Lawatan Industri ke Malaysia Aviation Academy (MAvA): Mendalami Peranan Pengurusan Trafik Udara
Pada 9 Disember 2025 yang lalu, seramai 68 orang pelajar Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) dengan Kepujian bersama pensyarah pengiring dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah berpeluang untuk mengikuti program Lawatan Industri ke Malaysia Aviation Academy (MAvA), Sepang. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan lebih mendalam mengenai industri penerbangan serta memahami peranan penting MAvA dalm menjadi pusat latihan rasmi bagi pengurusan trafik udara dan operasi penerbangan di Malaysia.
Malaysia Aviation Academy (MAvA) adalah merupakan institusi latihan di bawah Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) yang menyediakan latihan profesional dalam bidang perkhidmatan trafik udara (ATS), keselamatan penerbangan, komunikasi aeronautical serta pengurusan lapangan terbang. Lawatan ini telah disertai oleh pelajar-pelajar yang mengambil kursus elektif Aliran Rangkaian (Network Flow) dan Penyelidikan Operasi (Operational Research) di mana melalui lawatan ini, pelajar dapat melihat sendiri suasana pembelajaran dan peralatan industri yang digunakan oleh pegawai trafik udara. Selain itu, mereka juga dapat melihat bagaimana operasi kritikal ruang udara seluruh negara diuruskan secara profesional dan sistematik.

Lawatan ini amat signifikan kerana ia menyentuh secara langsung beberapa topik utama dalam kursus Aliran Rangkaian (Network Flow) dan Penyelidikan Operasi (Operational Research). Antaranya ialah aliran trafik udara sebagai network flow di mana pergerakan pesawat di ruang udara boleh dilihat sebagai jaringan nod dan arc seperti model aliran dalam Matematik. Selain itu, Air-Traffic Controller (ATC) juga perlu memastkan pesawat mengambil laluan paling selamat, efisien dan tidak bertembung di mana perkara ini mirip kepada masalah shortest path dan maximum flow yang mengaitkan pengoptimuman laluan penerbangan. Di samping itu, penjadualan (scheduling) juga diterapkan dalam dunia penerbangan di mana proses untuk menetapkan slot penerbangan dan waktu pendaratan adalah aplikasi terus konsep time scheduling yang dipelajari dalam Operational Research. Oleh hal yang demikian, pendedahan ini membantu para pelajar untuk memahami bahawa formula dan model Matematik yang mereka pelajari bukan sekadar teori, tetapi digunakan setiap hari bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi ruang udara negara.

Sepanjang sesi lawatan, pelajar diberikan taklimat pengenalan tentang MAvA yang merangkumi fungsi akademi, kepentingan perkhidmatan trafik udara, peranan CAAM dan laluan kerjaya yang boleh diceburi dalam bidang penerbangan. Selain itu, pelajar-pelajar juga berpeluang untuk melawat simulator trafik udara yang memberi pendedahan berkenaan Search and Rescue (SAR), Tower 360, ACS dan ACP yang memperlihatkan simulasi pergerakan pesawat serta bagaimana Air-Traffic Controller (ATC) mengawal laluan udara. Selain itu, terdapat juga sesi soal jawab yang membolehkan pelajar memahami kelayakan, kemahiran serta cabaran-cabaran bekerja dalam bidang ini.
Melalui lawatan ini, pelajar berpeluang untuk melihat aplikasi sebenar konsep Network Flow dan Operational Research yang telah dipelajari dalam operasi logistik dan navigasi udara. Selain itu, lawatan ini juga membantu pelajar dalam meningkatkan kefahaman mereka dalam mengetahui kepentingan pengoptimuman dalam sistem kritikal seperti sistem penerbangan. Di samping itu, lawatan ini dapat menguatkan lagi minat pelajar yang ingin menceburkan diri dalam bidang analitik, penerbangan, pengurusan operasi sebagai bidang kerjaya pada masa akan datang. Pelajar juga dimaklumkan bahawa terdapat juga peluang untuk mereka menjalani latihan industri (internship) dalam MAvA di mana perkara ini secara tidak langsung dapat memberikan pengalaman langsung kepada para pelajar dalam pengurusan trafik udara, analisis data penerbangan dan operasi aeronautikal.
Secara keseluruhannya, lawatan industri ke Malaysia Aviation Academy (MAvA) telah berjaya dalam mencapai objektifnya untuk memberikan gambaran menyeluruh mengenai operasi sektor penerbangan negara yang mengaitkan tentang aplikasi Network Flow dan Operational Research yang dipelajari oleh para pelajar. Pihak FAST ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MAvA atas layanan mesra dan perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat sepanjang sesi lawatan diadakan. Diharapkan lawatan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan bagi memupuk minat dan meningkatkan pemahaman pelajar terhadap industri yang pesat berkembang ini.

Last Updated on December 12, 2025