Program Accessibility Tourism & Volunteer Tourism (Voluntourism) Siri 3
Tanjung Belungkur, Bandar Penawar, 6 November 2024 – Program Accessibility Tourism & Volunteer Tourism (Voluntourism) Siri 3 telah berjaya dilaksanakan di Tanjung Belungkur, Bandar Penawar, dengan dianjurkan Blerong (Nature Conservation) Services bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini melibatkan 8 peserta dari Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (cawangan Johor) sebagai langkah awal memperkenalkan model pelancongan inklusif kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).
Menariknya, program ini menyediakan tiga pakej interaktif, iaitu Pakej 1: Perlumbaan Burung dan Cip Cip Jom Kenali Burung, Pakej 2: Kayak & Bantuan Kecemasan, serta Pakej 3: Berjalan di Pantai dan Geotour di Tanjung Balau. Melalui aktiviti ini, para peserta bukan sahaja dapat merasai pengalaman avitourism, tetapi juga mendekati dunia alam tabii dengan bantuan sukarelawan.
Program ini turut memperkenalkan konsep Accessibility Tourism yang digandingkan dengan Volunteer Tourism, di mana orang awam diberi peluang menjadi sukarelawan bagi membantu setiap peserta OKU. Inisiatif ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada komuniti OKU sambil mendalami erti kesukarelawanan dan prihatin terhadap kepelbagaian keperluan individu dalam industri pelancongan.
Antara pihak yang turut serta menjayakan program ini termasuk Koperasi Belungkor Berhad, Koperasi Gerak Daya Wawasan Tanjung Serindit, Taman Madu Kelulut Bukit Belungkor, Belungkor Adventure Sdn Bhd , Sekolah Kebangsaan Sungai Papan, Poliklinik Tiram 24 Jam, Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat YB Tg Surat, Southern Reef Sdn Bhd, Naz Sport Management dan Tourism Malaysia Wilayah Selatan. Kehadiran mereka menambah nilai kerjasama pelbagai pihak dalam merealisasikan usaha untuk menjadikan pelancongan lebih mesra dan boleh diakses oleh semua golongan masyarakat.
Program ini diharap akan menjadi langkah pertama menuju pelancongan yang lebih inklusif dan memberi inspirasi kepada banyak lagi pihak untuk mengorak langkah yang sama dalam menawarkan kemudahan pelancongan untuk semua.
Last Updated on November 26, 2024