Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Program Masyarakat Dan Pembangunan Komuniti Antarabangsa: Analisis Asas Tanah – Pemindahan Ilmu Kepada Komuniti Pertanian Di Kawasan Komuniti Panchor Yang Berkaitan Teknologi Nano Bagi Memulihara Dan Memelihara Tanah Bagi Kegunaan Pertanian Lestari

30 Dis 2024, Taman Herba, UTHM– FAST sekali lagi menunjukkan komitmen dalam memperkasa masyarakat di peringkat tempatan dan global melalui pelbagai inisiatif. Baru-baru ini program ‘Analisis Asas Tanah’ di Taman Herba, Blok J, UTHM telah berjaya dilaksanakan. Program ini merupakan kesinambungan daripada program ResQ Tanah di Balai raya Kampung Sg. Ranggam pada 26 November 2024 lepas. Berbeza dengan program sebelumnya, program kali ini menumpukan kepada pemindahan ilmu berkaitan kesihatan tanah kepada komuniti pertanian di kawasan Komuniti Panchor serta membawa komuniti ke universiti. Dengan memanfaatkan penggunaan peralatan analisis tanah, inisiatif ini bertujuan untuk mengenal pasti masalah tanah sebelum aktiviti memulihara dan memelihara kualiti tanah dapat dijalankan, sekali gus memastikan kelestarian sektor pertanian.

Program ini dibiayai melalui Geran Komuniti Madani di bawah Kementerian Kewangan Malaysia, bertujuan untuk memberi impak positif kepada komuniti Kampung Sungai Ranggam, Panchor khususnya. Seramai hampir 115 peserta yang terdiri daripada komuniti kampung dan mahasiswa hadir untuk memperkasa dan mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan pertanian lestari bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

Menurut PM Dr Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi, selaku Pengarah program, ia bertujuan untuk mendekatkan penduduk kampung dengan suasana pembelajaran di universiti, memberikan mereka peluang untuk melihat secara langsung persekitaran akademik. Di samping itu, program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan memulihara dan memelihara kualiti tanah dengan menggunakan peralatan analisis yang terdapat di universiti.

Pengisian aktiviti seperti ceramah dan demonstrasi oleh PM Dr Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi dan pelajar turut dijalankan. Program ini turut dihadiri ketua penyelidik untuk geran ini, iaitu PM Dr Mohd Saifullah Rusiman. Ini membantu memperluas pengetahuan peserta mengenai kaedah mengetahui tahap kesihatan tanah dan bagaimana proses pemuliharaan dan pemeliharaan tanah boleh dijalankan. 

Program Analisis Tanah ini sekali lagi menampilkan elemen pembangunan komuniti antarabangsa dengan penglibatan pensyarah dan pelajar dari Central Luzon State University, Filipina. Kehadiran mereka membuka ruang untuk perkongsian idea serta penerokaan bagaimana program ini dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti tempatan, tetapi juga kepada komuniti antarabangsa. Pertukaran ilmu yang berlaku memperkayakan pemahaman tentang amalan pertanian lestari dan pengurusan tanah secara efisien. Melalui kerjasama ini, program ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara komuniti tempatan dan antarabangsa, sekaligus memperluaskan impaknya kepada pelbagai pihak.

Kesimpulannya, program Analisis tanah ini amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana ia berfokus pada analisis tanah sebelum perawatan dan pemeliharaan tanah di kawasan Panchor, Johor dapat dijalankan. Semoga program ini menjadi platform penyelesaian masalah serta tanda ukur untuk pembangunan teknologi dan sumber insan yang berilmu serta berdaya saing. 

Last Updated on January 8, 2025

Translate »