Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Memupuk Penguasaan Python untuk Generasi Baharu Penganalisis Data Melalui Inisiatif SULAM

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), telah berjaya menganjurkan Program SULAM 2024 dengan tema Python Programming for the Next Generation of Young Data Analysts. Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) yang berlangsung pada 13 Disember 2024 di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ). Program ini bertujuan merapatkan hubungan universiti dengan masyarakat serta meningkatkan kualiti pendidikan.

Program ini dipimpin oleh 27 orang pelajar tahun kedua Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian sebagai sebahagian daripada kursus mereka yang menekankan pembelajaran berimpak tinggi dalm kursus Kaedah Berangka. Melalui program ini, pelajar dapat mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, penyelesaian konflik, kerja berpasukan, daya tahan, dan ketekunan – ciri-ciri penting untuk menghadapi cabaran dunia sebenar.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Dekan FAST, Prof. Madya Chen Ts. Dr. Hatijah Basri, bersama kehadiran wakil dari KMJ, En. Nik Abdul Jamal bin Muhammad dan Encik Zulkarnain Sanip. Program ini melibatkan 100 pelajar Sains Komputer dari KMJ sebagai peserta. Di bawah pengarah program, Nurul Syahirah Zairul Adam, serta bimbingan Penasihat Program, Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin, program ini telah mencapai matlamat yang diharapkan.

Antara objektif utama program ini adalah memberi pendedahan awal kepada pelajar KMJ mengenai asas pengaturcaraan Python, seperti sintaks asas dan logik pengaturcaraan, untuk memperkukuhkan kemahiran teknologi mereka. Selain itu, ia bertujuan membentuk kemahiran penting abad ke-21, termasuk pemikiran kritis, penyelesaian masalah, dan kreativiti. Program ini juga mendorong minat pelajar terhadap bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).

Fasilitator UTHM telah menyediakan modul khas bertajuk Python for Beginners: Learn Python Like a Hero. Modul ini merangkumi enam topik utama: pengenalan sintaks, jenis data, struktur data, kawalan aliran, pengaturcaraan berorientasikan objek (OOP), perpustakaan Python, dan pembangunan Graphical User Interface (GUI). Modul ini telah didaftarkan sebagai Hak Cipta, membuktikan komitmen UTHM dalam menyediakan bahan pembelajaran berkualiti untuk masyarakat.

Program ini memberi manfaat besar kepada pelajar KMJ dengan memperkenalkan kemahiran baru dalam pengaturcaraan Python yang tidak terdapat dalam silibus tradisional. Kemahiran ini membuka peluang kepada mereka untuk meneroka bidang seperti analitik data, pembangunan perisian, dan kecerdasan buatan, yang semakin relevan dalam era Revolusi Industri 4.0. Pelajar UTHM juga mendapat pengalaman berharga dalam bidang pengajaran, meningkatkan kemahiran komunikasi, serta memperkukuhkan kepimpinan dan pengurusan projek mereka.

FAST sentiasa berusaha memenuhi keperluan masyarakat setempat dengan menawarkan pelbagai kepakaran. FAST juga menyediakan program pengajian berasaskan industri, seperti Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian dan Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) dengan Kepujian, yang direka khusus untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa kini. Program-program ini menyumbang kepada pembangunan modal insan yang menyokong agenda teknologi dan inovasi negara.Secara keseluruhannya, Program SULAM 2024 membuktikan usaha FAST UTHM dalam menyelaraskan pembelajaran akademik dengan keperluan komuniti. Pendekatan inovatif ini bukan sahaja memenuhi objektif program tetapi turut memberikan impak jangka panjang kepada pelajar, fasilitator, dan masyarakat secara keseluruhan. Program ini mencerminkan komitmen UTHM untuk menjadi institusi pendidikan yang relevan dan responsif terhadap kehendak masyarakat dan industri.

UTHM dan MOTAC Jalinkan Kolaborasi Berterusan dalam Pelancongan Alam di Johor

JOHOR BAHRU, 20 Disember 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan kolaborasi berterusan dalam bidang pelancongan alam melalui penglibatan di Festival Kraf Johor 2024 yang berlangsung di Padang Akasia, Angsana Mall Johor Bahru dari 19-22 Disember. Antara sorotan program ialah temubual podcast Tourism Malaysia Southern Region yang menampilkan Dr. Salasiah Mohamad dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi. Beliau berkongsi perspektif UTHM dalam pembangunan pelancongan alam, dengan menekankan peluang kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) khususnya Tourism Malaysia Wilayah Selatan serta pemain industri untuk mengintegrasikan elemen pendidikan, kelestarian, dan ekonomi komuniti setempat.

Program ini turut menyerlahkan penyelidikan pelajar tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) dengan Kepujian (BWW) di bawah seliaan Dr. Nor Atiqah Norazlimi, iaitu Cik Nurul Farisyah Mat Zaidi yang mempersembahkan prototaip arca burung bagi projek sarjana muda beliau dalam bidang avitourism. Hasil inovasi ini telah dirangka sebagai sebahagian daripada pakej utama Accessibility Tourism & Volunteer Tourism (Voluntourism) yang akan diperkenalkan di Tanjung Belungkur, Bandar Penawar. (kesinambungan dari https://fast.uthm.edu.my/program-accessibility-tourism-volunteer-tourism-voluntourism-siri-3/)

Selain itu, hasil kurasi serangga, kraftangan serta modul pelancongan alam dari sumber semula jadi hasil karya pelajar BWW turut dipamerkan. Produk ini menonjolkan kreativiti dan potensi komersial dalam bidang pelancongan alam yang berteraskan kelestarian. Sejurus sesi podcast, perbincangan turut dijalankan bersama Penolong Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, En. Amirul Asyraf Muhd Juhari, dan wakil Blerong Nature Conservation Services, En. Efendi, bagi meneroka peluang kolaborasi bagi memantapkan lagi sektor pelancongan alam di Johor.

Diharapkan UTHM akan terus dapat menjadi rakan strategik dalam memperkaya potensi pelancongan lestari di negeri Johor kerana bukan sahaja dapat memacu pembangunan ekonomi negeri Johor, tetapi turut mendukung usaha memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap pemuliharaan kepalbagaian biologi. 

Link podcast: https://www.instagram.com/reel/DDy1w0eTZnw

PROGRAM LITTLE FOOD EXPLORACE

PANCHOR, 15-17 Disember 2024: Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menganjurkan Program SULAM 2024: Little Food Explorace dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Panchor, Pejabat Pendidikan Daerah Muar, dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Program selama tiga hari ini memfokuskan kepada pendidikan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat kepada lebih 150 pelajar sekolah rendah.

Program bermula dengan aktiviti senamrobik dan ice breaking yang bertujuan mencetuskan semangat serta membina hubungan mesra antara pelajar dan fasilitator. Ceramah pendek mengenai pentingnya pemakanan seimbang turut disampaikan oleh wakil fakulti. Selepas rehat, pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti explorace yang menyeronokkan, melibatkan tugasan seperti teka silang kata, memasak mudah, dan kuiz interaktif. Aktiviti-aktiviti ini direka untuk mendidik pelajar tentang pemakanan sihat secara santai. Program explorace telah berlangsung selama 3 hari melibatkan pelajar yang berlainan aras.

Hari terakhir menampilkan pameran makanan seimbang dan sihat. Pameran ini menonjolkan poster dan produk berkaitan pemakanan sihat, memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari piramid makanan dan cara memilih makanan berkhasiat. majlis penutup disempurnakan dengan ucapan Dekan FAST dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En Nurul Hakim Bin Ahmad dan Pengarah Program, penyampaian hadiah kepada peserta terbaik, serta tayangan video montaj yang merakam perjalanan program selama tiga hari.

Impak Positif

Program ini berjaya memberikan pendedahan penting kepada pelajar sekolah rendah mengenai gaya hidup sihat. Aktiviti yang pelbagai dan menarik berjaya menanam kesedaran tentang pemakanan seimbang dengan cara yang menyeronokkan. Selain itu, hubungan antara pihak universiti, sekolah, dan komuniti setempat turut diperkukuh melalui program ini.

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM, berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memberi manfaat lebih meluas kepada pelajar dan masyarakat. Program SULAM 2024: Little Food Explorace telah membuktikan bahawa pendidikan kesihatan boleh dilakukan dengan kreatif dan interaktif.

Program SULAM-STEMTASTIC JUNIOR 2024

Pada 16 Disember 2024, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan jayanya telah menganjurkan Program SULAM-STEMTASTIC JUNIOR 2024 bertempat di Taman Herba UTHM Kampus Pagoh. Program ini melibatkan pelajar Tahun 1 dan Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) Dengan Kepujian (BWW) melalui kursus Seminar Tahun 1 (BWU10401) dan Pengenalan Pelancongan Semulajadi (BWJ30403), di bawah bimbingan Ts. Dr. Furzani Pa’ee dan Ts. Dr. Salasiah Mohamad, manakala En. Haiqal Hazwan Mohd Hanafi dari 3BWW selaku pengarah program.

Seramai 25 orang murid tahun 4 dari Sekolah Kebangsaan Pekan Pagoh, dengan bimbingan dua guru pengiring, telah menyertai program ini. Program yang dijalankan di sekitar kawasan Taman Herba, Blok J, UTHM Kampus Pagoh  ini dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan minat dan kesedaran pelajar terhadap subjek sains, sekaligus memberikan pengalaman pembelajaran STEM yang unik di persekitaran universiti. Para pelajar turut berpeluang mengaplikasikan pengetahuan asas sains tumbuhan serta kepelbagaian biologi dan pemuliharaan dalam kehidupan seharian melalui pendekatan kreatif dan interaktif. Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk seni pembuatan seedbombs iaitu pelajar mempelajari teknik mudah dan mesra alam untuk menyemai tumbuhan, dan juga interpretasi alam yang memberi peluang kepada peserta untuk memahami dan menghargai kepentingan dan kegunaan tumbuhan ubatan. Alatan seedbombs yang digunakan termasuklah tanah semaian, kompos, tanah liat dan biji benih terpilih. Para peserta kelihatan begitu teruja dan bersemangat di sepanjang program dijalankan kerana dapat menimba pengetahuan dan pengalaman baru berkaitan STEM. 

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FAST, PM. Ts. Dr. Noor Azura Awang. Turut hadir ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Ts. Dr. Suhadir Shamsuddin, serta Ketua Jabatan Teknologi & Sumber Semulajadi, PM. Ts. Dr. Norazlin Abdullah, Felo Perhubungan Masyarakat, Dr. Nurul Nadia Adnan serta PIC sekolah angkat, Dr. Nor Atiqah Norazlimi

Program SULAM-STEMTASTIC JUNIOR 2024 diharapkan dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk memanfaatkan pengetahuan sains dalam aktiviti praktikal seperti penanaman tumbuhan dan penghijauan semula, sambil mengukuhkan kesedaran tentang kepentingan memulihara kepelbagaian biologi dan menjaga kelestarian alam sekitar.

Program Meet and Greet BWQ & BWS

6 Disember 2024, Jumaat | Program Meet and Greet Bersama Pelajar Statistik Industri Dan Pelajar Analitik Data Komputasi telah berjaya dianjurkan oleh pelajar tahun 3 Program Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) dengan Kepujian yang bertempat di Pusat Konvensyen, Edu Hub Pagoh, bermula dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari. 

Program ini bertujuan untuk menjalinkan ukhwah antara pensyarah dan pelajar daripada Program Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) dengan Kepujian serta Program Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian. Objektif utama program ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan profesional dan akademik dalam kalangan komuniti pelajar dan pensyarah di bawah Jabatan Matematik dan Statistik.

Program ini telah melibatkan penyertaan seramai 72 pelajar sebagai peserta yang diturut serta oleh pelajar tahun 1, 2 dan 4 Program Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) dengan Kepujian, dan pelajar tahun 1 dan 2 Program Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian serta 6 orang pensyarah dari Jabatan Matematik dan Statistik. Sebanyak 7 aktiviti telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Aktiviti-aktiviti ini direka khas untuk menggalakkan kerjasama, komunikasi, dan pembelajaran secara interaktif dalam suasana santai dan menyeronokkan. Seramai 56 pelajar tahun 3 dari Program Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) telah memainkan peranan penting sebagai ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan program ini. 

Program ini telah dibimbing sepenuhnya oleh Dr. Sabariah Binti Saharan dari Jabatan Matematik dan Statistik. Dengan sokongan beliau, penganjuran ini bukan sahaja mencapai objektif utama tetapi turut mencipta kenangan bermakna kepada semua yang terlibat. Program seperti ini diharapkan dapat terus dijalankan bagi memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan warga akademik serta menyumbang kepada pengalaman pembelajaran holistik pelajar universiti.

Program Panel Matematik bersama Penasihat Industri di FAST UTHM

Pagoh – Pada 24 November 2024 Panel Matematik telah menjayakan program Panel Matematik bersama Penasihat Industri di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) UTHM. Penasihat Industri, En. Harley Ooi dari Edustats Solution telah berkongsi ilmu, idea dan pengalaman bersama Panel Matematik bagi memajukan program Matematik Teknologi supaya seiring dengan kepesatan industri dan teknologi. 

Program ini berteraskan beberapa aktiviti di antaranya perbincangan Projek Sarjana Muda (PSM) bersama beberapa orang pelajar Program Matematik Teknologi. Seterusnya, perbincangan semakan kurikulum PSM dan Latihan Industri (LI) diteruskan di antara ahli panel Matematik dan Penasihat Industri. Pada petangnya sesi ceramah industri di teruskan di bawah kursus Special Topics on Mathematics Technology. Perkongsian berkenaan risk analysis, penggunaan plug-in Risk Simulator dalam Microsoft Excel serta skillset yang diperlukan oleh industri dan projek-projek pembangunan negara pada masakini dan akan datang.

Program EcoSTEM from Waste to Wonder

4 Disember 2024 |Program EcoSTEM from Waste to Wonder telah anjuran pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Makanan, dan Ts. Dr. Aida Safina Binti Aridi dan Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Zaharah Binti Mohamad Fuzi, selaku Penasihat program, telah diadakan pada 4 Disember 2024 bertempat di Makmal Bakeri, Snek, dan Konfeksionari, UTHM Kampus Cawangan Pagoh. Seramai 15 orang pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara Muar, dan 27 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sri Amar Diraja telah menyertai program ini. Matlamat utama program ini adalah untuk berkongsi dengan pelejar sekolah menengah mengenai salah satu kaedah untuk mengurangkan sisa makanan yang semakin membimbangkan. Menurut Saudara Akmal Zulhilmi Bin Baharudin selaku Pengarah program, para pelajar di dedahkan dengan kaedah ‘vermicomposting’ untuk menukarkan sisa makanan seperti buah dan sayur-sayuran kepada baja yang boleh digunakan untuk tujuan pertanian. Program ini dimulakan dengan sesi perkongsian ilmu oleh Ts. Dr. Aida Safina Binti Aridi, mengenai pengurusan sisa makanan serta bagaimana cara untuk mengurangkan sisa makanan di rumah dengan menggunakan ‘vermicomposting’. 

Selain itu, para pelajar juga berpeluang untuk melakukan sendiri ‘vermicomposting’ dengan menggunakan sisa makanan seperti kulit pisang, dan dibantu oleh fasilitator iaitu para pelajar tahun tiga yang mengambil subjek Pengurusan Sisa Makanan (BWD31402). Di samping itu, mereka juga telah menyertai enam “Mini Games’ yang berkaitan dengan pengurusan sisa makanan. Program diakhiri dengan penyampaian cenderhati kepada pelajar sekolah serta guru pengiring. 

Kesimpulannya, program EcoSTEM from Waste to Wonder ini amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana ia berfokus untuk berkongsi dengan pelajar sekolah tentang kepentingan mengurus sisa makanan dengan betul. Semoga program ini menjadi platform penyelesaian masalah serta tanda ukur untuk pembangunan teknologi dan sumber insan yang berilmu serta berdaya saing.   

Bengkel “Introduction to Python Programming: From Setup to GUI with Applications in Mathematics and AI” di MathTech2024

Pada 4 Disember 2024, The International Conference on Mathematical Sciences and Technology 2024 (MathTech 2024), yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), telah berlangsung dengan jayanya di Amari Spice, Pulau Pinang. Persidangan ini menjadi platform utama untuk inovasi dan perkongsian ilmu dalam bidang matematik dan teknologi.

Salah satu acara yang menjadi kemuncak persidangan adalah bengkel bertajuk “Introduction to Python Programming: From Setup to GUI with Applications in Mathematics and AI”. Bengkel ini dibimbing oleh dua pensyarah kanan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), iaitu Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin dan Dr. Logenthiran a/l Machap, yang berjaya menyerlahkan kepakaran UTHM dalam bidang matematik gunaan, sains data, dan kecerdasan buatan (AI).


Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM. Beliau juga memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat Management Sciences/Operations Research Society of Malaysia (MSORSM), dengan kepakaran dalam Penyelidikan Operasi dan Matematik Komputasi. Sementara itu, Dr. Logenthiran a/l Machap, juga Pensyarah Kanan di UTHM, mengetuai Focus Group Computational Intelligence and Data Science, yang memainkan peranan penting dalam membangunkan penyelesaian inovatif dalam sains data dan AI.

Kedua-dua pensyarah ini membawa nama UTHM ke pentas antarabangsa melalui bengkel ini, yang memberi pendedahan mendalam tentang pengaturcaraan Python, bermula daripada asas hingga pembangunan Graphical User Interface (GUI). Bengkel ini memfokuskan kepada teknik asas seperti sintaks Python, struktur data, dan pembangunan aplikasi GUI, selain membincangkan aplikasi Python dalam simulasi matematik dan pembelajaran mesin (AI).


Bengkel ini berjaya menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk ahli akademik, pelajar, dan pengamal industri. Ia menunjukkan bagaimana Python boleh dimanfaatkan sebagai alat penting untuk menyelesaikan masalah matematik kompleks dan membangunkan model AI yang praktikal. Usaha ini selaras dengan komitmen UTHM untuk memperkukuhkan pendidikan dan penyelidikan dalam bidang sains gunaan dan teknologi.

Kerjasama antara Ts. Dr. Wan Nor Munirah dan Dr. Logenthiran mempamerkan sinergi dan kepakaran UTHM dalam menyampaikan ilmu dengan cara yang interaktif dan berkesan. Bengkel ini bukan sahaja membangunkan kemahiran teknikal peserta, malah menonjolkan keupayaan UTHM dalam memacu kemajuan teknologi di peringkat nasional dan global.

Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan UTHM sebagai institusi pendidikan tinggi yang memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat dalam matematik gunaan, sains data, dan AI, selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi inovator masa hadapan.

#UTHMPrihatin #UTHMLeadingInnovation

ResQ Tanah – Pemindahan Ilmu Kepada Komuniti Pertanian Di Kawasan Komuniti Panchor Yang Berkaitan Teknologi Nano Bagi Memulihara Dan Memelihara Tanah Bagi Kegunaan Pertanian Lestari

26 Nov 2024, Balairaya Kampung Sungai Ranggam, Panchor – Komitmen berterusan FAST untuk memperkasa Masyarakat di peringkat tempatan dan global diperteguhkan lagi menerusi penganjuran program ResQ Tanah – Pemindahan Ilmu Kepada Komuniti Pertanian Di Kawasan Komuniti Panchor Yang Berkaitan Teknologi Nano Bagi Memulihara Dan Memelihara Tanah Bagi Kegunaan Pertanian Lestari yang berlangsung sepanjang hari ini. Program ini dibiayai melalui Geran Komuniti Madani di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, bertujuan untuk memberi impak positif kepada komuniti kampung Mukim Panchor, khususnya dan memastikan kelangsungan sumber makanan dan hasil pertanian kepada semua, amnya. Seramai hampir 130 peserta yang terdiri daripada komuniti kampung dan mahasiswa UTHM hadir untuk memperkasa dan mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan pertanian lestari bagi menghadapi cabaran masa hadapan. Program ini adalah lanjutan dari Program Pemindahan Ilmu tentang Penanaman Pisang di Kg. Sungai Ranggam pada 30 Oktober, 2022.

Menurut PM Dr. Mohd Saifullah Rusiman, selaku Pengarah program ResQ tanah, ia bertujuan memberi manfaat kepada penduduk kampung dengan meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan memulihara dan memelihara kualiti tanah. Pengisian aktiviti seperti ceramah oleh penceramah jemputan dan demonstrasi oleh pensyarah PM Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi dan pelajar turut dijalankan. Ini membantu memperluas pengetahuan peserta mengenai kaedah pemuliharaan dan pemeliharaan tanah dan potensi  penanaman tanaman kontan lain yang boleh memberi pulangan ekonomi kepada komuniti. Program ResQ Tanah ini telah dirasmikan oleh YBhg. Tn Mesafizam Mesri, Penghulu Mukim Panchor, Muar, Johor, dan turut dihadiri oleh ketua-ketua kampung Mukim Panchor. 

Sorotan aktiviti dari program ResQ Tanah ini juga melibatkan pembangunan komuniti antarabangsa, dengan penyertaan para pensyarah dan para pelajar dari Central Luzon State University, Filipina. Mereka turut hadir secara online untuk berkongsi idea dan melihat bagaimana program ini dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh komuniti tempatan, tetapi juga oleh komuniti antarabangsa. Pertukaran pengetahuan ini memberi peluang untuk memperkaya pemahaman mengenai amalan pertanian mampan dan pengurusan tanah yang berkesan. Melalui kerjasama ini, diharapkan program ini dapat memperkukuhkan hubungan antara komuniti tempatan dan antarabangsa serta memperluas manfaatnya kepada lebih banyak pihak.

Kesimpulannya, program ResQ ini amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana ia berfokus pada perawatan dan pemeliharaan tanah di kawasan Panchor, Johor. Semoga program ini menjadi platform penyelesaian masalah serta tanda ukur untuk pembangunan teknologi dan sumber insan yang berilmu serta berdaya saing. 

Kolaborasi Universiti bersama Industri Memacu Teknologi Hijau dan Sistem IoT dalam pertandingan ChemTex2024 

Pagoh, 10 November 2024 –Pelajar-pelajar tahun tiga dari Program Kimia Industri, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) baru-baru ini terlibat dalam pertandingan inovasi yang memperkenalkan idea berkaitan sistem Internet of Things (IoT) serta teknologi kimia hijau, dengan objektif mencapai kemajuan dalam beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) seperti kesejahteraan alam sekitar, pembangunan bandar pintar (smart-city), dan tenaga boleh diperbaharui. Pertandingan Competition and Innovation Exhibition in Digitalization in Industry and Green Chemistry 2024 (ChemTex 2024) yang diadakan di UTHM Kampus Pagoh ini telah diadili oleh juri-juri dari industri dan universiti.

Pertandingan ini bukan sahaja menguji daya kreativiti dan inovasi pelajar dalam menggabungkan teknologi IoT dengan prinsip kimia hijau, malah juga berfungsi sebagai platform untuk mengasah kebolehan mereka dalam menghasilkan penyelesaian praktikal yang mesra alam. Projek yang dipamerkan merangkumi aplikasi tenaga boleh diperbaharui, sistem pengawasan kualiti udara dan air melalui IoT, serta penggunaan bahan kimia lestari dalam pelbagai aplikasi industri dan bandar pintar. 

Ts. Dr. Suhadir Shamsuddin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dalam ucapan beliau berkata pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar untuk membuktikan kebolehan mereka dalam menangani cabaran teknologi hijau. “Dalam dunia yang semakin mencabar dari segi kelestarian alam sekitar, adalah penting bagi program sebegini diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar berinovasi dan berkongsi idea teknologi yang akan memacu masa depan.” Kenyataan ini disokong oleh En. Abdul Rahim Othman; dari Bahagian Teknologi & Kejuruteraan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) iaitu Penasihat Industri program Kimia Industri merangkap juri industri apabila menyarankan agar beberapa projek yang dikenalpasti mempunyai nilai potensi yang besar dapat digilap dan dibawa ke pertandingan inovasi peringkat lebih tinggi seterusnya dikembangkan ke peringkat aplikasi sebenar.  

Sebagai rekod, ChemTex 2024 merupakan kesinambungan ChemTex 2023 yang telah disertai oleh kumpulan pelajar sulung program ini. Pelajar-pelajar tersebut yang kini di tahun akhir sedang melalui Work-Based Learning (WBL) di industri juga dilaporkan memberi inspirasi kepada peserta pertandingan tahun ini, yang bercita-cita untuk menghasilkan inovasi yang lebih mantap dan boleh diaplikasikan dalam persekitaran sebenar. Pengalaman kerja tersebut memberi perspektif langsung tentang cabaran industri dan membantu memperkemaskan hasil inovasi peserta ChemTex2024 agar lebih relevan dengan keperluan industri semasa. Secara tidak langsung, pertandingan ini dilihat sebagai salah satu kaedah pembelajaran dan persediaan peserta ke WBL yang akan dijalani pada sesi akademik akan datang. 

Secara keseluruhan, ChemTex2024 yang dinaungi oleh penasihat program iaitu Dr.  Mohammad Arif Budiman Bin Pauzan dan ChM. Dr. Zalilah Murni Binti Yunus ini berjaya mencapai objektifnya hasil kerjasama erat pelbagai pihak di universiti iaitu FAST, Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat, para pensyarah, pihak industri, serta pelajar-pelajar Kimia Industri. Diharapkan kerjasama seperti ini akan terus berlanjutan pada masa hadapan untuk mencapai visi, misi, dan objektif UTHM dan Kementerian Pendidikan Tinggi, khususnya dalam menerapkan Work-Based Learning untuk melahirkan graduan yang kompeten, profesional dalam sektor TVET dan membentuk ciri-ciri teknousahawan global yang berteraskan nilai tauhid sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.  

Oleh: Dr.  Mohammad Arif Budiman Bin Pauzan dan ChM. Dr. Zalilah Murni Binti Yunus

Translate »