortifikasi Mesra Usia Oleh Komuniti Pesara Mukim Muar: Pemakanan Sihat & Peluang Baharu. Ia dilaksanakan hasil kerjasama strategik pelbagai pihak, termasuk Komuniti Bandar Muar, kumpulan fokus Future Food x Living Lab Bandar Muar, dan Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC).

Inisiatif ini turut mendapat sokongan padu daripada pejabat Ahli Majlis Zon 9 (Maharani B), Majlis Perbandaran Muar, sebagai usaha untuk meningkatkan taraf usahawan tempatan.

Kursus ini telah disampaikan oleh penceramah bertauliah dan berpengalaman, PM Ts. Dr Faridah Kormin. Beliau berkongsi pengetahuan mendalam merangkumi aspek kebersihan diri, amalan pengendalian makanan yang betul, dan langkah-langkah pencegahan keracunan makanan selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Menurut penyelaras kumpulan fokus Future Food dari Fakulti Sains Gunaan & Teknologi,
UTHM, PM Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi, program ini diadakan bagi memberi manfaat langsung kepada para peserta. Jelas beliau, matlamat utamanya adalah untuk membantu mereka memenuhi salah satu syarat utama dalam pendaftaran perniagaan makanan.
“Sijil penyertaan yang diterima akan membolehkan mereka menjalankan operasi perniagaan dengan sah, selamat, dan lebih yakin,” tambahnya.

Turut hadir memberikan sokongan dalam program ini ialah rakan-rakan akademik dari UTHM, iaitu PM Dr. Hamizah Mohd. Safuan dan Profesor Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar. Kejayaan program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak kursus kemahiran pada masa hadapan, sekaligus menyumbang kepada pembangunan komuniti usahawan yang berdaya saing dan mampan di Bandar Muar.

Lawatan Yamawaki High School, Tokyo, Jepun ke UTHM Bagi Menilai Potensi Program Edutourism 2026

UTHM Kampus Pagoh & Kampus Induk Batu Pahat, 11–15 Ogos 2025 – Dr. Akiyama Shigeharu, seorang penyelidik dalam bidang Reproductive Biology yang juga wakil dari Yamawaki High School, Tokyo, Jepun, telah mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Lawatan ini bertujuan menilai lokasi serta potensi pelaksanaan program edutourism UTHM yang dirancang untuk tahun 2026.

Program edutourism berkenaan memberi tumpuan kepada latihan dalam bidang sains semula jadi (natural sciences), teknologi, dan kebudayaan, melibatkan penyertaan pelajar serta guru dari Yamawaki High School, sebuah institusi yang diiktiraf sebagai Super Science School oleh kerajaan Jepun.

Lawatan Pra-Pelaksanaan

Sepanjang tempoh lima hari lawatan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa (PPB) dan Pejabat Antarabangsa (IO) telah menyusun siri aktiviti pra-pelaksanaan. Antara yang dilaksanakan termasuk lawatan tapak, semakan fasiliti penginapan, serta prarangka modul latihan kerja lapangan biodiversiti dan kebudayaan.

Lokasi yang terlibat ialah:

  • Makmal Lapangan FAST, Taman Negara Johor Endau Rompin–PETA
  • Taman Negara Johor Gunung Ledang
  • Living Lab Ayer Hitam Utara
  • Living Lab Sungai Balang
  • Kawasan sekitar Kampus Induk dan Kampus Pagoh, UTHM

Pengukuhan Kerjasama

Dalam rangka lawatan ini, turut dimeterai Letter of Intent (LoI) antara FAST–UTHM yang diwakili oleh Dekan, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura Binti Awang, dengan Yamawaki Urodela Research Laboratory.

Sokongan dan Harapan

Sepanjang lawatan, Dr. Akiyama telah diiringi oleh pasukan akademik FAST yang terdiri daripada Ts. Dr. Siti Fatimah Sabran, Dr. Arney Sapaat, Dr. Ahmad Hassan Sallehudin Mohd Sarif, PM. Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar, serta Ts. Dr. Salasiah Mohamad.

UTHM Perkasa Usahawan Mikro dan Kecil Daerah Muar Melalui Program Bimbingan Pensijilan Halal JAKIM

PAGOH – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ), sebuah Pusat Latihan Halal (PLH) berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Pusat Kepimpinan Dan Kompetensi (PKK), telah menganjurkan Program Bimbingan Pensijilan Halal bermula pada 17 Mac dan berakhir pada 08 Ogos 2025 yang lalu.

Program ini bertujuan mengukuhkan hubungan kolaboratif antara UTHM dan komuniti industri makanan daerah Muar dalam usaha memperkasakan amalan Halal secara berterusan dalam kalangan pengusaha mikro dan kecil,

Bimbingan pemindahan ilmu dilaksanakan melalui beberapa fasa, bermula dengan penyediaan dokumen keperluan, diikuti dengan kaedah pengunaan sistem permohonan MYeHALAL JAKIM serta penyertaan dalam latihan asas yang diperlukan.

Sebanyak lima (5) syarikat kategori industri makanan mikro dan kecil telah menyertai program ini iaitu, Aida Zulaikha Enterprise, Triple T Twonine Resources, Warung Roti By Hanafiza Bakery, Cendol & Kopi, dan Restoran D Tiram Terapung.

Dua jenis latihan telah dianjurkan khas untuk staf syarikat yang telah mengambil bahagian iaitu Kursus Kesedaran Halal dan Kursus Latihan Pengendali Makanan, yang diadakan pada 06 Ogos 2025 di UTHM Kampus Cawangan Pagoh dengan dengan penglibatan seramai 24 peserta.

Menurut salah seorang wakil penerima manfaat iaitu En Ibrahim bin Sudin selaku Pengerusi RT Progresif Parit Tarom, menyatakan program yang dianjurkan amat membantu pengusaha makanan mikro dalam memenuhi keperluan pemasaran produk tempatan. Beliau berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Program ini digerakkan oleh Tenaga Pengajar Halal (TPH) yang diiktiraf JAKIM terdiri daripada Dr. Hj. Muhammad Suhaimi bin Datuk Hj Sulong, Prof. Madya Ts Dr Norazlin binti Abdullah, Prof. Madya Ts Dr Faridah binti Kormin, Dr. Fazleen Izzany binti Abu Bakar, Dr. Nur Hafizah binti Malik, dan Dr. Munira binti Zainal Abidin, yang bertindak sebagai perunding dan juga penceramah.

Pengarah program, Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad, menyatakan bahawa para peserta menunjukkan komitmen tinggi serta kerjasama yang baik sepanjang program berlangsung.

Penulis dan Penulis Bersama:

  • Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad
  • Dr. Hj. Muhammad Suhaimi bin Datuk Hj Sulong
  • Dr. Nur Hafizah binti Malik
  • Dr. Fazleen Izzany binti Abu Bakar
  • Prof. Madya Ts Dr Norazlin binti Abdullah

24 Usahawan Mikro dan Kecil Daerah Muar Timba Ilmu Baharu Melalui Kursus Kesedaran Halal dan Latihan Pengendali Makanan

PAGOH – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ), sebuah Pusat Latihan Halal (PLH) berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Pusat Kepimpinan Dan Kompetensi (PKK), telah menganjurkan Program Kursus Kesedaran halal dan Latihan Pengendali Makanan pada 06 Ogos 2025 yang lalu.

Program ini bertujuan mengukuhkan hubungan kolaboratif antara UTHM dan komuniti industri makanan daerah Muar dalam usaha menghasilkan makanan selamat melalui pemerkasaan amalan Halal secara berterusan dalam kalangan pengusaha mikro dan kecil,

Kursus ini telah disertai oleh 24 orang pengusaha dan pengendali makanan daerah Muar, antaranya daripada  pengusaha restoran, pengusaha produk ikan pekasam, pengusaha bakeri, pengusaha produk ketupat palas sejuk beku dan lain-lain lagi. Menurut salah seorang wakil penerima manfaat iaitu En Ibrahim bin Sudin selaku Pengerusi RT Progresif Parit Tarom, menyatakan program yang dianjurkan amat membantu pengusaha makanan mikro dalam memenuhi keperluan pemasaran produk tempatan. Beliau berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Penceramah terdiri daripada Dr. Munira binti Zainal Abidin yang merupakan Tenaga Pengajar Halal (TPH) JAKIM bertauliah dan Prof. Madya Ts Dr Faridah binti Kormin, yang merupakan TPH dan juga tenaga pengajar sekolah pengendali makanan bertauliah Bahagian Keseihatan dan Keselamatan Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pengarah program, Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad, menyatakan bahawa para peserta menunjukkan komitmen tinggi serta kerjasama yang baik sepanjang program berlangsung.

Penulis dan Penulis Bersama:

  • Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad
  • Dr. Hj. Muhammad Suhaimi bin Datuk Hj Sulong
  • Dr. Nur Hafizah binti Malik
  • Dr. Fazleen Izzany binti Abu Bakar
  • Prof. Madya Ts Dr Norazlin binti Abdullah
Program Kursus Kesedaran halal dan Latihan Pengendali Makanan pada 06 Ogos 2025 FAST UTHM
Program Kursus Kesedaran halal dan Latihan Pengendali Makanan pada 06 Ogos 2025 FAST UTHM

Perkongsian Kepakaran: Dr. Kamarul Rahim di Universitas Gadjah Mada

Yogyakarta, Indonesia, 20–22 Julai 2025 – Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Bin Kamarudin telah menerima jemputan rasmi sebagai invited lecturer di International Summer Course on Sustainable Fisheries and Marine Biodiversity Conservation yang dianjurkan oleh Fakultas Biologi, Universitas Gadjah Mada (UGM).

Pada 21 Julai 2025, beliau telah menyampaikan syarahan bertajuk Marine Bioprospecting Best Practices dalam salah satu sesi utama bertempat di Fakulti Biologi, UGM. Syarahan tersebut berlangsung dari jam 2.00 hingga 4.00 petang waktu tempatan dan mendapat sambutan daripada peserta antarabangsa melibatkan Australia, Jepun, Filipina, Indonesia, serta Malaysia.

Pengiktirafan Kepakaran Antarabangsa

Penglibatan Dr. Kamarul Rahim dalam kursus ini membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepakaran beliau dalam bidang bioprospek marin, serta mengangkat reputasi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di persada global. Kehadiran beliau bukan sahaja memperkukuh imej akademik UTHM, malah memberi peluang kolaborasi dengan penyelidik dan peserta pelbagai negara, khususnya dalam bidang perikanan lestari dan pemuliharaan biodiversiti marin.

Cadangan Kerjasama Strategik

Selain sesi syarahan, lawatan ini turut menghasilkan beberapa cadangan penting, termasuk:

  • Memperkasa program mobiliti antarabangsa pelajar melalui penglibatan bersama antara UGM dan UTHM.
  • Perbincangan pelaksanaan Program Dwi Ijazah (Double Degree Program) bagi pelajar program Sarjana Muda Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan dengan Kepujian (BWW), FAST-UTHM, bersama pelajar Fakulti Biologi, UGM.

MoU sedia ada antara UTHM dan UGM (Rujukan: ID 20230170) yang sah sehingga 9 Julai 2028 telah pun menjadi asas kepada penganjuran siri mobiliti inbound dan outbound secara tahunan. Pada tahun ini, enam pelajar daripada Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) turut menyertai International Summer Course tersebut sebagai sebahagian daripada program mobiliti jangka pendek yang berlangsung dari 21–25 Julai 2025.

Manfaat Jangka Panjang

Cadangan Program Dwi Ijazah ini bakal menjadi langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala UTHM–UGM, meningkatkan keterlihatan antarabangsa UTHM, serta memberi nilai tambah kepada pengalaman akademik pelajar. Pada masa yang sama, ia membuka ruang kerjasama penyelidikan dalam bidang sains laut dan disiplin lain yang berkaitan.

6 Pensyarah FAST UTHM Terlibat Dalam Program STI1003: Perkongsian Ilmu STEM Bersama Murid Sekolah

Muar, 7 Julai – Program STI1003 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah sekitar Muar dan Tangkak, sebagai usaha untuk meningkatkan minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan perkongsian ilmu secara langsung bersama saintis tempatan.

Program ini merupakan inisiatif yang menghimpunkan 100 orang saintis tempatan ke 100 buah sekolah dalam tempoh 100 hari, dengan matlamat memberi inspirasi, menyemai minat, dan meningkatkan pemahaman murid terhadap bidang STEM melalui aktiviti interaktif serta perkongsian pengalaman profesional.

Seramai 6 orang pensyarah dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM telah dijemput untuk berkongsi ilmu STEM berdasarkan kepakaran masing-masing, sekaligus menarik minat pelajar terhadap bidang ini:

  • Ts. Dr. Furzani binti Pa’ee – Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir
  • Dr. Nurul Nadia Adnan – Sekolah Kebangsaan Panchor
  • Dr. Fahmiruddin bin Esa – Sekolah Kebangsaan Paya Redan
  • Dr. Mohamad Zulhafiz Shafiq bin Zulhilmi Cheng – SMK Tengku Temenggong Ahmad
  • Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim bin Kamarudin – SMKA Maahad Muar
  • Prof. Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki bin Mustafa – Sekolah Kebangsaan Lenga

Keterlibatan para pensyarah ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan sekolah, malah memberi peluang kepada murid untuk melihat aplikasi sebenar sains dalam kehidupan dan kerjaya. Diharapkan, usaha ini dapat menyemai minat yang mendalam terhadap bidang STEM dan melahirkan lebih ramai saintis muda pada masa akan datang.

Translate »