Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Memupuk Penguasaan Python untuk Generasi Baharu Penganalisis Data Melalui Inisiatif SULAM

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), telah berjaya menganjurkan Program SULAM 2024 dengan tema Python Programming for the Next Generation of Young Data Analysts. Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) yang berlangsung pada 13 Disember 2024 di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ). Program ini bertujuan merapatkan hubungan universiti dengan masyarakat serta meningkatkan kualiti pendidikan.

Program ini dipimpin oleh 27 orang pelajar tahun kedua Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian sebagai sebahagian daripada kursus mereka yang menekankan pembelajaran berimpak tinggi dalm kursus Kaedah Berangka. Melalui program ini, pelajar dapat mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, penyelesaian konflik, kerja berpasukan, daya tahan, dan ketekunan – ciri-ciri penting untuk menghadapi cabaran dunia sebenar.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Dekan FAST, Prof. Madya Chen Ts. Dr. Hatijah Basri, bersama kehadiran wakil dari KMJ, En. Nik Abdul Jamal bin Muhammad dan Encik Zulkarnain Sanip. Program ini melibatkan 100 pelajar Sains Komputer dari KMJ sebagai peserta. Di bawah pengarah program, Nurul Syahirah Zairul Adam, serta bimbingan Penasihat Program, Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin, program ini telah mencapai matlamat yang diharapkan.

Antara objektif utama program ini adalah memberi pendedahan awal kepada pelajar KMJ mengenai asas pengaturcaraan Python, seperti sintaks asas dan logik pengaturcaraan, untuk memperkukuhkan kemahiran teknologi mereka. Selain itu, ia bertujuan membentuk kemahiran penting abad ke-21, termasuk pemikiran kritis, penyelesaian masalah, dan kreativiti. Program ini juga mendorong minat pelajar terhadap bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).

Fasilitator UTHM telah menyediakan modul khas bertajuk Python for Beginners: Learn Python Like a Hero. Modul ini merangkumi enam topik utama: pengenalan sintaks, jenis data, struktur data, kawalan aliran, pengaturcaraan berorientasikan objek (OOP), perpustakaan Python, dan pembangunan Graphical User Interface (GUI). Modul ini telah didaftarkan sebagai Hak Cipta, membuktikan komitmen UTHM dalam menyediakan bahan pembelajaran berkualiti untuk masyarakat.

Program ini memberi manfaat besar kepada pelajar KMJ dengan memperkenalkan kemahiran baru dalam pengaturcaraan Python yang tidak terdapat dalam silibus tradisional. Kemahiran ini membuka peluang kepada mereka untuk meneroka bidang seperti analitik data, pembangunan perisian, dan kecerdasan buatan, yang semakin relevan dalam era Revolusi Industri 4.0. Pelajar UTHM juga mendapat pengalaman berharga dalam bidang pengajaran, meningkatkan kemahiran komunikasi, serta memperkukuhkan kepimpinan dan pengurusan projek mereka.

FAST sentiasa berusaha memenuhi keperluan masyarakat setempat dengan menawarkan pelbagai kepakaran. FAST juga menyediakan program pengajian berasaskan industri, seperti Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian dan Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) dengan Kepujian, yang direka khusus untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa kini. Program-program ini menyumbang kepada pembangunan modal insan yang menyokong agenda teknologi dan inovasi negara.Secara keseluruhannya, Program SULAM 2024 membuktikan usaha FAST UTHM dalam menyelaraskan pembelajaran akademik dengan keperluan komuniti. Pendekatan inovatif ini bukan sahaja memenuhi objektif program tetapi turut memberikan impak jangka panjang kepada pelajar, fasilitator, dan masyarakat secara keseluruhan. Program ini mencerminkan komitmen UTHM untuk menjadi institusi pendidikan yang relevan dan responsif terhadap kehendak masyarakat dan industri.

Last Updated on December 30, 2024

Translate »