Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

STEM Explorace di SK Pekan Pagoh

PAGOH, 4 Dis 2025 – Suasana SK Pekan Pagoh pada hari ini benar-benar meriah apabila seramai 81 orang murid terdiri dari murid-murid Tahun 4 dan 5 menyertai STEM Explorace 2025, program berimpak tinggi anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), UTHM. Program itu menjadi tumpuan utama Minggu Panitia Sains dan berjaya menghidupkan keseronokan pembelajaran STEM dalam kalangan murid sekolah rendah.


Program yang berlangsung di bawah inisiatif Sekolah Angkat UTHM ini dirangka khusus bagi memupuk keyakinan diri, kepimpinan dan semangat berpasukan melalui aktiviti hands-on yang menggabungkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Dikuatkan dengan sokongan 26 pelajar dan 7 staf FAST sebagai fasilitator, murid-murid menyertai tujuh modul unik meliputi Matematik Teknologi, Fizik Gunaan, Teknologi Makanan, Kimia Industri, Statistik Industri, Data Analitik dan Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan.


Antara aktiviti paling mendapat sambutan termasuk mengenal pasti bunyi haiwan, puzzle radas kimia, cabaran Microbit Robot 2 Tayar, permainan Matematik berkonsepkan peratusan dan Sudoku, pembinaan graf carta bar daripada dadu, latihan pengumpulan data dengan quest card dan pendedahan kepada konsep HACCP dalam keselamatan makanan.


Penyelaras STEM & SULAM FAST, Prof. Madya Dr. Hamizah binti Mohd Safuan berkata, STEM Explorace bukan sekadar program kokurikulum, tetapi simbol komitmen UTHM dalam memperkasa komuniti luar bandar. “Kami mahu anak-anak ini melihat STEM sebagai dunia yang seronok dan penuh peluang. Inisiatif ‘Sekolah Angkat’ ini bukan sahaja mendekatkan universiti kepada masyarakat, tetapi turut memastikan murid luar bandar tidak tercicir daripada gelombang teknologi masa kini,” katanya.


Selaku penyelaras Sekolah Angkat bagi SK Pekan Pagoh di FAST, ChM. Dr. Mohammad Arif Budiman bin Pauzan pula berkata, “Program ini bukan sahaja berperanan menarik minat murid-murid terhadap bidang STEM, malah menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan antara pihak universiti dan sekolah. Melalui kerjasama seperti ini, UTHM dapat berfungsi sebagai pusat rujukan utama kepada sekolah dalam merancang dan melaksanakan aktiviti STEM yang berkualiti serta relevan dengan perkembangan teknologi semasa.”

FAST turut menegaskan komitmen untuk terus menjadi rakan strategik pendidikan dalam memperkukuh ekosistem STEM-TVET, seiring visi UTHM menuju Global Technopreneur University 2030 (GTU2030). Modul STEM berkonsepkan Explorace yang dibangunkan pensyarah FAST juga kini bersedia digunakan di sekolah-sekolah seluruh negara mengikut pakej ditawarkan. Sebarang pertanyaan berkaitan modul atau kerjasama boleh dibuat melalui Penyelaras STEM & SULAM FAST, UTHM, Prof. Madya Dr. Hamizah binti Mohd Safuan melalui emel hamizahs@uthm.edu.my.

#STEM #FAST #UTHMPrihatin

Last Updated on December 12, 2025

Translate »