Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Kolaborasi Universiti bersama Industri Memacu Teknologi Hijau dan Sistem IoT dalam pertandingan ChemTex2024 

Pagoh, 10 November 2024 –Pelajar-pelajar tahun tiga dari Program Kimia Industri, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) baru-baru ini terlibat dalam pertandingan inovasi yang memperkenalkan idea berkaitan sistem Internet of Things (IoT) serta teknologi kimia hijau, dengan objektif mencapai kemajuan dalam beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) seperti kesejahteraan alam sekitar, pembangunan bandar pintar (smart-city), dan tenaga boleh diperbaharui. Pertandingan Competition and Innovation Exhibition in Digitalization in Industry and Green Chemistry 2024 (ChemTex 2024) yang diadakan di UTHM Kampus Pagoh ini telah diadili oleh juri-juri dari industri dan universiti.

Pertandingan ini bukan sahaja menguji daya kreativiti dan inovasi pelajar dalam menggabungkan teknologi IoT dengan prinsip kimia hijau, malah juga berfungsi sebagai platform untuk mengasah kebolehan mereka dalam menghasilkan penyelesaian praktikal yang mesra alam. Projek yang dipamerkan merangkumi aplikasi tenaga boleh diperbaharui, sistem pengawasan kualiti udara dan air melalui IoT, serta penggunaan bahan kimia lestari dalam pelbagai aplikasi industri dan bandar pintar. 

Ts. Dr. Suhadir Shamsuddin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dalam ucapan beliau berkata pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar untuk membuktikan kebolehan mereka dalam menangani cabaran teknologi hijau. “Dalam dunia yang semakin mencabar dari segi kelestarian alam sekitar, adalah penting bagi program sebegini diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar berinovasi dan berkongsi idea teknologi yang akan memacu masa depan.” Kenyataan ini disokong oleh En. Abdul Rahim Othman; dari Bahagian Teknologi & Kejuruteraan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) iaitu Penasihat Industri program Kimia Industri merangkap juri industri apabila menyarankan agar beberapa projek yang dikenalpasti mempunyai nilai potensi yang besar dapat digilap dan dibawa ke pertandingan inovasi peringkat lebih tinggi seterusnya dikembangkan ke peringkat aplikasi sebenar.  

Sebagai rekod, ChemTex 2024 merupakan kesinambungan ChemTex 2023 yang telah disertai oleh kumpulan pelajar sulung program ini. Pelajar-pelajar tersebut yang kini di tahun akhir sedang melalui Work-Based Learning (WBL) di industri juga dilaporkan memberi inspirasi kepada peserta pertandingan tahun ini, yang bercita-cita untuk menghasilkan inovasi yang lebih mantap dan boleh diaplikasikan dalam persekitaran sebenar. Pengalaman kerja tersebut memberi perspektif langsung tentang cabaran industri dan membantu memperkemaskan hasil inovasi peserta ChemTex2024 agar lebih relevan dengan keperluan industri semasa. Secara tidak langsung, pertandingan ini dilihat sebagai salah satu kaedah pembelajaran dan persediaan peserta ke WBL yang akan dijalani pada sesi akademik akan datang. 

Secara keseluruhan, ChemTex2024 yang dinaungi oleh penasihat program iaitu Dr.  Mohammad Arif Budiman Bin Pauzan dan ChM. Dr. Zalilah Murni Binti Yunus ini berjaya mencapai objektifnya hasil kerjasama erat pelbagai pihak di universiti iaitu FAST, Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat, para pensyarah, pihak industri, serta pelajar-pelajar Kimia Industri. Diharapkan kerjasama seperti ini akan terus berlanjutan pada masa hadapan untuk mencapai visi, misi, dan objektif UTHM dan Kementerian Pendidikan Tinggi, khususnya dalam menerapkan Work-Based Learning untuk melahirkan graduan yang kompeten, profesional dalam sektor TVET dan membentuk ciri-ciri teknousahawan global yang berteraskan nilai tauhid sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.  

Oleh: Dr.  Mohammad Arif Budiman Bin Pauzan dan ChM. Dr. Zalilah Murni Binti Yunus

Last Updated on November 26, 2024

Translate »