ResQ Tanah – Pemindahan Ilmu Kepada Komuniti Pertanian Di Kawasan Komuniti Panchor Yang Berkaitan Teknologi Nano Bagi Memulihara Dan Memelihara Tanah Bagi Kegunaan Pertanian Lestari
26 Nov 2024, Balairaya Kampung Sungai Ranggam, Panchor – Komitmen berterusan FAST untuk memperkasa Masyarakat di peringkat tempatan dan global diperteguhkan lagi menerusi penganjuran program ResQ Tanah – Pemindahan Ilmu Kepada Komuniti Pertanian Di Kawasan Komuniti Panchor Yang Berkaitan Teknologi Nano Bagi Memulihara Dan Memelihara Tanah Bagi Kegunaan Pertanian Lestari yang berlangsung sepanjang hari ini. Program ini dibiayai melalui Geran Komuniti Madani di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, bertujuan untuk memberi impak positif kepada komuniti kampung Mukim Panchor, khususnya dan memastikan kelangsungan sumber makanan dan hasil pertanian kepada semua, amnya. Seramai hampir 130 peserta yang terdiri daripada komuniti kampung dan mahasiswa UTHM hadir untuk memperkasa dan mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan pertanian lestari bagi menghadapi cabaran masa hadapan. Program ini adalah lanjutan dari Program Pemindahan Ilmu tentang Penanaman Pisang di Kg. Sungai Ranggam pada 30 Oktober, 2022.
Menurut PM Dr. Mohd Saifullah Rusiman, selaku Pengarah program ResQ tanah, ia bertujuan memberi manfaat kepada penduduk kampung dengan meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan memulihara dan memelihara kualiti tanah. Pengisian aktiviti seperti ceramah oleh penceramah jemputan dan demonstrasi oleh pensyarah PM Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi dan pelajar turut dijalankan. Ini membantu memperluas pengetahuan peserta mengenai kaedah pemuliharaan dan pemeliharaan tanah dan potensi penanaman tanaman kontan lain yang boleh memberi pulangan ekonomi kepada komuniti. Program ResQ Tanah ini telah dirasmikan oleh YBhg. Tn Mesafizam Mesri, Penghulu Mukim Panchor, Muar, Johor, dan turut dihadiri oleh ketua-ketua kampung Mukim Panchor.
Sorotan aktiviti dari program ResQ Tanah ini juga melibatkan pembangunan komuniti antarabangsa, dengan penyertaan para pensyarah dan para pelajar dari Central Luzon State University, Filipina. Mereka turut hadir secara online untuk berkongsi idea dan melihat bagaimana program ini dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh komuniti tempatan, tetapi juga oleh komuniti antarabangsa. Pertukaran pengetahuan ini memberi peluang untuk memperkaya pemahaman mengenai amalan pertanian mampan dan pengurusan tanah yang berkesan. Melalui kerjasama ini, diharapkan program ini dapat memperkukuhkan hubungan antara komuniti tempatan dan antarabangsa serta memperluas manfaatnya kepada lebih banyak pihak.
Kesimpulannya, program ResQ ini amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana ia berfokus pada perawatan dan pemeliharaan tanah di kawasan Panchor, Johor. Semoga program ini menjadi platform penyelesaian masalah serta tanda ukur untuk pembangunan teknologi dan sumber insan yang berilmu serta berdaya saing.
Last Updated on November 27, 2024