Foodies Explorer: Growing Together
3 November 2025, Pagoh, Johor – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited memperkasa kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui penganjuran program Foodies Explorer: Growing Together. Program ini merupakan inisiatif ulung oleh Panel Teknologi Makanan yang dirangka khusus bagi menjadikan pembelajaran dalam kursus Teknologi Makanan lebih interaktif, holistik dan menyeronokkan, selari dengan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.




Program yang berlangsung pada 3 November 2025 itu menghimpunkan seramai 90 orang pelajar Tahun 1 Program Teknologi Makanan, dengan penyertaan 6 orang pensyarah Panel Teknologi Makanan dan 16 orang fasilitator yang bertindak sebagai penggerak utama dalam melaksanakan aktiviti sepanjang program. Pemilihan pelajar tahun pertama sebagai kumpulan sasaran bertujuan memberi pendedahan awal terhadap silibus Teknologi Makanan, di samping memupuk semangat perpaduan, keyakinan dan interaksi positif dalam kalangan mahasiswa baharu.
Menggunakan pendekatan game-based learning, program ini menggabungkan elemen pembelajaran Teknologi Makanan melalui pelbagai aktiviti menarik dan mencabar. Setiap peserta diberikan satu huruf untuk membentuk beberapa kumpulan berdasarkan istilah yang terdapat dalam bidang Teknologi Makanan, sekali gus membantu mereka membiasakan diri dengan istilah tersebut.
Aktiviti dimulakan dengan Tic-tac-toe, yang menguji pengetahuan asas pelajar merangkumi topik seperti teknologi makanan, kimia makanan, mikrobiologi makanan, pemprosesan makanan, keselamatan makanan, HACCP, halal, pembungkusan, pelabelan, fermentasi, bioteknologi serta analisis deria makanan. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kemahiran kognitif pelajar, malah meningkatkan keyakinan mereka dalam menerapkan pengetahuan yang dipelajari.
Program diteruskan dengan Explore Race, aktiviti utama yang menggabungkan elemen pembelajaran interaktif melalui lima pusat tugasan (checkpoints), iaitu checkpoints keselamatan makanan, penilaian deria, perjalanan makanan dalam sistem pencernaan, halal, dan mikrobiologi makanan. Setiap kumpulan perlu menyelesaikan tugasan di setiap checkpoint, sekaligus mengaplikasikan teori melalui cabaran praktikal yang menyeronokkan.
Bagi mengukuhkan semangat kerjasama dan kecergasan minda, peserta turut terlibat dalam permainan seperti bola beracun, tiup belon sampai pecah, dan ping pong train, yang menguji koordinasi, komunikasi dan strategi kumpulan.
Menurut Penasihat Program, Dr. Farawahida Binti Abdul Halim, penganjuran Foodies Explorer: Growing Together adalah antara usaha FAST untuk memperkenalkan pendekatan pembelajaran yang lebih dinamik dan menarik dalam kalangan pelajar.
“Program ini mengaplikasikan pembelajaran interaktif melalui permainan, di mana pelajar menyelesaikan cabaran di setiap checkpoint yang berkaitan silibus Teknologi Makanan. Kaedah ini bukan hanya menyeronokkan tetapi mampu meningkatkan keupayaan pelajar memahami konsep dengan lebih mendalam,” jelasnya. Beliau turut menambah bahawa proses pembelajaran kini tidak lagi terhad kepada kuliah dan amali semata-mata, sebaliknya boleh diterjemahkan melalui aktiviti yang kreatif, berstruktur dan dekat dengan minat pelajar.
“Foodies Explorer: Growing Together bukan sahaja meningkatkan motivasi dan minat pelajar tahun pertama, malah menjadi platform untuk memupuk semangat kerjasama, setiakawan, perpaduan, kepimpinan, kreativiti serta hubungan erat antara pelajar, fasilitator dan pensyarah,” katanya lagi.
Program ini diharapkan menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif pengajaran kreatif pada masa akan datang, khususnya dalam memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman dalam bidang Teknologi Makanan. FAST percaya bahawa nilai-nilai kerjasama, kepimpinan, komunikasi dan kreativiti yang disemai melalui program ini dapat membantu membentuk mahasiswa yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri makanan yang semakin berkembang.
Laporan ditulis oleh: Dr. Farawahida Binti Abdul Halim, Penasihat Program Foodies Explorer





































