Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Finishing School Foodies

7 Januari 2026, UTHM Kampus Pagoh – Panel Bidang Teknologi Makanan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menganjurkan program Finishing School Foodies pada 7 Januari 2026 yang lalu. Program yang berlangsung di Dewan A9, Pagoh ini menyasarkan pelajar tahun akhir bidang Teknologi Makanan sebagai persediaan sebelum mereka melangkah ke fasa seterusnya.

Program ini dirangka khusus untuk memberi pendedahan realistik mengenai senario dan keperluan sepanjang latihan industri, memberi motivasi dan galakkan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), khususnya di FAST, UTHM, di samping memperkukuh ukhuwah antara pelajar dan pensyarah sebelum mereka menamatkan pengajian.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti refleksi dan interaktif secara berkumpulan dan individu telah dilaksanakan bagi mengasah minda dan kreativiti pelajar. Menerusi aktiviti Role Play Kerjaya & Who Am I?, pelajar dapat mengimbas kembali topik-topik kritikal dalam bidang Teknologi Makanan yang relevan dengan sektor pekerjaan. Sementara itu, para pelajar berpeluang untuk menghasilkan penulisan emel dan komunikasi WhatsApp profesional berdasarkan simulasi situasi sebenar di tempat kerja, menerusi aktiviti A Good Employee

Program diteruskan dengan pengisian ilmu, A Journey to Postgraduate Studies, yang telah disampaikan oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzelly bin Abu Bakar, yang berkongsi kaedah dan kepentingan meneruskan pengajian siswazah di FAST, UTHM. Dr. Mohamad Zulhafiz Shafiq bin Zulhilmi Cheng turut memberikan kupasan mendalam mengenai aspek penting yang perlu ditititikberatkan serta perkara yang perlu dielakkan sepanjang tempoh latihan industri dan kerjaya.

Sesi penutup dimeriahkan dengan slot refleksi bersama para pensyarah bidang Teknologi Makanan. Penasihat program, Dr. Hana Syafiqah binti Sayeed Ibrahim, dalam ucapannya menekankan kepentingan mengimbangi ilmu pengetahuan dengan adab demi kelangsungan hidup dan turut memberikan suntikan semangat serta mendoakan kejayaan para pelajar dalam membina kerjaya masa depan. Beliau turut menzahirkan penghargaan buat seluruh jawatankuasa dan peserta yang menjayakan program ini. Majlis diakhiri dengan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang dan sesi fotografi sebagai kenang-kenangan.

Program Finishing School Foodies ini terbukti menjadi platform persediaan akhir yang efektif bagi pelajar. Berdasarkan maklum balas yang positif, program seumpama ini dilihat sangat signifikan untuk diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing.

Laporan disediakan oleh: Dr. Hana Syafiqah binti Sayeed Ibrahim

Last Updated on January 9, 2026

Translate »