YBhg. Prof. Datuk / Dato’ / Prof. / Tuan / Puan / Saudara / Saudari,
KAJI SELIDIK KEPUASAN PELANGGAN BERKAITAN PERKHIDMATAN FAKULTI SAINS GUNAAN & TEKNOLOGI (FAST) UTHM 2023
Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.
Sukacita dimaklumkan bahawa Fakulti Sains Gunaan & Teknologi (FAST), sedang menjalankan Kaji Selidik Kepuasan Pelanggan Berkaitan Perkhidmatan Di Fakulti Sains Gunaan & Teknologi (FAST) UTHM 2025. Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh Fakulti. Kaji selidik ini akan dijalankan sehingga 11 Jun 2025.
3. Sehubungan dengan itu, dipohon jasa baik YBhg. Prof. Datuk / Dato’ / Prof. / Tuan / Puan / Saudara / Saudari untuk meluangkan sedikit masa bagi mengisi borang soal selidik berkenaan dengan melayari pautan atau mengimbas kod QR dibawah untuk mengakses borang soal selidik yang dimaksudkan.
10 Pelajar FAST UTHM Sertai Program Mobiliti Antarabangsa di Thailand! 📍 Prince of Songkla University, Thailand 📅 4 – 10 Mei 2025
Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM terus mengorak langkah ke peringkat global apabila 10 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) menyertai program mobiliti antarabangsa di Prince of Songkla University (PSU), Thailand.
Dengan tema “Next-Gen Fruit and Vegetable Processing: From Conventional Methods to Novel Innovations”, pelajar didedahkan kepada teknologi pemprosesan makanan terkini seperti plasma sejuk, HPP, dan teknik inovatif lain selain kaedah konvensional.
Program ini juga merangkumi aktiviti amali, lawatan ke ladang buah salak, pasar tempatan, kilang makanan serta institusi penyelidikan PSU. Ia bukan sahaja memberi pendedahan industri, malah memperkukuh jaringan antarabangsa dan kefahaman rentas budaya.
Program ini tidak akan berjaya tanpa sokongan penuh Pejabat Antarabangsa (IO) UTHM yang menyediakan bantuan kewangan dan logistik sepanjang mobiliti ini. Terima kasih atas komitmen dan kerjasama erat dalam menjayakan inisiatif global ini! 🙏🌐
Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar selaku Penyelaras Mobiliti UTHM menegaskan bahawa program ini adalah platform penting untuk membentuk pelajar berdaya saing global. Majlis penutup turut diserikan dengan penyampaian sijil dan lawatan kebudayaan sekitar Songkhla.
🇹🇭🤝🇲🇾 📸 Saksikan sorotan sepanjang program dalam galeri gambar kami!
Tahniah diucapkan kepada Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin atas penerbitan artikel beliau dalam majalah KOSMIK edisi Mei 2025, bertempat di muka surat 38, dengan tajuk yang menarik dibawah topik Sains Pengurusan iaitu:
“Pengurusan Inventori Berasaskan Model Pengoptimuman: Strategi Pintar Perniagaan Moden.”
Artikel ini membincangkan bagaimana pendekatan berasaskan model pengoptimuman dapat meningkatkan kecekapan pengurusan inventori dalam perniagaan moden. Ts. Dr. Wan Nor Munirah menghuraikan strategi yang dapat membantu syarikat mengurangkan kos, memaksimumkan sumber, dan merancang inventori secara lebih pintar dan sistematik. Pendekatan ini bukan sahaja bersifat teoritikal tetapi turut disokong dengan aplikasi praktikal yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai sektor industri.
Kejayaan ini merupakan bukti komitmen Ts. Dr. Wan Nor Munirah dalam menjadikan ilmu pengetahuan lebih mudah diakses dan relevan kepada masyarakat luar kampus, sekali gus menyerlahkan peranan akademik dalam memperkasa industri melalui penulisan ilmiah popular.
Syabas atas pencapaian cemerlang ini! Semoga terus menghasilkan karya-karya yang memberi impak besar kepada masyarakat dan negara.
Projek inovasi bertajuk “GraphTory: Revolutionizing Product Bundling with Graph Network (ID-613)” telah meraih Anugerah Khas Kluster (Sains Sosial, Perniagaan & Inovasi Pengajaran) serta Pingat Emas dalam Ekspo Penyelidikan, Rekacipta dan Inovasi Kebangsaan (EREKA 2025) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Projek ini diketuai oleh Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin, penyelidik dari Computational Intelligence and Data Science Focus Group, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM. Inovasi ini merupakan hasil kerjasama strategik merentasi pelbagai disiplin dan kepakaran dari universiti-universiti berbeza serta pihak industri, dalam usaha menghasilkan solusi berimpak tinggi untuk keperluan semasa.
Ahli pasukan terdiri daripada:
Dr. Emy Aizat Azimi (Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia)
Dr. Azrita Mohd Amin (Universiti Malaysia Perlis)
Prof. Raja Suzana Raja Kasim (Universiti Malaysia Kelantan)
Selain itu, projek ini turut dibantu oleh pelajar Tahun Akhir Sarjana Muda Sains (Statistik Industri) dengan Kepujian, Cik Khairunnisa Muhammad bersama kepakaran dari UniMAP dalam menganalisis data.
Kejayaan ini membuktikan potensi penyelidikan rentas disiplin dalam menghasilkan penyelesaian inovatif yang menyokong keperluan industri, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME). Pihak pasukan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menyokong dan mendoakan kejayaan projek ini.
Seiring dengan pelaksanaan Kempen Keberadaan Staf di Pejabat yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah mengambil inisiatif menaik taraf kemudahan pantri fakulti sebagai usaha mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif, selesa dan menyokong kesejahteraan staf.
Pada 24 April 2025, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim, diiringi oleh YBhg. Provost Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Madya Dr. Afandi bin Ahmad, ke pantri fakulti yang telah diberi nafas baharu.
Usaha penaiktarafan ini merupakan sebahagian daripada Kempen Keberadaan Staf di Pejabat, yang giat dilaksanakan oleh pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UTHM. Inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, selesa dan menyokong kesejahteraan warga universiti.
Penambahbaikan pantri ini dilaksanakan dengan matlamat berikut:
Menyediakan ruang makan yang selesa bagi staf yang membawa bekal.
Menggalakkan kehadiran dan keberadaan staf di pejabat.
Menjimatkan masa staf daripada perlu keluar membeli makanan.
Meningkatkan interaksi sosial dan semangat berpasukan dalam kalangan warga kerja.
Mewujudkan suasana kerja yang lebih fokus dan produktif.
Fakulti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Naib Canselor dan YBhg. Provost atas kesudian hadir serta sokongan yang amat bermakna terhadap usaha pembangunan kesejahteraan staf.
Warga FAST dijemput untuk terus memanfaatkan dan menghidupkan ruang pantri ini dengan aktiviti yang membina serta pengisian yang bermanfaat, demi kecemerlangan bersama.
4 Mac 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila dua pelajar cemerlang dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) terpilih untuk menyertai Spring Exchange Program 2025 di Korea University of Technology and Education (KOREATECH), Korea Selatan.
Program pertukaran berprestij ini, yang berlangsung selama satu semester iaitu dari Mac hingga Jun 2025, memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman akademik di institusi bertaraf dunia, meneroka budaya Korea dalam masa yang sama menjadi duta untuk jaringan antarabangsa dua (2) negara. Dengan penajaan sepenuhya dari Kerajaan Korea Selatan, pelajar yang berjaya mendapat tempat dalam program ini iaitu Ngoh Ea Son dari program Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) dengan Kepujian, dan Nor Ali Yanshah bin Mat Rae dari program Sarjana Muda Sains (Analitik Data dan Komputasi) dengan Kepujian.
Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Prof Madya ChM. Ts. Dr. Hatijah Basri, mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pelajar atas pencapaian membanggakan ini. Beliau berharap pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang program pertukaran pelajar seumpama ini akan memberi impak positif kepada perkembangan akademik dan peribadi mereka, serta mengharumkan nama UTHM di persada antarabangsa.
UTHM komited dalam menyediakan pelbagai program mobiliti dan kerjasama antarabangsa bagi memberi peluang kepada pelajar memperluaskan pengalaman pembelajaran mereka. Universiti juga menggalakkan lebih ramai pelajar untuk merebut peluang seperti ini demi membina masa depan yang lebih cemerlang. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus melakar kecemerlangan di peringkat global.
Maklumat Lanjut berkaitan KoreaTech Student Exchange boleh dicapai melalui pautan ini. Para pelajar juga boleh mendapatkan informasi berkaitan program mobiliti akan datang melalui Pejabat Antarabangsa UTHM dan melalui Penyelaras Mobiliti Fakulti Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzelly bin Abu Bakar (penyelaras mobiliti tahun 2025).
Syabas dan Jutaan Tahniah diucapkan kepada Prof. Madya Ts. Dr Suliadi Firdaus Sufahani atas kejayaan yang sangat membanggakan sebagai penerima MINDS Meritorious Award 2024 di Malaysia Inventor and Innovator Convention 2024 (MyIIC)
Sekalung Tahniah kami ucapkan kepada PROF. TS. DR. AIDA BINTI MUSTAPHA atas pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Lantikan beliau berkuatkuasa mulai 4 Jun 2024
Sehubungan itu, pihak fakulti mengucapkan selamat menjalankan tugas dan terima kasih di atas sumbangan sebagai Dekan FAST bermula 1-3 Jun 2024.
Tahniah kepada Prof. Ts. Dr. Zaidi Embong yang telah menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU) sempena sambutan Hari Pekerja 2024 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.
Dedikasi beliau amat dikagumi dalam mendidik anak bangsa meskipun bergelar OKU disebabkan pergerakannya yang terbatas ekoran penyakit dihidapi sejak 20 tahun lalu.
Kami di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi amat berbangga dengan kejayaan beliau dan semoga beliau terus menjadi inspirasi kepada anak bangsa dan kepada semua OKU untuk terus berjaya dalam bidang masing-masing.
Majlis Apresiasi Geran Penyelidikan Tahun 2022 dan 2023 bertempat di Dewan Bankuet, Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Yang Berhormat Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor hari ini telah sudi hadir merasmikan dan menyempurnakan Majlis Apresiasi Geran Penyelidikan Bagi Tahun 2022 dan 2023.
Program anjuran di bawah Portfolio Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) menerusi Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) ini turut dihadiri Pegawai-pegawai Kanan Universiti, Prof. Dr. Nafarizal Nayan, Pengarah RMC, Dekan-Dekan Fakulti/Pusat Pengajian, dan Pengarah-Pengarah serta Timbalan-Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) Fakulti/Pusat Pengajian.
Majlis ini merupakan salah satu usaha pihak universiti untuk meraikan, memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada seramai 76 para penyelidik (16 Penerima Geran Antarabangsa terbanyak, 20 Penerima Geran Industri/Swasta terbanyak, 20 Penerima Geran Kebangsaan/Kementerian terbanyak, dan 20 Penyelidik Cemerlang) yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam penyelidikan bagi tahun 2022 dan 2023.
Tahniah diucapkan kepada penyelidik dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi:
Prof. Ts. Dr. Aida binti Mustapha,
Top 10 Outstanding Researcher 2023
Top 10 Industrial Grant 2023
Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff binti Abu Bakar,
Top 10 Outstanding Researcher 2022
Top 10 National Grant 2022
Top 10 International Grant 2023
Top 10 Industrial Grant 2023
Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Zaharah binti Mohamad Fuzi
Top 10 Outstanding Researcher 2023
Prof. Madya Ts. Dr. Suliadi Firdaus bin Sufahani
Top 10 Outstanding Researcher 2023
Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim bin Kamarudin
Top 10 International Grant 2023
Dr. Aqilah binti Awg Abdul Rahman
Top 10 International Grant 2022
Tahniah diucapkan kepada semua penyelidik yang telah menerima anugerah, semoga penghargaan ini dapat memberi inspirasi kepada semua pihak untuk terus berusaha ke arah pencapaian lebih cemerlang dan sebagai dorongan kepada penyelidik lain dalam membantu Universiti meningkatkan tahap penyelidikan ke arah yang lebih baik.