Lawatan Yamawaki High School, Tokyo, Jepun ke UTHM Bagi Menilai Potensi Program Edutourism 2026
UTHM Kampus Pagoh & Kampus Induk Batu Pahat, 11–15 Ogos 2025 – Dr. Akiyama Shigeharu, seorang penyelidik dalam bidang Reproductive Biology yang juga wakil dari Yamawaki High School, Tokyo, Jepun, telah mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Lawatan ini bertujuan menilai lokasi serta potensi pelaksanaan program edutourism UTHM yang dirancang untuk tahun 2026.
Program edutourism berkenaan memberi tumpuan kepada latihan dalam bidang sains semula jadi (natural sciences), teknologi, dan kebudayaan, melibatkan penyertaan pelajar serta guru dari Yamawaki High School, sebuah institusi yang diiktiraf sebagai Super Science School oleh kerajaan Jepun.
Lawatan Pra-Pelaksanaan
Sepanjang tempoh lima hari lawatan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa (PPB) dan Pejabat Antarabangsa (IO) telah menyusun siri aktiviti pra-pelaksanaan. Antara yang dilaksanakan termasuk lawatan tapak, semakan fasiliti penginapan, serta prarangka modul latihan kerja lapangan biodiversiti dan kebudayaan.
Lokasi yang terlibat ialah:
- Makmal Lapangan FAST, Taman Negara Johor Endau Rompin–PETA
- Taman Negara Johor Gunung Ledang
- Living Lab Ayer Hitam Utara
- Living Lab Sungai Balang
- Kawasan sekitar Kampus Induk dan Kampus Pagoh, UTHM
Pengukuhan Kerjasama
Dalam rangka lawatan ini, turut dimeterai Letter of Intent (LoI) antara FAST–UTHM yang diwakili oleh Dekan, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura Binti Awang, dengan Yamawaki Urodela Research Laboratory.
Sokongan dan Harapan
Sepanjang lawatan, Dr. Akiyama telah diiringi oleh pasukan akademik FAST yang terdiri daripada Ts. Dr. Siti Fatimah Sabran, Dr. Arney Sapaat, Dr. Ahmad Hassan Sallehudin Mohd Sarif, PM. Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar, serta Ts. Dr. Salasiah Mohamad.



Last Updated on September 24, 2025