Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

UTHM ANGKAT PRODUK KOMUNITI MUAR KE TAHAP BAHARU:Jem Betik & Teh Kombucha Kini Berpotensi Jadi Produk Ikonik Mukim Muar

PAGOH, 4 Dis 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasa masyarakat apabila Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) bersama Komuniti Mukim Muar dan Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat menganjurkan Program Bengkel Keusahawanan dan Pembangunan Produk Komuniti Makanan. Program ini melibatkan seramai 30 orang komuniti Bandar Muar, kebanyakannya terdiri daripada pengusaha dan peniaga dari rumah (home-based), bukan sahaja berkongsi ilmu, malah memberikan lonjakan besar kepada dua produk komuniti—Jem Betik dan Teh Kombucha—yang kini berada pada tahap lebih profesional dan bersedia untuk dibawa ke pasaran. Program penting ini dibiayai melalui Geran Komuniti@UniMadani, daripada Kementerian Kewangan Malaysia. Program hari ini merupakan Fasa 1, di bawah tajuk Program Rantaian Inovasi Dan Pembuatan Makanan Difortifikasi Mesra Usia Oleh Komuniti Pesara Mukim Muar: Pemakanan Sihat & Peluang Baharu. Ia dilaksanakan hasil kerjasama strategik pelbagai pihak, termasuk Komuniti Bandar Muar, kumpulan fokus Future Food x Living Lab Bandar Muar, dan Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC).

Program dimulakan dengan sesi bertajuk “Dari Dapur ke Pasaran — Pendaftaran dan Amalan Selamat Dalam Perniagaan Makanan” yang disampaikan oleh Dr. Hana Syafiqah Binti Sayeed Ibrahim. Dalam sesi ini, peserta diberi pemahaman mendalam tentang kepentingan keselamatan makanan, kawalan kebersihan serta keperluan pendaftaran perniagaan. Perkongsian ini membantu komuniti menghasilkan produk seperti jem betik dan teh kombucha dengan prosedur yang betul, mematuhi piawaian, dan selamat untuk pengguna.

Sesi seterusnya, “Ideation & Marketing (Keusahawanan Komuniti)” yang dikendalikan oleh Ts. Dr. Aida Safina Binti Aridi, membimbing peserta mengenal pasti potensi produk komuniti dan membina strategi pemasaran yang lebih tersusun. Peserta didedahkan kepada teknik penjanaan idea, pemilihan segmen pasaran, pembangunan identiti produk serta kaedah promosi kos efektif. Melalui sesi ini, jem betik dan teh kombucha diberikan nafas baharu melalui penjenamaan yang lebih menarik dan berdaya saing di pasaran tempatan.

Program diteruskan dengan sesi “Design Smart, Market Smarter!” yang dikendalikan oleh seramai 15 orang pelajar fasilitator. Sesi ini memberi tumpuan kepada teknik penyuntingan poster promosi menggunakan aplikasi mudah seperti Canva. Para fasilitator membimbing komuniti langkah demi langkah dalam menghasilkan poster yang menarik dan berkualiti tinggi untuk tujuan pemasaran digital. Melalui pendedahan ini, produk seperti jem betik dan teh kombucha dapat dipromosikan dengan visual yang lebih kreatif dan profesional, sekaligus meningkatkan daya tarikan serta nilai komersialnya.

Secara keseluruhan, program ini berjaya meninggalkan impak besar kepada komuniti Mukim Muar. Melalui gabungan ilmu teknologi makanan, keusahawanan dan pemasaran digital, komuniti kini lebih yakin dan bersedia untuk membawa produk mereka ke tahap yang lebih tinggi. UTHM melalui FAST terus komited memperkukuh peranan sebagai universiti yang memacu inovasi dan pembangunan masyarakat, menjadikan ilmu sebagai pemangkin ekonomi komuniti.

#UTHMPrihatin #FAST #lKomunitiMadani

Last Updated on December 19, 2025

Translate »