Program FASTpreneur FIESTA 2025 “Where Science Sparks Entrepreneurship”
4 Disember 2025, UTHM Kampus Pagoh – Program FASTpreneur FIESTA 2025 “Where Science Sparks Entrepreneurship” anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM telah diadakan bertempat di Dewan A9, Kolej Kediaman Pelajar, UTHM Kampus Cawangan Pagoh. Program ini bertujuan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar, menyediakan pengalaman pembelajaran praktikal melalui aktiviti jualan dan pameran, mengukuhkan kerjasama antara universiti, komuniti dan industri, menyokong pembangunan usahawan kecil melalui pemindahan ilmu, serta mencungkil kreativiti, inovasi dan potensi kepimpinan pelajar.

Program ini menerima sokongan dan dana GTU 2030 serta kelulusan Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) berjumlah RM2,200.00 bagi menjayakan pelaksanaannya.
Majlis perasmian FASTpreneur FIESTA 2025 telah disempurnakan oleh Prof. Madya Sr. Dr. Nazirah binti Mohamad Abdullah, Pengarah PTU UTHM. Majlis turut dihadiri oleh barisan pengurusan fakulti, iaitu Dekan FAST, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura, Prof. Madya Dr. Afishah binti Alias dan Prof. Madya Ts. Dr. Siti Suhana binti Jamaian yang merupakan Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) serta ketua-ketua jabatan.

Terdapat pelbagai gerai jualan dan pameran telah disertai oleh pelajar kursus Keusahawanan BWU10102, yang mempamer dan menjual pelbagai menu makanan, minuman dan produk kreativiti mereka sebagai sebahagian daripada penilaian kerja kursus. Selain itu ialah syarikat teknousahawan yang menawarkan servis dan pembuatan perkakasan elektronik teknousahawan tempatan, yang memperkenalkan produk inovasi dan perkhidmatan teknikal. Tidak ketinggalan juga syarikat pemula (startup) pelajar FAST, yang mempamerkan idea dan produk teknousahawanan mereka kepada warga universiti serta komuniti setempat.
Keterlibatan pelbagai pihak ini berjaya mewujudkan suasana meriah, kompetitif dan interaktif selaras dengan matlamat program untuk menggalakkan budaya keusahawanan berasaskan pengalaman sebenar (experiential learning).
Seiring dengan aktiviti jual beli dan pameran, FASTpreneur FIESTA 2025 turut menampilkan siri perkongsian ilmu berfokuskan pembangunan keusahawanan komuniti, khususnya usahawan mikro. Antara sesi yang diadakan adalah Ideation & Marketing (Keusahawanan Komuniti), pendaftaran perniagaan, undang-undang makanan serta keselamatan, pembungkusan dan pemasaran digital. Manakal pada sesi sebelah petang pula berkaitan dengan keusahawanan dalam sektor agro-teknologi seperti perkongsian mengenai proses penghasilan baja organik, nutrisi tanaman, penjagaan tanaman dan analisis data untuk meningkatkan hasil tanaman.

Pelbagai aktiviti sampingan menarik untuk pelajar sertai yang turut menyerikan program antaranya pertandingan gerai jualan terbaik, pertandingan business pitching, pertandingan karaoke dan hobi teknikal perlumbaan Tamiya Mini 4WD. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menambah elemen hiburan tetapi turut memupuk kreativiti, keyakinan dan semangat keusahawanan dalam kalangan peserta.
Sebagai Kesimpulan, FASTpreneur FIESTA 2025 telah berjaya mencapai objektif penganjurannya melalui penyertaan aktif pelajar, komuniti dan pihak industri teknousahawan. Program ini bukan sahaja menjadi platform pembelajaran praktikal dalam bidang keusahawanan, malah memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat melalui perkongsian kepakaran (KTP). Dengan gabungan pameran, jualan, perkongsian ilmu dan pertandingan, program ini membuktikan komitmen FAST dan PTU dalam melahirkan generasi usahawan muda yang kreatif, berilmu dan berdaya saing seiring kehendak pasaran semasa. Program ini diharapkan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan penglibatan yang lebih luas serta impak yang lebih signifikan kepada ekosistem keusahawanan UTHM dan komuniti sekitar.

Last Updated on December 12, 2025