PROGRAM MASS DAY 2025

30 Disember 2025, UTHM Kampus Pagoh – Program MASS Day 2025 (Mathematics, Applied Sciences & Statistics Day) telah berjaya dianjurkan pada 30 Disember 2025 (Selasa) bertempat di Dewan Konvensyen dan Multipurpose Hall, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh. Program ini telah dirasmikan oleh Provost UTHM Pagoh, Prof. Dr. Afandi Ahmad. Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini telah dianjurkan oleh Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan diketuai oleh Pengarah Program MASS Day merangkap Ketua Jabatan Matematik dan Statistik, Dr. Maria Elena Nor. Penganjuran MASS Day 2025 bertujuan untuk memperkukuh kefahaman masyarakat, khususnya pelajar, terhadap kepentingan dan aplikasi bidang Matematik, Sains Gunaan dan Statistik dalam dunia sebenar serta prospek kerjaya yang luas dalam bidang ini. Program ini juga menjadi platform strategik untuk merapatkan hubungan antara pihak akademik, industri, alumni dan komuniti. Selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), MASS Day 2025 memberi penekanan kepada teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI), Analitik Data, Realiti Terimbuh (Augmented Reality, AR), serta aplikasi sains dan matematik dalam penyelesaian masalah dunia sebenar termasuk pembangunan bandar pintar dan teknologi mampan.


Program ini melibatkan kehadiran Provost UTHM Pagoh, Pengarah Kanan Bahagian Statistik Penduduk dan Demografi DOSM (En. Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri), Timbalan-Timbalan Dekan FAST, Ketua Jabatan Matematik dan Statistik FAST, pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar dari Jabatan Matematik dan Statistik, FAST UTHM, UiTM Segamat, Kolej Matrikulasi Johor, Kolej Matrikulasi Melaka, Kolej Matrikulasi Selangor, Penasihat Industri Program dan Alumni pelajar Program Ijazah Sarjanamuda Matematik Teknologi (BWA) dan Program Ijazah Sarjana Muda Statistik Industri (BWQ). Objektif utama penganjuran Program MASS Day 2025 adalh memberi pendedahan kepada pelajar dan masyarakat mengenai aplikasi sebenar Matematik, Sains Gunaan dan Statistik dalam industri dan kehidupan seharian dan meningkatkan kesedaran terhadap peluang kerjaya dan kebolehpasaran graduan dalam bidang Matematik, Sains Gunaan dan Statistik. Ia juga menyediakan platform perkongsian ilmu dan pengalaman antara wakil industri, alumni dan pelajar. Ia menggalakkan inovasi, kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar melalui pameran projek, pertandingan dan demonstrasi teknologi. Dengan ini ia memperkukuh jaringan kolaborasi antara universiti, industri dan komuniti setempat.
Sepanjang penganjuran MASS Day 2025, pelbagai aktiviti berinformasi, interaktif dan berimpak tinggi telah dilaksanakan, antaranya:
1. Forum Wakil Industri dan Alumni
Forum ini menampilkan wakil industri serta alumni FAST UTHM (bekas pelajar Sarjana Muda Matematik Teknologi dan Statistik Industri) iaitu Encik Harley Ooi, En. Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri, Cik Sharmila Sri Balasubramaniam dan Cik Jacqueline Low Yun Zhi. Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk mendengar perkongsian pengalaman sebenar berkaitan laluan kerjaya, keperluan industri, serta cabaran dan peluang dalam bidang Matematik dan Statistik.
2. Student Project Fair
Pameran projek pelajar mempamerkan hasil kerja dan inovasi pelajar dalam bidang Matematik, Statistik dan Sains Gunaan. Projek-projek yang dipamerkan membuktikan keupayaan pelajar mengaplikasikan teori kepada penyelesaian praktikal dan kreatif.
3. AI & Data Analytics for Smart City Showcase
Pameran ini memfokuskan kepada projek berasaskan Artificial Intelligence (AI), Augmented Reality (AR) dan analitik data bagi pembangunan penyelesaian pintar untuk bandar pintar (Smart City). Pameran ini menarik minat pengunjung kerana menampilkan teknologi masa hadapan yang relevan dengan pembangunan negara.
4. Xceleration Challenge (MS Excel + Acceleration)
Pertandingan ini menguji kemahiran peserta dalam penggunaan Microsoft Excel dan kebolehan menyelesaikan masalah secara pantas dan tepat. Aktiviti ini berjaya mencabar keupayaan analitikal serta kemahiran teknikal peserta.
5. Datathon Challenge (Power BI)
Datathon Challenge melibatkan pertandingan analisis data menggunakan Microsoft Power BI. Peserta perlu menganalisis set data dan membentangkan dapatan melalui sesi Live Pitching pada hari program. Aktiviti ini meningkatkan kemahiran analisis data dan komunikasi teknikal peserta.
6. Physics Exhibition
Pameran Fizik Gunaan menampilkan demonstrasi dan inovasi seperti:
- Rekabentuk dan fabrikasi cetakan 3D
- Permainan robotik kawalan jarak jauh
- Demonstrasi sistem pengesan solar mini
Aktiviti ini memberi pendedahan praktikal tentang aplikasi fizik dalam teknologi, automasi dan tenaga hijau.
7. Pameran Biodiversiti
Pameran ini mempamerkan kepelbagaian biodiversiti termasuk serangga, haiwan dan tumbuhan. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian biodiversiti.




Penganjuran MASS Day 2025 telah memberikan impak yang signifikan, antaranya meningkatkan minat dan motivasi pelajar terhadap bidang Matematik, Statistik dan Sains Gunaan dan memberi kefahaman jelas tentang kebolehpasaran graduan dan peluang kerjaya dalam pelbagai sektor industri. Ia menggalakkan budaya inovasi, penyelidikan dan penggunaan teknologi terkini dalam kalangan pelajar. Ia juga memperkukuh hubungan kerjasama antara universiti, industri, alumni dan komuniti dan menyumbang kepada agenda pembangunan pendidikan tinggi dan inovasi selaras dengan keperluan industri semasa.
Secara keseluruhannya, Program MASS Day 2025 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan memberi manfaat besar kepada semua pihak yang terlibat. Program ini bukan sahaja menjadi medium pendedahan akademik dan teknologi, malah berperanan sebagai platform strategik dalam membentuk graduan yang berdaya saing, berkemahiran tinggi dan relevan dengan keperluan industri. Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar serta penglibatan industri yang lebih meluas bagi memastikan kesinambungan impak positif kepada pelajar, universiti dan masyarakat secara keseluruhan.



Laporan disediakan oleh : Prof. Madya Dr. Mohd Saifullah Rusiman
#UTHMPrihatin #FASTUTHM









































