UTHM dan MOTAC Jalinkan Kolaborasi Berterusan dalam Pelancongan Alam di Johor
JOHOR BAHRU, 20 Disember 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneruskan kolaborasi berterusan dalam bidang pelancongan alam melalui penglibatan di Festival Kraf Johor 2024 yang berlangsung di Padang Akasia, Angsana Mall Johor Bahru dari 19-22 Disember. Antara sorotan program ialah temubual podcast Tourism Malaysia Southern Region yang menampilkan Dr. Salasiah Mohamad dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi. Beliau berkongsi perspektif UTHM dalam pembangunan pelancongan alam, dengan menekankan peluang kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) khususnya Tourism Malaysia Wilayah Selatan serta pemain industri untuk mengintegrasikan elemen pendidikan, kelestarian, dan ekonomi komuniti setempat.

Program ini turut menyerlahkan penyelidikan pelajar tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) dengan Kepujian (BWW) di bawah seliaan Dr. Nor Atiqah Norazlimi, iaitu Cik Nurul Farisyah Mat Zaidi yang mempersembahkan prototaip arca burung bagi projek sarjana muda beliau dalam bidang avitourism. Hasil inovasi ini telah dirangka sebagai sebahagian daripada pakej utama Accessibility Tourism & Volunteer Tourism (Voluntourism) yang akan diperkenalkan di Tanjung Belungkur, Bandar Penawar. (kesinambungan dari https://fast.uthm.edu.my/program-accessibility-tourism-volunteer-tourism-voluntourism-siri-3/)
Selain itu, hasil kurasi serangga, kraftangan serta modul pelancongan alam dari sumber semula jadi hasil karya pelajar BWW turut dipamerkan. Produk ini menonjolkan kreativiti dan potensi komersial dalam bidang pelancongan alam yang berteraskan kelestarian. Sejurus sesi podcast, perbincangan turut dijalankan bersama Penolong Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, En. Amirul Asyraf Muhd Juhari, dan wakil Blerong Nature Conservation Services, En. Efendi, bagi meneroka peluang kolaborasi bagi memantapkan lagi sektor pelancongan alam di Johor.

Diharapkan UTHM akan terus dapat menjadi rakan strategik dalam memperkaya potensi pelancongan lestari di negeri Johor kerana bukan sahaja dapat memacu pembangunan ekonomi negeri Johor, tetapi turut mendukung usaha memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap pemuliharaan kepalbagaian biologi.
Link podcast: https://www.instagram.com/reel/DDy1w0eTZnw
Last Updated on December 23, 2024