Program Refleksi RESQ Tanah Bersama Komuniti Mukim Panchor dan Pelajar FAST
MUAR, 4 Disember 2025 – Seramai 41 peserta terdiri daripada komuniti Mukim Panchor, Muar dan pelajar UTHM menyertai Program Refleksi ResQ Tanah Komuniti Mukim Muar yang berlangsung di Dewan A9 Asrama UTHM Pagoh. Program anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini bertujuan mendapatkan input refleksi daripada komuniti Mukim Panchor setelah mengadakan program ResQ Tanah tahun lepas. Program ini adalah rentetan dari Program ResQ Tanah (26.11.2024) yang telah diadakan di Balairaya Kampung Sungai Ranggam dan Program Analisis Asas tanah (30.12.2024) yang telah diadakan di Makmal Pemprosesan Makanan, Blok J, UTHM Pagoh. Program ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Saifullah Rusiman di bawah Geran Komuniti @UniMadani A176, dengan kerjasama Komuniti Mukim Panchor dan Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat UTHM bermula dari 1 Julai 2024 sehingga 31 Disember 2025.




Dua program sebelum ini merupakan satu inisiatif pemindahan ilmu dan kesedaran berkaitan kelestarian tanah, pengurusan sumber semula jadi serta pengaplikasian ilmu secara praktikal. Program itu telah dianjurkan bagi memperkukuh kefahaman peserta terhadap isu-isu semasa berkaitan tanah serta peranan pelbagai pihak dalam memastikan pengurusan tanah yang mampan. Latihan praktikal membuat 4 jenis baja organik telah dilakukan dan kemudian penggunaan Ph Meter diajar untuk mengenalpasti keasidan sesuatu tanah sebelum pokok boleh ditanam.
Program yang dianjur adalah berkaitan dengan Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian bagi kursus Pengurusan Sisa Makanan (BWD31402) yang berkaitan dengan pengurusan sisa makanan dan menjadikan sisa makanan sebagai produk yang bernilai dalam kehidupan seharian. Sementara pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian mempelajari subjek Keusahawanan (BWU10102) yang berkaitan dengan sebarang peluang pengurusan keusahawanan termasuk peluang untuk mengurus pembikinan baja organik yang boleh dipasarkan kepada umum, disamping menjalankan program sulam bersama komuniti.

Program ini dimulai dengan pada jam 2 petang dengan taklimat Kepentingan Penggunaan Baja Organik dalam Sektor Perniagaan Pertanian oleh Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi.Sesi diteruskan dengan taklimatPenggunaan PH meter dan Pengumpulan Data dalam Sektor Perniagaan Pertanianoleh Prof. Madya Dr. Mohd Saifullah Rusiman. Program Refleksi ResQ Tanah pada kali ini ialah sebagai perkongsian pengalaman bagi meningkatkan kesedaran, kefahaman serta keupayaan peserta dalam menangani cabaran berkaitan pengurusan dan kelestarian tanah.
Kebanyakan peserta memahami dan membuat sendiri baja organik dan menabur baja organik ke tanah bagi tanaman kontan seperti ubi, keladi, pisang, mangga dan pokok bunga. Secara purata, baja organik amat berkesan dalam meningkatkan hasil tanaman disamping dapat menjimatkan kewangan peserta dibandingkan jika membeli baja kimia di pasaran. Melalui sesi refleksi dan perkongsian ilmu bersama penceramah, program ini berupaya menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap pengurusan sumber tanah. Penganjuran program seumpama ini wajar diteruskan dan diperkasakan bagi menyokong agenda pembangunan mampan negara.
#UTHMPrihatin #FASTUTHM
Last Updated on December 23, 2025