Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Seramai 46 Pelajar Program Teknologi Makanan UTHM termasuk 10 Alumni Sertai Kursus Pensijilan Profesional Eksekutif Halal JAKIM 2.0

PAGOH – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Kerjasama UTHM Bitara dan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ), sebuah Pusat Latihan Halal (PLH) berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), telah menganjurkan Program Pensijilan Profesional Eksekutif Halal JAKIM 2.0 pada 05 – 06 dan 09 – 13 Februari 2026 bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Program ini bertujuan meningkatkan daya saing graduan melalui pengiktirafan kompetensi profesional yang diiktiraf oleh pihak JAKIM dan relevan dengan keperluan industri makanan halal, di mana kemahiran ini dijangka akan dapat meningkatkan peluang penempatan industri untuk kerjaya pelajar dan juga alumni. Penganjuran kali kedua program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan sebelum ini yang telah memberi impak positif terhadap pembangunan kompetensi pelajar dan permintaan industri terhadap tenaga kerja berkemahiran dalam bidang halal. Sehubungan itu, program ini diteruskan bagi melahirkan lebih ramai Eksekutif Halal yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

Bagi edisi kali ini, seramai 46 peserta telah menjayakan program tersebut yang terdiri daripada 36 orang pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian serta 10 orang alumni UTHM. Sepanjang tujuh hari program berlangsung, peserta telah mengikuti pelbagai modul komprehensif merangkumi teori dan latihan praktikal berkaitan pensijilan halal, pengurusan sistem jaminan halal serta keperluan standard halal semasa, dan diakhiri dengan penilaian bagi setiap modul.

Menurut salah seorang peserta, Muhammad Aiman Bin Mohamad Sharil, latihan praktikal untuk pengisian Modul Audit Dalaman Halal yang melibatkan premis makanan di sekitar Kampus Cawangan Pagoh memberi peluang kepada peserta menjalankan proses audit halal dalam situasi sebenar bagi meningkatkan kefahaman serta penguasaan terhadap pelaksanaan pensijilan halal. Tambahan lagi, menurut peserta yang bergelar alumni dan telahpun bekerja dalam industri makanan, Nor Sakinah Binti Abdul Rahim yang memegang jawatan sebagai ‘district manager‘ di Zuspresso (M) Sdn Bhd menyatakan pensijilan ini dapat meningkatkan kredibiliti profesional, memperluas skop tanggungjawab pekerjaan, serta membuka peluang perkembangan kerjaya khususnya dalam bidang jaminan kualiti, kawalan pematuhan dan pengurusan halal industri.

Program ini digerakkan oleh Tenaga Pengajar Halal (TPH) yang diiktiraf JAKIM terdiri daripada Dr. Hj. Muhammad Suhaimi bin Datuk Hj Sulong, Prof. Madya Ts Dr Norazlin binti Abdullah, Prof. Madya Ts Dr Faridah binti Kormin, Dr. Fazleen Izzany binti Abu Bakar, Dr. Nur Hafizah binti Malik, dan Dr. Wan Ainaa Mardhiah binti Wan Zahari.

Pengarah program, Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad, yang turut bertindak sebagai TPH, menyatakan bahawa para peserta menunjukkan komitmen tinggi serta kerjasama yang baik sepanjang kursus berlangsung, di samping berjaya menamatkan penilaian teori dan praktikal dengan cemerlang.

Laporan disediakan oleh:

Prof. Madya ChM Dr Norhayati Binti Muhammad Pengarah Program

Pensijilan Profesional Eksekutif Halal JAKIM 2.0

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST)

#UTHMProducesProfessional #UTHM #FoodTechnology

Last Updated on February 24, 2026

Translate »