Program SULAM-STEMTASTIC JUNIOR 2024
Pada 16 Disember 2024, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan jayanya telah menganjurkan Program SULAM-STEMTASTIC JUNIOR 2024 bertempat di Taman Herba UTHM Kampus Pagoh. Program ini melibatkan pelajar Tahun 1 dan Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) Dengan Kepujian (BWW) melalui kursus Seminar Tahun 1 (BWU10401) dan Pengenalan Pelancongan Semulajadi (BWJ30403), di bawah bimbingan Ts. Dr. Furzani Pa’ee dan Ts. Dr. Salasiah Mohamad, manakala En. Haiqal Hazwan Mohd Hanafi dari 3BWW selaku pengarah program.

Seramai 25 orang murid tahun 4 dari Sekolah Kebangsaan Pekan Pagoh, dengan bimbingan dua guru pengiring, telah menyertai program ini. Program yang dijalankan di sekitar kawasan Taman Herba, Blok J, UTHM Kampus Pagoh ini dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan minat dan kesedaran pelajar terhadap subjek sains, sekaligus memberikan pengalaman pembelajaran STEM yang unik di persekitaran universiti. Para pelajar turut berpeluang mengaplikasikan pengetahuan asas sains tumbuhan serta kepelbagaian biologi dan pemuliharaan dalam kehidupan seharian melalui pendekatan kreatif dan interaktif. Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk seni pembuatan seedbombs iaitu pelajar mempelajari teknik mudah dan mesra alam untuk menyemai tumbuhan, dan juga interpretasi alam yang memberi peluang kepada peserta untuk memahami dan menghargai kepentingan dan kegunaan tumbuhan ubatan. Alatan seedbombs yang digunakan termasuklah tanah semaian, kompos, tanah liat dan biji benih terpilih. Para peserta kelihatan begitu teruja dan bersemangat di sepanjang program dijalankan kerana dapat menimba pengetahuan dan pengalaman baru berkaitan STEM.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FAST, PM. Ts. Dr. Noor Azura Awang. Turut hadir ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Ts. Dr. Suhadir Shamsuddin, serta Ketua Jabatan Teknologi & Sumber Semulajadi, PM. Ts. Dr. Norazlin Abdullah, Felo Perhubungan Masyarakat, Dr. Nurul Nadia Adnan serta PIC sekolah angkat, Dr. Nor Atiqah Norazlimi.
Program SULAM-STEMTASTIC JUNIOR 2024 diharapkan dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk memanfaatkan pengetahuan sains dalam aktiviti praktikal seperti penanaman tumbuhan dan penghijauan semula, sambil mengukuhkan kesedaran tentang kepentingan memulihara kepelbagaian biologi dan menjaga kelestarian alam sekitar.








Last Updated on December 23, 2024