Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Kursus Kesedaran Halal Perkasa Komuniti Pesara Mukim Muar

MUAR, 20 November 2025 – Seramai 30 peserta terdiri daripada komuniti pesara Mukim Muar menyertai Kursus Kesedaran Halal Komuniti Mukim Muar yang berlangsung di Tengku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di sini hari ini. Program anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu bertujuan meningkatkan kefahaman peserta mengenai konsep Halalan Toyyiban serta tatacara permohonan pensijilan Halal mengikut piawaian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Program ini diketuai oleh Prof. Madya ChM Dr. Norhayati binti Muhammad di bawah Geran Komuniti @UniMadani A208, dengan kerjasama Komuniti Bandar Muar dan Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat UTHM. Kursus ini juga merupakan sebahagian daripada Program Rantaian Inovasi dan Pembuatan Makanan Difortifikasi Mesra Usia yang sedang berlangsung dari 20 Ogos 2025 hingga 4 Disember 2025.

Menurut penganjur, program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada komuniti pesara tentang kepentingan pematuhan halal dalam penyediaan makanan, khususnya bagi mereka yang berhasrat menceburi keusahawanan makanan dari rumah. Kefahaman mengenai penggunaan ramuan kritikal, keselamatan makanan dan keperluan perundangan menjadi fokus utama supaya mereka dapat menghasilkan produk yang berkualiti serta diyakini pengguna.

Kursus bermula pada jam 9 pagi dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Zaharah binti Mohd Fuzi, selaku Ketua Geran Komuniti @UniMadani A208. Sesi diteruskan dengan tiga slot ilmu iaitu “Konsep Halalan Toyyiban” oleh Dr. Fazleen Izzany binti Abu Bakar, “Ramuan Kritikal”  dan Prosedur Permohonan Pensijilan Halal” yang disampaikan oleh Prof. Madya ChM Dr. Norhayati binti Muhammad, kedua-duanya Jurulatih Halal Bertauliah JAKIM.

Penganjuran kursus ini turut memberi impak penting kepada komuniti sasaran, khususnya warga emas yang kini aktif dalam kegiatan ekonomi setempat. Dengan latihan yang teratur, para peserta bukan sahaja mendapat ilmu mengenai halal tetapi turut memahami proses permohonan yang betul bagi memperkukuh kredibiliti produk mereka di pasaran.

Secara Keseluruhan, program ini dijangka dapat memperkasakan warga emas sebagai usahawan kecil serta membuka peluang penjanaan pendapatan melalui pembuatan makanan yang selamat, berkualiti dan diyakini pengguna. Dengan sokongan daripada UTHM dan komuniti Muar, inisiatif ini menjadi langkah penting dalam membangunkan ekosistem keusahawanan halal yang mampan di peringkat akar umbi.

#UTHMPrihatin #FASTUTHM

Last Updated on December 12, 2025

Translate »