Kem Habit Teknosoleh
FAST | 25 & 26 Oktober 2024 | Kem Mabit Teknosoleh
Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Kelab Sains dan Teknologi (STC) telah menganjurkan Kem Mabit Teknosoleh pada 25 dan 26 Oktober 2024, bersama 30 pelajar komuniti Kampung Selancar di Surau Naib Idris, Kampung Selancar. Program ini bertujuan membentuk sahsiah dan mengembangkan kemahiran teknologi pelajar di komuniti tersebut.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk lawatan ke ladang kelulut, solat berjemaah, kuliah Maghrib, sesi pembangunan insan, qiamullail, dan kursus asas Microbit. Kursus asas Microbit ini dikendalikan oleh pelajar Tahun 2, program Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) dan Kepujian melalui kursus Electronic Testing and Maintenance. Dalam slot ini, komuniti setempat berpeluang mempelajari asas penggunaan Microbit dan gerakan motor.
Selain itu, kursus asas memanah turut disediakan kepada staf dan pelajar UTHM, yang dikendalikan oleh komuniti Kampung Selancar.
Majlis penutup program ini dirasmikan oleh YB Haji Najib bin Haji Lep. Harapan program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi sahsiah dan kemahiran teknologi, dengan nilai etika dan kompetensi yang tinggi. Diharapkan pelajar dapat memanfaatkan pengetahuan teknologi, seperti asas Microbit, untuk pembangunan komuniti dan memupuk kesedaran sosial. Selain itu, program ini juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat.
Last Updated on November 26, 2024