Potluck Santai Kukuhkan Jaringan Usahawan Makanan & Universiti di Bandar Muar
MUAR, 29 November 2025 – Suasana ceria dan penuh kemesraan memenuhi ruang Tunku Mahkota
Ismail Youth Center (TMIYC), Muar apabila seramai 20 usahawan kecil dan sederhana (IKS) produk
makanan dari sekitar Komuniti Bandar Muar berkumpul bersama pelajar dan pensyarah dalam
Program Potluck bersama Usahawan Kecil dan Sederhana Produk Makanan. Program ini
menjadi medan pertemuan santai namun sarat ilmu, seiring pelaksanaannya sebagai salah satu
komponen penting Program Induk: Rantaian Inovasi dan Pembuatan Makanan Difortifikasi Mesra
Usia yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi.

Program potluck ini dianjurkan bagi mengukuhkan hubungan antara universiti, komuniti dan industri
melalui sesi perkongsian terbuka, sekaligus menyokong perjalanan tiga fasa program induk yang
berlangsung dari 29 Ogos hingga 31 Disember 2025. Program induk merangkumi pendedahan asas
keselamatan makanan dan pematuhan peraturan (Fasa 1), latihan hands-on penyediaan makanan
difortifikasi bagi warga emas (Fasa 2), serta penilaian kemampuan komuniti dalam penghasilan
produk dan potensi penjanaan pendapatan (Fasa 3). Keseluruhan inisiatif ini dijayakan melalui
kerjasama erat antara para pelajar dan pensyarah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan
Kepujian, Panel Teknologi Makanan, Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, masyarakat
tempatan Mukim Muar, Living Lab Bandar Muar yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hamizah binti
Mohd Safuan dan ICRC.

Dalam suasana santai namun berinformasi, para peserta yang terdiri daripada pengusaha industri
makanan kecil dan sederhana (IKS) berpeluang berkongsi pengalaman sebenar mereka termasuk
cabaran pematuhan standard keselamatan, strategi pemasaran, teknik pemprosesan dan inovasi dalam
penghasilan produk. Pelajar program Teknologi Makanan FAST yang terlibat termasuk 5 orang
pelajar mobiliti dari Mindanao State University – Tawi-Tawi College of Technology and
Oceanography (MSU-TCTO) berpeluang mendekati realiti IKS di daerah Muar secara langsung,
memahami keperluan usahawan, dan menilai bagaimana ilmu akademik boleh diaplikasikan untuk
menyelesaikan isu lapangan. Interaksi dua hala ini menjadi platform yang bukan sahaja mengukuhkan
kemahiran teknikal, tetapi juga menanam nilai empati dan kefahaman mendalam terhadap ekosistem
makanan tempatan.
Menurut Dr Nur Hafizah Malik selaku Pengarah, program ini bukan sekadar aktiviti pengisian
komuniti, tetapi berfungsi sebagai jambatan pengetahuan yang memastikan latihan dalam Program
Induk Difortifikasi Mesra Usia benar-benar menepati keperluan masyarakat. Melalui perkongsian
santai sambil menikmati potluck yang dibawa oleh usahawan dan pelajar, perbincangan menjadi lebih
terbuka dan mesra, memungkinkan input yang lebih jujur dan praktikal bagi penambahbaikan
program seterusnya.

Selain itu, hubungan yang dibina antara usahawan dan pihak universiti diharapkan dapat terus
berkembang sebagai jaringan jangka panjang yang menyokong pembangunan kapasiti IKS.
Pendekatan kolaboratif ini memberi manfaat dua hala: usahawan menerima sokongan teknikal dan
idea inovasi, manakala pelajar pula mendapat pendedahan dunia sebenar industri, selaras dengan
usaha memupuk budaya pemindahan ilmu yang efektif dan inklusif.
Disediakan oleh:
Prof. Madya ChM. Dr. Hatijah binti Basri
#UTHMPrihatin #PanelTeknologiMakanan #FAST
Last Updated on December 12, 2025