Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

FAST Memperkukuh Kerjasama Global dengan Mindanao State University (MSU-TCTO), Filipina melalui Program Induksi Mobiliti.

Pagoh, Johor – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa apabila menerima lawatan delegasi dari Mindanao State University, Tawi-Tawi College of Technology and Oceanography (MSU-TCTO), Filipina. Lawatan yang berlangsung dari 23 November hingga 6 Disember 2025 ini bertujuan meneruskan kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan, serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi pengajian tinggi.

Delegasi MSU-TCTO diketuai oleh Asst. Prof. Merilyn Q. Amlani dan disertai Asst. Prof. Iannie P. Maribao serta lima orang pelajar tahun ketiga Jabatan Sains dan Teknologi Makanan, MSU-TCTO. Program dimulakan dengan sesi perkenalan dan ramah mesra bersama Dekan FAST, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura Binti Awang serta pensyarah program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan), FAST. Delegasi turut dibawa melawat Kampus UTHM Pagoh, EDU Hub Pagoh, serta Kampus Induk UTHM di Batu Pahat.

Sepanjang program, pelajar MSU-TCTO telah berpeluang mendalami kursus-kursus teras program Teknologi Makanan seperti Undang-undang dan Peraturan Makanan, Mikrobiologi Makanan, Teknologi Pemprosesan dan Pengawetan Makanan, Penilaian Sensori Makanan dan lain-lain secara teori dan praktikal. Pengalaman ini memberi pendedahan terhadap kemudahan pembelajaran, peralatan penyelidikan terkini, serta pendekatan pembelajaran berasaskan amali di UTHM.

Seterusnya delegasi turut mengikuti lawatan industri makanan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai amalan industri makanan Malaysia dalam proses pengeluaran, kawalan kualiti dan keselamatan makanan. Antara industri yang terlibat adalah Mamee-Double Decker Sdn. Bhd., Farm Fresh Milk Sdn. Bhd. dan Kilang dan Ladang Rempah Ratus Nasuha. Aktiviti ini menunjukkan hubungan kolaboratif antara universiti dan pihak industri terutama dalam bidang pemprosesan makanan.

Selain itu, delegasi juga terlibat dalam pembelajaran bersama komuniti di bawah Projek Fasa 2: Rantaian Inovasi dan Pembuatan Makanan Difortifikasi Mesra Usia oleh Komuniti Pesara Mukim Muar yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Siti Fatimah Zaharah binti Mohamad Fuzi yang telah diadakan pada 29 November 2025 bertempat di Bangunan Majlis Perbandaran Muar, Johor. Dalam aktiviti ini pensyarah dan pelajar berpeluang beramah mesra dan melibatkan diri dalam penghasilan produk jem betik dan teh kombucha bersama komuniti setempat.

Skill Swap Social dan MindSpark Meetup yang merupakan sesi perkongsian pengalaman dan ilmu oleh pelajar serta pensyarah MSU-TCTO telah diadakan. Sesi perkongsian ini turut melibatkan dua orang pelajar tahun 4 Program Teknologi Makanan FAST, UTHM, saudari Irdina Izzati binti Yusri dan saudari Nur Antasya Balkis binti Badrolhisham yang telah mengikuti program mobiliti ke MSU-TCTO pada 27 Oktober hingga 3 November 2024. Dengan adanya aktiviti ini dapat memberi pendedahan dan nilai tambah kepada pelajar dari kedua-dua universiti terlibat terutama dalam perkongsian mengenai perbezaan budaya, geografi serta sosioekonomi di antara Filipina dan Malaysia. Diharap aktiviti ini dapat menarik minat terutama pelajar tahun 1 Program Teknologi Makanan FAST, UTHM dalam penglibatan program mobiliti antarabangsa.

FAST berharap program ini menjadi pemangkin kepada kerjasama jangka panjang yang mampan serta memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan dan penyelidikan di peringkat serantau dan antarabangsa.                                                                                                               

Disediakan oleh: Dr. Farawahida Binti Abdul Halim, Ts. Dr. Nur Hafizah Binti Malik dan Dr. Noorakmar Binti Ab Wahab.

Last Updated on December 23, 2025

Translate »