Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Pelajar FAST UTHM Terpilih Ke ‘Spring Exchange Program 2025’ Di Korea University of Technology and Education (KOREATECH)

4 Mac 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila dua pelajar cemerlang dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) terpilih untuk menyertai Spring Exchange Program 2025 di Korea University of Technology and Education (KOREATECH), Korea Selatan.

Program pertukaran berprestij ini, yang berlangsung selama satu semester iaitu dari Mac hingga Jun 2025, memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman akademik di institusi bertaraf dunia, meneroka budaya Korea dalam masa yang sama  menjadi duta untuk jaringan antarabangsa dua (2) negara. Dengan penajaan sepenuhya dari Kerajaan Korea Selatan, pelajar yang berjaya mendapat tempat dalam program ini iaitu Ngoh Ea Son dari program Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) dengan Kepujian, dan Nor Ali Yanshah bin Mat Rae dari program Sarjana Muda Sains (Analitik Data dan Komputasi) dengan Kepujian.

Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Prof Madya ChM. Ts. Dr. Hatijah Basri, mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pelajar atas pencapaian membanggakan ini. Beliau berharap pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang program pertukaran pelajar seumpama  ini akan memberi impak positif kepada perkembangan akademik dan peribadi mereka, serta mengharumkan nama UTHM di persada antarabangsa.

UTHM komited dalam menyediakan pelbagai program mobiliti dan kerjasama antarabangsa bagi memberi peluang kepada pelajar memperluaskan pengalaman pembelajaran mereka. Universiti juga menggalakkan lebih ramai pelajar untuk merebut peluang seperti ini demi membina masa depan yang lebih cemerlang. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus melakar kecemerlangan di peringkat global.

Maklumat Lanjut berkaitan KoreaTech Student Exchange boleh dicapai melalui pautan ini. Para pelajar juga boleh mendapatkan informasi berkaitan program mobiliti akan datang melalui Pejabat Antarabangsa UTHM dan melalui Penyelaras Mobiliti Fakulti Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzelly bin Abu Bakar (penyelaras mobiliti tahun 2025).

Last Updated on March 19, 2025

Translate »