Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology
FAST UTHM - program kesedaran halal

UTHM Perkasa Usahawan Mikro dan Kecil Daerah Muar Melalui Program Bimbingan Pensijilan Halal JAKIM

PAGOH – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ), sebuah Pusat Latihan Halal (PLH) berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Pusat Kepimpinan Dan Kompetensi (PKK), telah menganjurkan Program Bimbingan Pensijilan Halal bermula pada 17 Mac dan berakhir pada 08 Ogos 2025 yang lalu.

Program ini bertujuan mengukuhkan hubungan kolaboratif antara UTHM dan komuniti industri makanan daerah Muar dalam usaha memperkasakan amalan Halal secara berterusan dalam kalangan pengusaha mikro dan kecil,

Bimbingan pemindahan ilmu dilaksanakan melalui beberapa fasa, bermula dengan penyediaan dokumen keperluan, diikuti dengan kaedah pengunaan sistem permohonan MYeHALAL JAKIM serta penyertaan dalam latihan asas yang diperlukan.

Sebanyak lima (5) syarikat kategori industri makanan mikro dan kecil telah menyertai program ini iaitu, Aida Zulaikha Enterprise, Triple T Twonine Resources, Warung Roti By Hanafiza Bakery, Cendol & Kopi, dan Restoran D Tiram Terapung.

Dua jenis latihan telah dianjurkan khas untuk staf syarikat yang telah mengambil bahagian iaitu Kursus Kesedaran Halal dan Kursus Latihan Pengendali Makanan, yang diadakan pada 06 Ogos 2025 di UTHM Kampus Cawangan Pagoh dengan dengan penglibatan seramai 24 peserta.

Menurut salah seorang wakil penerima manfaat iaitu En Ibrahim bin Sudin selaku Pengerusi RT Progresif Parit Tarom, menyatakan program yang dianjurkan amat membantu pengusaha makanan mikro dalam memenuhi keperluan pemasaran produk tempatan. Beliau berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Program ini digerakkan oleh Tenaga Pengajar Halal (TPH) yang diiktiraf JAKIM terdiri daripada Dr. Hj. Muhammad Suhaimi bin Datuk Hj Sulong, Prof. Madya Ts Dr Norazlin binti Abdullah, Prof. Madya Ts Dr Faridah binti Kormin, Dr. Fazleen Izzany binti Abu Bakar, Dr. Nur Hafizah binti Malik, dan Dr. Munira binti Zainal Abidin, yang bertindak sebagai perunding dan juga penceramah.

Pengarah program, Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad, menyatakan bahawa para peserta menunjukkan komitmen tinggi serta kerjasama yang baik sepanjang program berlangsung.

Penulis dan Penulis Bersama:

  • Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad
  • Dr. Hj. Muhammad Suhaimi bin Datuk Hj Sulong
  • Dr. Nur Hafizah binti Malik
  • Dr. Fazleen Izzany binti Abu Bakar
  • Prof. Madya Ts Dr Norazlin binti Abdullah

Last Updated on September 24, 2025

Translate »