PROGRAM STEMtastic Junior 2025
Pada 1 Oktober 2025, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan kelab Pascasiswazah FAST dengan jayanya telah menganjurkan Program STEMTASTIC JUNIOR 2025 bertempat di Dewan Dato’ Onn, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar. Program ini digerakkan oleh pelajar pascasiswazah dan pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) dengan Kepujian sebagai jawatankuasa tertinggi serta fasilitator, di bawah bimbingan Ts. Dr. Furzani Pa’ee dan Dr. Nor Atiqah Norazlimi.

Seramai 148 murid Tingkatan 2 MRSM Muar, dengan iringan dua guru pengiring, telah menyertai program berimpak tinggi ini. Aktiviti yang berlangsung di sekitar dewan berkenaan dirangka bagi menyemai minat dan menambah pengetahuan dalam bidang Sains dan Matematik melalui pameran interaktif dan permainan berasaskan pembelajaran.
Program ini menggunakan konsep stesen pembelajaran, di mana setiap peserta berpeluang mengunjungi pelbagai booth pameran serta mengambil bahagian dalam permainan mini Matematik secara bergilir. Melalui pendekatan ini, para pelajar bukan sahaja dapat menimba ilmu tentang Biodiversiti Malaysia, malah berpeluang mempertajam minda melalui aktiviti berasaskan kuiz dan permainan interaktif.




Antara tema utama pameran termasuk dunia binatang, tumbuhan, teknologi dalam bidang biodiversiti, serta peralatan penyelidikan yang digunakan dalam bidang tersebut. Pelbagai koleksi spesimen flora dan fauna yang menarik dipamerkan, sekali gus mencuri perhatian para peserta. Suasana bertambah meriah apabila fasilitator mempersembahkan demonstrasi teknologi dron serta kelengkapan biodiversiti, yang menimbulkan keterujaan para pelajar.
Sepanjang program, peserta menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi melalui aktiviti perbincangan, kuiz, dan permainan mini. Program diakhiri dengan sesi penutup, penyampaian hadiah, serta sesi bergambar kenangan bersama semua peserta dan fasilitator.
Secara keseluruhan, Program STEMTASTIC JUNIOR 2025 bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali flora dan fauna tempatan, malah menekankan kepentingan aplikasi ilmu Sains dan Matematik dalam kehidupan seharian. Pada masa yang sama, ia turut berperanan mengukuhkan kesedaran tentang pentingnya usaha memelihara dan memulihara kepelbagaian biologi negara.
#UTHMPrihatin #UTHM
Laporan disediakan oleh Ts. Dr. Furzani binti Pa’ee
Last Updated on December 1, 2025