Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Program CARES: Inisiatif Hijau UTHM Menerusi Kaedah Miyawaki Terajui Pemulihan Biodiversiti di Bandar Universiti Pagoh

17 Dis 2025, Pagoh – Kelestarian alam sekitar di Bandar Universiti Pagoh (BUP) kini memasuki fasa baharu dengan penganjuran program Community Alliance for Restoration & Enhanced Sequestration (CARES) yang berlangsung meriah di Taman Etnobotani, Tasik Laguna hari ini. Program pemindahan ilmu dan SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) yang berimpak tinggi ini merupakan anjuran bersama di antara Yayasan Sime Darby, Sime Darby Property Pagoh Sdn Bhd, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM serta Jabatan Perhutanan Negeri Johor. Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Encik Hisam bin Hamzah, Ketua Perbandaran Sime Darby Property Pagoh Sdn Bhd, Dr. Yasmin binti Rasyid, Pengurus Besar Kelestarian Sime Darby Property, serta Puan Noratikah Mustafa yang mewakili Pejabat Hutan Daerah Johor Utara, Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

Seramai 50 orang peserta dan lima orang guru pengiring yang terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Kota Raja, sekolah angkat UTHM telah menyertai program ini bagi mendalami ilmu pemuliharaan alam secara praktikal. Turut disertai 44 pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) selaku peserta dan sukarelawan program. Program ini membawa tujuan utama memupuk nilai tanggungjawab memelihara dan memulihara alam sekitar dalam kalangan generasi muda menerusi pendekatan pendidikan sains.

Intipati utama program ini adalah aplikasi konsep penanaman pokok menggunakan teknik Penghutanan Pantas Miyawaki. Teknik ini dirangka mampu mempercepatkan pertumbuhan hutan bandar secara padat menggunakan spesies pokok asli, sekali gus meningkatkan kepadatan biodiversiti setempat dalam tempoh yang lebih singkat berbanding kaedah konvensional.

Peserta didedahkan dengan cara penanaman dan pengecaman spesies pokok natif dan bernilai tinggi seperti Merawan (Hopea odorata), Keruing (Dipterocarpus sp.), dan Meranti Temak Nipis (Antoshorea roxburgii). Pokok-pokok ini bukan sekadar hiasan, malah berfungsi sebagai penyerap karbon yang efisien yang mampu menangani perubahan iklim. Keunikan program CARES terletak pada sistem pemantauan jangka panjang di plot yang dikenali sebagai Hutan Mini Laguna ini dimana pertumbuhan setiap anak pokok akan dipantau secara berkala bagi menilai kadar adaptasi dan penyimpanan karbon.

Meskipun cuaca tidak menentu, semangat para peserta tetap kental. “Walaupun hari hujan, saya rasa sangat berbaloi kerana kini saya lebih faham tentang peranan kritikal pokok dalam menstabilkan suhu dan impak positifnya kepada ekosistem kita,” ujar salah seorang peserta sekolah angkat yang ditemui semasa sesi penanaman.

Penasihat Program, Ts. Dr. Salasiah binti Mohamad, menegaskan bahawa inisiatif ini adalah projek perintis bagi anugerah Lencana Biodiversiti.  Beliau berharap program ini dapat memperkasa masyarakat dengan kemahiran pemantauan penyimpanan karbon secara proaktif dan efektif. “Kami mahu komuniti melihat pemuliharaan bukan sekadar menanam, tetapi sebagai tanggungjawab bersama untuk menyokong kehidupan di darat selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 15),” jelas beliau dalam slot taklimat penanaman dan pengecaman spesies.

Turut hadir memberikan pengisian ilmu ialah Timbalan Penasihat Program, Prof. Madya Ts. Dr. Siti Fatimah binti Sabran. Beliau menekankan kepentingan fungsi pokok yang melangkaui aspek estetika semata-mata. “Setiap pokok yang kita tanam hari ini adalah ‘mesin’ semula jadi yang bekerja tanpa henti untuk menyerap karbon dioksida dan membekalkan oksigen bersih kepada kita. Selain sebagai penyerap karbon yang efisien untuk menangani perubahan iklim, pokok-pokok asli ini juga membina ekosistem yang stabil bagi kelangsungan biodiversiti setempat, ujar beliau kepada para peserta.

Manfaat utama program ini kepada komuniti termasuklah penambahbaikan landskap sekitar kampus yang lebih redup serta pemulihan habitat semula jadi bagi flora dan fauna tempatan. Inisiatif ini juga memperkukuh keterlibatan universiti dalam memacu agenda kelestarian negara menerusi sokongan industri.

Bagi menghargai komitmen tinggi yang ditunjukkan, setiap peserta dianugerahkan Lencana Biodiversiti: Carbon Sequester Hero C.S.01 sebagai simbol pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada alam sekitar. Program ini diakhiri dengan sesi refleksi dan makan tengah hari yang ditaja sepenuhnya oleh rakan kerjasama, membuktikan bahawa sinergi antara universiti, industri, komuniti dan agensi kerajaan adalah kunci utama kejayaan konservasi alam semulajadi.

#IUTHMPrihatin

Laporan disediakan oleh:

Ts. Dr. Salasiah Mohamad

Fakulti Sains Gunaan & Teknologi

Last Updated on February 4, 2026

Translate »