Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Program Lawatan Ke Kilang Vitagen dan Kilang Beryl’s 

3 & 4 Januari 2024: Seramai 76 pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan),  Fakulti Sains dan Teknologi (FAST) serta 3 pengiring  telah menyertai satu program yang dinamakan “Lawatan Ke Kilang Vitagen dan Kilang Beryl’s”. Program bermula seawall jam 7.00 pagi hingga 6.30 petang dan industri yang dilawati adalah Vitagen yang berada di Petaling Jaya dan juga  Beryl’s Chocolate and Confectionery di Seri Kembangan. Program dirancang oleh pelajar-pelajar sendiri di bawah penasihatan PAK. 

Slot pada waktu pagi dimulakan dengan lawatan Pendidikan Kesihatan ke Kilang Vitagen, di mana Puan Zaihani Zainal Abidin yang merupakan pengurus bagi bahagian perhubungan pelanggan syarikat tersebut telah memberikan pelbagai perkongsian yang menarik kepada para peserta. Antara info yang dikongsikan melalui ceramah beliau adalah berkaitan sejarah dan produk Syarikat yang merupakan minuman kultur pertama di Malaysia yang mengandungi dua (2) bakteria baik iaitu lactobacillus acidophilus dan lactobacillus paracasei. Para pelajar juga berpeluang menonton tayangan video mengenai produk minuman susu kultur Vitagen, serta melawat ke bahagian produksi kilang tersebut. Para peserta dapat mengambil sedikit sebanyak ilmu baharu melalui lawatan ini, lebih-lebih lagi pada bahagian pemprosesan produk kerana mereka dapat melihat dan mendalami proses yang terlibat dalam pembuatan produk tersebut secara fizikal. Hal ini memberikan gambaran yang lebih jelas serta pengalaman yang mahal terhadap para pelajar berkaitan peralatan-peralatan yang terlibat dengan pensterilan, cara teliti mengendalikan minuman yang sensitif kepada suhu dan mikroorganisme, bermula dari langkah pertama sehinggalah ke langkah terakhir. Secara keseluruhan, pelajar dapat mengecam langkah pencegahan dalam memastikan tahap kualiti dan keselamatan produk adalah dalam keadaan yang baik, selaras dengan keperluan objektif program.  

Seterusnya,slot pada waktu petang diteruskan dengan lawatan ke Kilang Beryl’s yang terletak di Seri Kembangan, Selangor. Setibanya di sana, kami disambut oleh Pn. Syuhaila, pengendali lawatan yang bertanggungjawab memberikan pelbagai maklumat dan perkongsian yang menarik kepada semua peserta lawatan ini.Beliau telah memberikan pelbagai perkongsian dengan dimulakan dengan tayangan video mengenai asal-usul Beryl’s dan coklat itu sendiri.Seterusnya,beliau menunjukkan cara penghasilan dan produksi coklat Beryl’s yang terdapat pada kilang tersebut. Di Beryl’s para pelajar tidak berpeluang melihat secara fizikal pemprosesan coklat, hanya melalui cermin kaca atas sebab–sebab dan SOP yang telah ditetapkan. Selain itu, Pn. Syuhaila juga memberikan penerangan berkaitan  asal usul coklat dan bagaimana coklat itu dihasilkan dan diperoleh daripada buah koko yang hanya tumbuh di kawasan tertentu seperti  Afrika dan Amerika Selatan. Maklumat lain yang berharga ialah berkaitan komposisi-komposisi coklat putih (white chocolate), coklat susu dan ‘Dark Chocolate’,jenis-jenis buah koko dan banyak lagi.Hal ini memberikan gambaran yang lebih jelas tentang asal usul coklat yang menjadi antara makanan kegemaran pada masa kini yang merupakan makanan mewah dan hanya dimakan oleh orang-orang tertentu terutamanya pada zaman Aztek dan Maya. Hal ini memberikan pengalaman yang berharga terhadap para pelajar berkaitan alatan yang terlibat, cara mengendalikannya dan langkah pencegahan dalam memastikan tahap kualiti dan keselamatan produk konfeksionari adalah dalam keadaan yang baik, selaras dengan keperluan objektif program. 

            Kesimpulannya, program lawatan ke kilang Vitagen dan kilang Beryl’s memberikan pelajar pengalaman yang amat bermanfaat untuk pelajar memahami proses pengeluaran produk makanan di industri. Lawatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk melihat secara langsung peralatan dan amalan terbaik yang dipraktikkan di dalam industri makanan. Selain itu, program lawatan ke kilang Beryl’s dan Vitagen juga memberikan input tentang standard kualiti, keselamatan, dan kebersihan dalam pengeluaran produk makanan. Pelajar mendapat peluang untuk bertanya soalan kepada pakar industri dan memperoleh pengetahuan praktikal yang dapat diterapkan dalam konteks kerja pada masa hadapan. Peluang ini adalah pengalaman yang memperkaya pengetahuan dan memperluaskan pandangan dalam bidang pembuatan makanan. Pada akhir lawatan, pelajar dapat menyimpulkan bahawa kilang Beryl’s dan Vitagen menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap inovasi, kualiti produk, dan kepatuhan kepada standard industri. Program ini memberi peluang untuk pelajar membangunkan rangkaian profesional,  serta telah memberikan inspirasi untuk pelajar dalam menceburkan diri ke dalam bidang industri pengeluaran makanan dan minuman. 

Berita oleh: 

AJK Program Lawatan Industri ke Vitagen & Beryl’s  

Translate »