Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Program Jelajah Ilmu UTHM-UPM: Where Math Meets Data In Motion

Program Jelajah Ilmu UTHM-UPM: Where Math Meets Data In Motion telah diadakan pada 15 Mei 2025 sebagai kolaborasi antara UTHM dan UPM. Ia dianjurkan oleh pelajar Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) UTHM bersama Kelab Matematik Statistik UPM.

Program dirasmikan oleh Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Dr. Afandi Ahmad, diikuti sesi perkongsian oleh Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin bertajuk “Equipping Tomorrow’s Workforce: WBL and Industry Skills Alignment” yang juga merupakan Penasihat program.

Pelajar UPM turut mengendalikan mini games yang menceriakan suasana dan mengeratkan hubungan antara peserta.

Segmen tumpuan bertajuk “Generative AI” disampaikan oleh PM. Dr. Hamizah Mohd Safuan dan Dr. Khuneswari A/P Gopal Pillay, yang berjaya menarik penyertaan hampir 100 peserta.

Program berakhir pada jam 5.00 petang dengan maklum balas yang sangat positif daripada para peserta.

Tahniah kepada semua yang menjayakan program ini 🎉🎉🎉

10 Pelajar FAST UTHM Sertai Program Mobiliti Antarabangsa di Thailand!

10 Pelajar FAST UTHM Sertai Program Mobiliti Antarabangsa di Thailand!
📍 Prince of Songkla University, Thailand
📅 4 – 10 Mei 2025

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM terus mengorak langkah ke peringkat global apabila 10 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) menyertai program mobiliti antarabangsa di Prince of Songkla University (PSU), Thailand.

Dengan tema “Next-Gen Fruit and Vegetable Processing: From Conventional Methods to Novel Innovations”, pelajar didedahkan kepada teknologi pemprosesan makanan terkini seperti plasma sejuk, HPP, dan teknik inovatif lain selain kaedah konvensional.

Program ini juga merangkumi aktiviti amali, lawatan ke ladang buah salak, pasar tempatan, kilang makanan serta institusi penyelidikan PSU. Ia bukan sahaja memberi pendedahan industri, malah memperkukuh jaringan antarabangsa dan kefahaman rentas budaya.

Program ini tidak akan berjaya tanpa sokongan penuh Pejabat Antarabangsa (IO) UTHM yang menyediakan bantuan kewangan dan logistik sepanjang mobiliti ini. Terima kasih atas komitmen dan kerjasama erat dalam menjayakan inisiatif global ini! 🙏🌐

Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar selaku Penyelaras Mobiliti UTHM menegaskan bahawa program ini adalah platform penting untuk membentuk pelajar berdaya saing global. Majlis penutup turut diserikan dengan penyampaian sijil dan lawatan kebudayaan sekitar Songkhla.

🇹🇭🤝🇲🇾 📸 Saksikan sorotan sepanjang program dalam galeri gambar kami!

Lawatan delegasi Universitas Airlangga, Indonesia (UNAIR) ke Photonic Devices and Sensor Research (PDSR),Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi.

Pada 5 Mei 2025, seramai tiga orang delegasi dari Universitas Airlangga (UNAIR), Surabaya, telah mengadakan lawatan rasmi ke ‘Photonic Devices and Sensor Research (PDSR),Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi. Delegasi ini diketuai oleh Prof. Dr. Khusnul Ain, Koordinator Program Sarjana, Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Teknologi, Universitas Airlangga.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mengadakan perbincangan mengenai potensi kolaborasi dalam bidang penyelidikan sensor, khususnya dalam konteks fizik gunaan. Selain itu, sesi perbincangan turut menyentuh beberapa isu semasa, termasuk:


• Kemerosotan minat pelajar terhadap program fizik,
• Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran dan pembelajaran, dan
• Peluang kerjasama dalam bidang-bidang lain yang berkaitan.


Delegasi UNAIR turut disertai oleh dua orang pensyarah kanan, iaitu Dr. Ir. Soegianto dan Dr. Iman Sapuan. Pihak PDSR pula diwakili oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa, Ketua Pusat PDSR, dan Dr. Nadia Adnan, pensyarah Fizik merangkap penyelidik kanan di pusat tersebut.

Hasil daripada lawatan ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memeterai satu Surat Niat (LoI) bagi memperkukuh kerjasama yang dicadangkan. Dokumen tersebut dijangka akan ditandatangani dalam masa terdekat.

Tahniah atas Penerbitan di Majalah KOSMIK!

Tahniah diucapkan kepada Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin atas penerbitan artikel beliau dalam majalah KOSMIK edisi Mei 2025, bertempat di muka surat 38, dengan tajuk yang menarik dibawah topik Sains Pengurusan iaitu:

“Pengurusan Inventori Berasaskan Model Pengoptimuman: Strategi Pintar Perniagaan Moden.”

Klik di sini untuk Pautan Majalah Kosmik Mei 2025.

Artikel ini membincangkan bagaimana pendekatan berasaskan model pengoptimuman dapat meningkatkan kecekapan pengurusan inventori dalam perniagaan moden. Ts. Dr. Wan Nor Munirah menghuraikan strategi yang dapat membantu syarikat mengurangkan kos, memaksimumkan sumber, dan merancang inventori secara lebih pintar dan sistematik. Pendekatan ini bukan sahaja bersifat teoritikal tetapi turut disokong dengan aplikasi praktikal yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai sektor industri.

Kejayaan ini merupakan bukti komitmen Ts. Dr. Wan Nor Munirah dalam menjadikan ilmu pengetahuan lebih mudah diakses dan relevan kepada masyarakat luar kampus, sekali gus menyerlahkan peranan akademik dalam memperkasa industri melalui penulisan ilmiah popular.

Syabas atas pencapaian cemerlang ini! Semoga terus menghasilkan karya-karya yang memberi impak besar kepada masyarakat dan negara.

PROJEK “GRAPHTORY” RAIH PENGIKTIRAFAN GEMILANG DI EREKA 2025

Projek inovasi bertajuk “GraphTory: Revolutionizing Product Bundling with Graph Network (ID-613)” telah meraih Anugerah Khas Kluster (Sains Sosial, Perniagaan & Inovasi Pengajaran) serta Pingat Emas dalam Ekspo Penyelidikan, Rekacipta dan Inovasi Kebangsaan (EREKA 2025) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Projek ini diketuai oleh Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin, penyelidik dari Computational Intelligence and Data Science Focus Group, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM. Inovasi ini merupakan hasil kerjasama strategik merentasi pelbagai disiplin dan kepakaran dari universiti-universiti berbeza serta pihak industri, dalam usaha menghasilkan solusi berimpak tinggi untuk keperluan semasa.

Ahli pasukan terdiri daripada:

  • Dr. Emy Aizat Azimi (Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia)
  • Dr. Azrita Mohd Amin (Universiti Malaysia Perlis)
  • Prof. Raja Suzana Raja Kasim (Universiti Malaysia Kelantan)

Selain itu, projek ini turut dibantu oleh pelajar Tahun Akhir Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) dengan Kepujian, Cik Khairunnisa Muhammad bersama kepakaran dari UniMAP dalam menganalisis data.

Kejayaan ini membuktikan potensi penyelidikan rentas disiplin dalam menghasilkan penyelesaian inovatif yang menyokong keperluan industri, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME). Pihak pasukan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menyokong dan mendoakan kejayaan projek ini.

Pantri Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) Berwajah Baharu

Seiring dengan pelaksanaan Kempen Keberadaan Staf di Pejabat yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah mengambil inisiatif menaik taraf kemudahan pantri fakulti sebagai usaha mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif, selesa dan menyokong kesejahteraan staf.

Pada 24 April 2025, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim, diiringi oleh YBhg. Provost Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Madya Dr. Afandi bin Ahmad, ke pantri fakulti yang telah diberi nafas baharu.

Usaha penaiktarafan ini merupakan sebahagian daripada Kempen Keberadaan Staf di Pejabat, yang giat dilaksanakan oleh pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UTHM. Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, selesa dan menyokong kesejahteraan warga universiti.

Penambahbaikan pantri ini dilaksanakan dengan matlamat berikut:

  • Menyediakan ruang makan yang selesa bagi staf yang membawa bekal.
  • Menggalakkan kehadiran dan keberadaan staf di pejabat.
  • Menjimatkan masa staf daripada perlu keluar membeli makanan.
  • Meningkatkan interaksi sosial dan semangat berpasukan dalam kalangan warga kerja.
  • Mewujudkan suasana kerja yang lebih fokus dan produktif.

Fakulti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Naib Canselor dan YBhg. Provost atas kesudian hadir serta sokongan yang amat bermakna terhadap usaha pembangunan kesejahteraan staf.

Warga FAST dijemput untuk terus memanfaatkan dan menghidupkan ruang pantri ini dengan aktiviti yang membina serta pengisian yang bermanfaat, demi kecemerlangan bersama.

Mobiliti in-Bound RIT, India di FAST

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa apabila menerima kehadiran lapan pelajar dari Rajalakshmi Institute of Technology (RIT), India, untuk menyertai Program Mobiliti Inbound di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) bagi Semester II, Sesi Akademik 2024/2025.

Program yang berlangsung dari 13 hingga 19 April 2025 ini memberi peluang kepada pelajar RIT untuk memperluaskan pengalaman akademik mereka dalam bidang data analitik dan statistik industri. Di samping itu, mereka turut berpeluang bertukar idea dengan pelajar dan pensyarah UTHM.

Sepanjang berada di Malaysia, para pelajar turut menyelami budaya tempatan, sekali gus mengeratkan hubungan dua hala antara UTHM dan RIT.

Program ini merupakan lanjutan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kedua-dua institusi pada September 2024, yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Sepanjang program, para peserta menyertai pelbagai aktiviti akademik dan sosial, termasuk menghadiri kuliah di FAST, melawat kampus induk UTHM, serta mengambil bahagian dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri — satu pengalaman yang memberi mereka peluang untuk memahami budaya Malaysia dengan lebih mendalam.

Dekan FAST, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Hatijah Basri, mengucapkan tahniah kepada semua peserta program.

“Program ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran kepada pelajar antarabangsa, malah turut memperkukuh hubungan antara UTHM dan institusi pengajian tinggi luar negara.

“Dengan kerjasama erat antara Prof. Madya Dr. Kavikumar Jacob (FAST) dan Dr. Indumathi Arivarasu dari RIT, program ini diharapkan dapat memberi impak besar kepada para peserta dan komuniti akademik kedua-dua institusi,” ujarnya.

UTHM kekal komited dalam memperluas kerjasama antarabangsa serta menyediakan pelbagai peluang mobiliti kepada pelajar untuk memperkaya pengalaman pendidikan mereka di peringkat global.

Dengan sokongan berterusan daripada fakulti dan pihak universiti, UTHM berharap agar lebih banyak program seumpamanya dapat dilaksanakan pada masa akan datang, memberi impak positif kepada pembangunan akademik dan profesional para pelajar.

Program Infaq Ramadan memupuk budaya prihatin 

Mengambil keberkatan di bulan Ramadan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi(FAST) dengan inisiatif Kelab Kebajikan Staf Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (KEiSSWA ) telah menjayakan program infaq Ramadhan yang bertemakan “Infak Ramadan sebagai Jambatan Prihatin di Tempat Kerja”. Objektif program bertujuan untuk memastikan golongan yang kurang berkemampuan mampu menjalani ibadah puasa dengan selesa dan melakukan persediaan perayaan dengan penuh gembira dan harapan. Kempen infak yang hanya berlangsung dalam masa tujuh hari ini berjaya mendapat kutipan sebanyak RM1113.70 dan telah diagihkan kepada 20 penerima yang terdiri daripada rakan sekerja dan pekerja pencucian.  Sambutan positif daripada penyumbang dilihat sebagai manifestasi keprihatinan yang tinggi di kalangan ahli kelab terhadap golongan yang kurang berkemampuan.

Sumbangan berupa barang keperluan harian dan duit raya sebagai simbolik kasih sayang dan sokongan kepada mereka yang memerlukan. Menurut Pengerusi KEiSSWA, Prof. Ts. Dr. Azme bin Khamis, program ini dilihat bukan sahaja membantu daripada segi material, tetapi juga menyuntik semangat dan harapan kepada mereka yang sedang menghadapi kesulitan hidup. Dengan adanya bantuan ini, mereka dapat merasai keceriaan dan kepedulian daripada tempat mereka mencari rezeki. 

Impak program ini dilihat lebih besar dari sasaran apabila ia secara tidak langsung membentuk budaya prihatin dan suasana kondusif di tempat kerja serta meningkatkan kesedaran tentang pentingnya bantuan sosial dikalangan golongan kurang berkemampuan. Secara kesimpulannya, diharapkan program serupa akan menjadi tradisi tahunan bagi membantu golongan tidak berkemampuan merasakan keprihatinan dan kebahagiaan daripada rakan sekerja serta masyarakat, demi mencipta budaya tempat kerja yang lebih harmonis dan prihatin.

PROGRAM INFAQ RAMADAN 2.0

Pada 21 Mac 2025, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM dengan jayanya telah menganjurkan Program Infaq Ramadan 2.0 bertempat di Sekolah Kebangsaan Lenga, Pagoh. Program ini bertujuan menyantuni murid sekolah yang kurang berkemampuan sempena bulan Ramadan yang mulia. Seramai 31 orang murid telah menerima sumbangan keperluan asas seperti minyak masak, beras, tepung, kelengkapan sekolah serta duit raya bagi meringankan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri. Program ini merupakan inisiatif Kelab Pascasiswazah FAST (FPC) di bawah bimbingan Prof. Madya Ts. Dr. Siti Suhana Jamaian dan Dr. Nor Atiqah Norazlimi.

Majlis penyerahan sumbangan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Dekan (Penyelidikan, Penerbitan dan Pembangunan), FAST, Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Bin Abu Bakar yang mewakili Dekan FAST.

Program ini adalah kesinambungan daripada kejayaan Program Infaq Ramadan 1.0 yang telah dianjurkan pada tahun 2024. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua penyumbang dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Terima kasih juga kepada Pusat Pengajian Siswazah (PPS), UTHM atas sokongan yang berterusan. Semoga usaha ini terus memupuk semangat keprihatinan dan amalan berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat setempat.

Lawatan Pemantauan Pelajar WBL Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi UTHM ke Mahidol University, Thailand

24 Februari 2025 – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan lawatan pemantauan pelajar Work-Based Learning (WBL) bagi Program Sarjana Muda Kimia Industri dengan Kepujian (BWK) ke Department of Microbiology, Faculty of Medicine, Siriraj Hospital, Mahidol University, Thailand.

Lawatan ini telah diketuai oleh ChM. Dr. Saliza binti Asman, Penyelia WBL Fakulti, bersama ChM. Dr. Mohammad Arif Budiman bin Pauzan, Penyelaras MoU. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memantau perkembangan pelajar UTHM, Vyranath a/l Ko Mon, yang sedang menjalani latihan industri di universiti terkemuka tersebut.

Sepanjang lawatan, delegasi UTHM berpeluang berbincang dengan pihak universiti serta menyaksikan sendiri kemudahan dan suasana pembelajaran di sana. Lawatan ini turut bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara UTHM dan Mahidol University dalam meningkatkan kualiti pembelajaran berasaskan industri. Lawatan pemantauan ini turut menegaskan komitmen UTHM dalam memastikan kebajikan dan perkembangan akademik pelajar sentiasa terpelihara, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Translate »