Program Raya Fun Walk
Pada 11 April 2026, Kelab Sains dan Teknologi (STC) dengan kerjasama Fast Postgraduate Chapter (FPC), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menganjurkan Program Raya Fun Walk dengan penuh meriah dan semangat kebersamaan.

Program ini bertujuan menyediakan ruang kepada pelajar dan komuniti untuk melaksanakan aktiviti fizikal secara santai melalui aktiviti berjalan kaki, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara warga institusi pengajian tinggi serta komuniti setempat dalam suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Seramai kira-kira 200 peserta telah mengambil bahagian, terdiri daripada warga FAST, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Pusat Pengajian Diploma (PPD), Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, IIUM Kampus Pagoh serta komuniti sekitar Tangkak, Batu Pahat dan Simpang Renggam, Johor. Penyertaan yang memberangsangkan ini mencerminkan semangat kebersamaan dan sokongan padu terhadap penganjuran program berbentuk kesihatan dan kekeluargaan.

Sepanjang laluan fun walk , beberapa checkpoint telah disediakan yang menghidangkan juadah raya seperti sate, roti jala, nasi impit dan pelbagai kuih-muih tradisional, sekali gus menambahkan kemeriahan dan keunikan program berkonsepkan Raya Sihat, Raya Ceria.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Abdul Mutalib bin Leman, Menjalankan Fungsi Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh. Turut hadir memeriahkan program ialah Encik Jasnizam bin Sami, Wakil Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti UTHM; Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura binti Awang, Dekan FAST; Prof. Madya Ts. Dr. Siti Suhana binti Jamaian, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FAST, juga selaku Penasihat Program; Dr. Muhammad Azri bin Othman, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Pusat Pengajian Diploma; serta Dr. Siti Zaharah binti Kunchimon, Wakil Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FTK.

Secara keseluruhannya, Program Raya Fun Walk bukan sahaja berjaya mencapai objektif dalam memupuk gaya hidup sihat, malah turut memperkukuh jaringan kolaborasi antara institusi serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan peserta. Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform penyatuan warga kampus dan komuniti.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.








Last Updated on April 16, 2026