Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Sijil Kompetensi First Responder Life Support (FRLS) persiap mahasiswa  FAST hadapi cabaran kelangsungan hidup di darat dan air

Taman Negara Johor Gunung Ledang Lagenda, 21 Disember 2024– Seramai 18 mahasiswa Program Sarjana Muda (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) dengan Kepujian dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah berjaya memperoleh Sijil Kompetensi First Responder Life Support (FRLS) yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Penerima sijil dilatih supaya berupaya menyelamatkan diri dan orang terdekat jika berlaku sebarang kecemasan di darat air dan air. Hal ini kerana pelbagai kejadian kecemasan dan kemalangan tidak diduga boleh berlaku sepanjang di hutan, tanah tinggi, sungai dan laut yang menjadi keperluan penting kepada para mahasiswa bagi program sarjana muda dan seterusnya di dunia pekerjaan sebenar. 

Sijil kompetensi tersebut merupakan sebahagian kandungan silibus bagi kursus wajib Outdoor Safety and First Aid BWJ11201 yang memerlukan pelajar mahir secara teori dan praktikal bagi asas bantuan kecemasan dan keselamatan.

Program yang berlangsung 3 hari 2 malam terdiri daripada 10 modul utama dan telah dilaksanakan di beberapa lokasi antaranya Pusat Akuatik EduHub Pagoh bagi modul Water Rescue, Survival and Analysis. Seterusnya aktiviti simulasi di Taman Negara Johor Gunung Ledang Lagenda bagi beberapa modul seperti nyalaan api, ikatan tali, Wilderness First Aid, dan Basic Life Support

Pelajar seterusnya melalui ujian penilaian kompetensi secara bertulis dan amali oleh pegawai perubatan dan paramedik dari Persatuan Perubatan Kecemasan dan Trauma Hospital Segamat. Paling menarik, kursus tersebut turut disertai oleh 10 orang staf Perbadanan Taman Negara Johor terdiri daripada pegawai penyelidik, renjer hutan dan penguatkuasa hutan, membuktikan program ini adalah relevan kepada industri yang berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan. 

Disediakan oleh: Ts. Dr. Siti Fatimah Binti Sabran, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Food Intech 8.0: Konvensyen Keterjaminan dan Kualiti Makanan (KEKAL 2025)

8 Januari 2025 | Food Intech 8.0: Konvensyen Keterjaminan dan Kualiti Makanan (KEKAL 2025)

Pelajar Tahun 3 Kursus Makanan Fungsian dan Nutraseutikal & Pelajar Tahun 4 Pembangunan Produk Makanan telah menjayakan Program FOOD INTECH 8.0: Konvensyen Keterjaminan & Kualiti Makanan (KEKAL 2025) pada 8 Januari 2025 bertempat di Ruang Legar , UTHM Pagoh.

Program ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang kepentingan keterjaminan makanan (food security) dan kualiti makanan dalam kalangan pelajar dan staf FAST, memberi pendedahan dan ruang kepada pelajar untuk menerapkan ilmu dan kemahiran teknologi makanan melalui pameran, pembentangan poster, dan pertandingan inovasi produk makanan serta menyediakan platform bagi pelajar untuk berkongsi idea hasil pembelajaran mereka secara langsung dalam program ini. Banyak pembangunan produk terkini yang dikongsi pelajar dan ia mampu diketengahkan lebih lagi.

Program Masyarakat Dan Pembangunan Komuniti Antarabangsa: Analisis Asas Tanah – Pemindahan Ilmu Kepada Komuniti Pertanian Di Kawasan Komuniti Panchor Yang Berkaitan Teknologi Nano Bagi Memulihara Dan Memelihara Tanah Bagi Kegunaan Pertanian Lestari

30 Dis 2024, Taman Herba, UTHM– FAST sekali lagi menunjukkan komitmen dalam memperkasa masyarakat di peringkat tempatan dan global melalui pelbagai inisiatif. Baru-baru ini program ‘Analisis Asas Tanah’ di Taman Herba, Blok J, UTHM telah berjaya dilaksanakan. Program ini merupakan kesinambungan daripada program ResQ Tanah di Balai raya Kampung Sg. Ranggam pada 26 November 2024 lepas. Berbeza dengan program sebelumnya, program kali ini menumpukan kepada pemindahan ilmu berkaitan kesihatan tanah kepada komuniti pertanian di kawasan Komuniti Panchor serta membawa komuniti ke universiti. Dengan memanfaatkan penggunaan peralatan analisis tanah, inisiatif ini bertujuan untuk mengenal pasti masalah tanah sebelum aktiviti memulihara dan memelihara kualiti tanah dapat dijalankan, sekali gus memastikan kelestarian sektor pertanian.

Program ini dibiayai melalui Geran Komuniti Madani di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, bertujuan untuk memberi impak positif kepada komuniti Kampung Sungai Ranggam, Panchor khususnya. Seramai hampir 115 peserta yang terdiri daripada komuniti kampung dan mahasiswa hadir untuk memperkasa dan mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan pertanian lestari bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

Menurut PM Dr Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi, selaku Pengarah program, ia bertujuan untuk mendekatkan penduduk kampung dengan suasana pembelajaran di universiti, memberikan mereka peluang untuk melihat secara langsung persekitaran akademik. Di samping itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan memulihara dan memelihara kualiti tanah dengan menggunakan peralatan analisis yang terdapat di universiti.

Pengisian aktiviti seperti ceramah dan demonstrasi oleh PM Dr Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi dan pelajar turut dijalankan. Program ini turut dihadiri ketua penyelidik untuk geran ini, iaitu PM Dr Mohd Saifullah Rusiman. Ini membantu memperluas pengetahuan peserta mengenai kaedah mengetahui tahap kesihatan tanah dan bagaimana proses pemuliharaan dan pemeliharaan tanah boleh dijalankan. 

Program Analisis Tanah ini sekali lagi menampilkan elemen pembangunan komuniti antarabangsa dengan penglibatan pensyarah dan pelajar dari Central Luzon State University, Filipina. Kehadiran mereka membuka ruang untuk perkongsian idea serta penerokaan bagaimana program ini dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti tempatan, tetapi juga kepada komuniti antarabangsa. Pertukaran ilmu yang berlaku memperkayakan pemahaman tentang amalan pertanian lestari dan pengurusan tanah secara efisien. Melalui kerjasama ini, program ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara komuniti tempatan dan antarabangsa, sekaligus memperluaskan impaknya kepada pelbagai pihak.

Kesimpulannya, program Analisis tanah ini amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana ia berfokus pada analisis tanah sebelum perawatan dan pemeliharaan tanah di kawasan Panchor, Johor dapat dijalankan. Semoga program ini menjadi platform penyelesaian masalah serta tanda ukur untuk pembangunan teknologi dan sumber insan yang berilmu serta berdaya saing. 

Memupuk Penguasaan Python untuk Generasi Baharu Penganalisis Data Melalui Inisiatif SULAM

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), telah berjaya menganjurkan Program SULAM 2024 dengan tema Python Programming for the Next Generation of Young Data Analysts. Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) yang berlangsung pada 13 Disember 2024 di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ). Program ini bertujuan merapatkan hubungan universiti dengan masyarakat serta meningkatkan kualiti pendidikan.

Program ini dipimpin oleh 27 orang pelajar tahun kedua Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian sebagai sebahagian daripada kursus mereka yang menekankan pembelajaran berimpak tinggi dalm kursus Kaedah Berangka. Melalui program ini, pelajar dapat mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, penyelesaian konflik, kerja berpasukan, daya tahan, dan ketekunan – ciri-ciri penting untuk menghadapi cabaran dunia sebenar.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Dekan FAST, Prof. Madya Chen Ts. Dr. Hatijah Basri, bersama kehadiran wakil dari KMJ, En. Nik Abdul Jamal bin Muhammad dan Encik Zulkarnain Sanip. Program ini melibatkan 100 pelajar Sains Komputer dari KMJ sebagai peserta. Di bawah pengarah program, Nurul Syahirah Zairul Adam, serta bimbingan Penasihat Program, Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin, program ini telah mencapai matlamat yang diharapkan.

Antara objektif utama program ini adalah memberi pendedahan awal kepada pelajar KMJ mengenai asas pengaturcaraan Python, seperti sintaks asas dan logik pengaturcaraan, untuk memperkukuhkan kemahiran teknologi mereka. Selain itu, ia bertujuan membentuk kemahiran penting abad ke-21, termasuk pemikiran kritis, penyelesaian masalah, dan kreativiti. Program ini juga mendorong minat pelajar terhadap bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).

Fasilitator UTHM telah menyediakan modul khas bertajuk Python for Beginners: Learn Python Like a Hero. Modul ini merangkumi enam topik utama: pengenalan sintaks, jenis data, struktur data, kawalan aliran, pengaturcaraan berorientasikan objek (OOP), perpustakaan Python, dan pembangunan Graphical User Interface (GUI). Modul ini telah didaftarkan sebagai Hak Cipta, membuktikan komitmen UTHM dalam menyediakan bahan pembelajaran berkualiti untuk masyarakat.

Program ini memberi manfaat besar kepada pelajar KMJ dengan memperkenalkan kemahiran baru dalam pengaturcaraan Python yang tidak terdapat dalam silibus tradisional. Kemahiran ini membuka peluang kepada mereka untuk meneroka bidang seperti analitik data, pembangunan perisian, dan kecerdasan buatan, yang semakin relevan dalam era Revolusi Industri 4.0. Pelajar UTHM juga mendapat pengalaman berharga dalam bidang pengajaran, meningkatkan kemahiran komunikasi, serta memperkukuhkan kepimpinan dan pengurusan projek mereka.

FAST sentiasa berusaha memenuhi keperluan masyarakat setempat dengan menawarkan pelbagai kepakaran. FAST juga menyediakan program pengajian berasaskan industri, seperti Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian dan Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) dengan Kepujian, yang direka khusus untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa kini. Program-program ini menyumbang kepada pembangunan modal insan yang menyokong agenda teknologi dan inovasi negara.Secara keseluruhannya, Program SULAM 2024 membuktikan usaha FAST UTHM dalam menyelaraskan pembelajaran akademik dengan keperluan komuniti. Pendekatan inovatif ini bukan sahaja memenuhi objektif program tetapi turut memberikan impak jangka panjang kepada pelajar, fasilitator, dan masyarakat secara keseluruhan. Program ini mencerminkan komitmen UTHM untuk menjadi institusi pendidikan yang relevan dan responsif terhadap kehendak masyarakat dan industri.

UTHM dan MOTAC Jalinkan Kolaborasi Berterusan dalam Pelancongan Alam di Johor

JOHOR BAHRU, 20 Disember 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan kolaborasi berterusan dalam bidang pelancongan alam melalui penglibatan di Festival Kraf Johor 2024 yang berlangsung di Padang Akasia, Angsana Mall Johor Bahru dari 19-22 Disember. Antara sorotan program ialah temubual podcast Tourism Malaysia Southern Region yang menampilkan Dr. Salasiah Mohamad dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi. Beliau berkongsi perspektif UTHM dalam pembangunan pelancongan alam, dengan menekankan peluang kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) khususnya Tourism Malaysia Wilayah Selatan serta pemain industri untuk mengintegrasikan elemen pendidikan, kelestarian, dan ekonomi komuniti setempat.

Program ini turut menyerlahkan penyelidikan pelajar tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) dengan Kepujian (BWW) di bawah seliaan Dr. Nor Atiqah Norazlimi, iaitu Cik Nurul Farisyah Mat Zaidi yang mempersembahkan prototaip arca burung bagi projek sarjana muda beliau dalam bidang avitourism. Hasil inovasi ini telah dirangka sebagai sebahagian daripada pakej utama Accessibility Tourism & Volunteer Tourism (Voluntourism) yang akan diperkenalkan di Tanjung Belungkur, Bandar Penawar. (kesinambungan dari https://fast.uthm.edu.my/program-accessibility-tourism-volunteer-tourism-voluntourism-siri-3/)

Selain itu, hasil kurasi serangga, kraftangan serta modul pelancongan alam dari sumber semula jadi hasil karya pelajar BWW turut dipamerkan. Produk ini menonjolkan kreativiti dan potensi komersial dalam bidang pelancongan alam yang berteraskan kelestarian. Sejurus sesi podcast, perbincangan turut dijalankan bersama Penolong Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, En. Amirul Asyraf Muhd Juhari, dan wakil Blerong Nature Conservation Services, En. Efendi, bagi meneroka peluang kolaborasi bagi memantapkan lagi sektor pelancongan alam di Johor.

Diharapkan UTHM akan terus dapat menjadi rakan strategik dalam memperkaya potensi pelancongan lestari di negeri Johor kerana bukan sahaja dapat memacu pembangunan ekonomi negeri Johor, tetapi turut mendukung usaha memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap pemuliharaan kepalbagaian biologi. 

Link podcast: https://www.instagram.com/reel/DDy1w0eTZnw

PROGRAM LITTLE FOOD EXPLORACE

PANCHOR, 15-17 Disember 2024: Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menganjurkan Program SULAM 2024: Little Food Explorace dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Panchor, Pejabat Pendidikan Daerah Muar, dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Program selama tiga hari ini memfokuskan kepada pendidikan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat kepada lebih 150 pelajar sekolah rendah.

Program bermula dengan aktiviti senamrobik dan ice breaking yang bertujuan mencetuskan semangat serta membina hubungan mesra antara pelajar dan fasilitator. Ceramah pendek mengenai pentingnya pemakanan seimbang turut disampaikan oleh wakil fakulti. Selepas rehat, pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti explorace yang menyeronokkan, melibatkan tugasan seperti teka silang kata, memasak mudah, dan kuiz interaktif. Aktiviti-aktiviti ini direka untuk mendidik pelajar tentang pemakanan sihat secara santai. Program explorace telah berlangsung selama 3 hari melibatkan pelajar yang berlainan aras.

Hari terakhir menampilkan pameran makanan seimbang dan sihat. Pameran ini menonjolkan poster dan produk berkaitan pemakanan sihat, memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari piramid makanan dan cara memilih makanan berkhasiat. majlis penutup disempurnakan dengan ucapan Dekan FAST dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En Nurul Hakim Bin Ahmad dan Pengarah Program, penyampaian hadiah kepada peserta terbaik, serta tayangan video montaj yang merakam perjalanan program selama tiga hari.

Impak Positif

Program ini berjaya memberikan pendedahan penting kepada pelajar sekolah rendah mengenai gaya hidup sihat. Aktiviti yang pelbagai dan menarik berjaya menanam kesedaran tentang pemakanan seimbang dengan cara yang menyeronokkan. Selain itu, hubungan antara pihak universiti, sekolah, dan komuniti setempat turut diperkukuh melalui program ini.

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM, berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memberi manfaat lebih meluas kepada pelajar dan masyarakat. Program SULAM 2024: Little Food Explorace telah membuktikan bahawa pendidikan kesihatan boleh dilakukan dengan kreatif dan interaktif.

Program SULAM-STEMTASTIC JUNIOR 2024

Pada 16 Disember 2024, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan jayanya telah menganjurkan Program SULAM-STEMTASTIC JUNIOR 2024 bertempat di Taman Herba UTHM Kampus Pagoh. Program ini melibatkan pelajar Tahun 1 dan Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) Dengan Kepujian (BWW) melalui kursus Seminar Tahun 1 (BWU10401) dan Pengenalan Pelancongan Semulajadi (BWJ30403), di bawah bimbingan Ts. Dr. Furzani Pa’ee dan Ts. Dr. Salasiah Mohamad, manakala En. Haiqal Hazwan Mohd Hanafi dari 3BWW selaku pengarah program.

Seramai 25 orang murid tahun 4 dari Sekolah Kebangsaan Pekan Pagoh, dengan bimbingan dua guru pengiring, telah menyertai program ini. Program yang dijalankan di sekitar kawasan Taman Herba, Blok J, UTHM Kampus Pagoh  ini dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan minat dan kesedaran pelajar terhadap subjek sains, sekaligus memberikan pengalaman pembelajaran STEM yang unik di persekitaran universiti. Para pelajar turut berpeluang mengaplikasikan pengetahuan asas sains tumbuhan serta kepelbagaian biologi dan pemuliharaan dalam kehidupan seharian melalui pendekatan kreatif dan interaktif. Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk seni pembuatan seedbombs iaitu pelajar mempelajari teknik mudah dan mesra alam untuk menyemai tumbuhan, dan juga interpretasi alam yang memberi peluang kepada peserta untuk memahami dan menghargai kepentingan dan kegunaan tumbuhan ubatan. Alatan seedbombs yang digunakan termasuklah tanah semaian, kompos, tanah liat dan biji benih terpilih. Para peserta kelihatan begitu teruja dan bersemangat di sepanjang program dijalankan kerana dapat menimba pengetahuan dan pengalaman baru berkaitan STEM. 

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FAST, PM. Ts. Dr. Noor Azura Awang. Turut hadir ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Ts. Dr. Suhadir Shamsuddin, serta Ketua Jabatan Teknologi & Sumber Semulajadi, PM. Ts. Dr. Norazlin Abdullah, Felo Perhubungan Masyarakat, Dr. Nurul Nadia Adnan serta PIC sekolah angkat, Dr. Nor Atiqah Norazlimi

Program SULAM-STEMTASTIC JUNIOR 2024 diharapkan dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk memanfaatkan pengetahuan sains dalam aktiviti praktikal seperti penanaman tumbuhan dan penghijauan semula, sambil mengukuhkan kesedaran tentang kepentingan memulihara kepelbagaian biologi dan menjaga kelestarian alam sekitar.

Program Meet and Greet BWQ & BWS

6 Disember 2024, Jumaat | Program Meet and Greet Bersama Pelajar Statistik Industri Dan Pelajar Analitik Data Komputasi telah berjaya dianjurkan oleh pelajar tahun 3 Program Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) dengan Kepujian yang bertempat di Pusat Konvensyen, Edu Hub Pagoh, bermula dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari. 

Program ini bertujuan untuk menjalinkan ukhwah antara pensyarah dan pelajar daripada Program Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) dengan Kepujian serta Program Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian. Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan profesional dan akademik dalam kalangan komuniti pelajar dan pensyarah di bawah Jabatan Matematik dan Statistik.

Program ini telah melibatkan penyertaan seramai 72 pelajar sebagai peserta yang diturut serta oleh pelajar tahun 1, 2 dan 4 Program Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) dengan Kepujian, dan pelajar tahun 1 dan 2 Program Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian serta 6 orang pensyarah dari Jabatan Matematik dan Statistik. Sebanyak 7 aktiviti telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Aktiviti-aktiviti ini direka khas untuk menggalakkan kerjasama, komunikasi, dan pembelajaran secara interaktif dalam suasana santai dan menyeronokkan. Seramai 56 pelajar tahun 3 dari Program Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) telah memainkan peranan penting sebagai ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan program ini. 

Program ini telah dibimbing sepenuhnya oleh Dr. Sabariah Binti Saharan dari Jabatan Matematik dan Statistik. Dengan sokongan beliau, penganjuran ini bukan sahaja mencapai objektif utama tetapi turut mencipta kenangan bermakna kepada semua yang terlibat. Program seperti ini diharapkan dapat terus dijalankan bagi memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan warga akademik serta menyumbang kepada pengalaman pembelajaran holistik pelajar universiti.

Program Panel Matematik bersama Penasihat Industri di FAST UTHM

Pagoh – Pada 24 November 2024 Panel Matematik telah menjayakan program Panel Matematik bersama Penasihat Industri di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) UTHM. Penasihat Industri, En. Harley Ooi dari Edustats Solution telah berkongsi ilmu, idea dan pengalaman bersama Panel Matematik bagi memajukan program Matematik Teknologi supaya seiring dengan kepesatan industri dan teknologi. 

Program ini berteraskan beberapa aktiviti di antaranya perbincangan Projek Sarjana Muda (PSM) bersama beberapa orang pelajar Program Matematik Teknologi. Seterusnya, perbincangan semakan kurikulum PSM dan Latihan Industri (LI) diteruskan di antara ahli panel Matematik dan Penasihat Industri. Pada petangnya sesi ceramah industri di teruskan di bawah kursus Special Topics on Mathematics Technology. Perkongsian berkenaan risk analysis, penggunaan plug-in Risk Simulator dalam Microsoft Excel serta skillset yang diperlukan oleh industri dan projek-projek pembangunan negara pada masakini dan akan datang.

Tahniah Penerima MINDS Meritorious Award 2024 di MyIIC

Syabas dan Jutaan Tahniah diucapkan kepada Prof. Madya Ts. Dr Suliadi Firdaus Sufahani atas kejayaan yang sangat membanggakan sebagai penerima MINDS Meritorious Award 2024 di Malaysia Inventor and Innovator Convention 2024 (MyIIC)

Translate »