Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

“Cahaya Lilin, Sinar Inovasi: EcoEssence Workshop Buka Minda Saintis Muda”

Oleh: Ts. Dr. Furzani Pa’ee

Pagoh, 11 Jun 2025 (Rabu) – Seramai 20 orang pelajar dari lima buah sekolah menengah sekitar Muar dan Tangkak telah menyertai EcoEssence Candle Workshop yang berlangsung di UTHM Kampus Cawangan Pagoh dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, bersempena Program BioDFest 2025.

Sekolah-sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Tinggi Muar, MRSM Muar, SMK Dato’ Sri Amar Diraja, SMK Bukit Gambir, dan Sekolah Menengah Sains Muar (SAMURA), dengan kehadiran seramai 7 orang guru pengiring.

Program ini telah dijalankan di bawah pelarasan Ts. Dr. Furzani Pa’ee dan Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah, dengan penglibatan aktif pelajar UTHM dalam menjayakan keseluruhan aktiviti.

Terdapat dua program utama dijalankan secara serentak iaitu:

  • Bengkel Pembuatan Lilin– Para peserta didedahkan kepada asas pembuatan lilin menggunakan bahan semula jadi berasaskan herba. Mereka turut berpeluang mencipta dan mendekorasi sendiri hasil lilin masing-masing, yang sekaligus memupuk kreativiti serta kesedaran terhadap kelestarian sumber alam.
  • Innopreneur Exhibition – Pelajar-pelajar UTHM mempamerkan pelbagai produk berasaskan sumber semula jadi dan berkongsi informasi menarik berkaitan biodiversiti serta potensi ekonomi hijau. Sesi ini juga memberi ruang interaksi antara pelajar sekolah dan mahasiswa universiti.

Salah seorang guru pengiring berkongsi pandangan bahawa “Program ini telah memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami konsep sains secara aplikasi serta membuka minda mereka terhadap inovasi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.”

Penganjuran program ini diharap dapat menyemai minat dalam bidang sains, inovasi dan keusahawanan lestari dalam kalangan generasi muda. Aktiviti seperti ini turut menjadi platform penting yang menghubungkan ilmu akademik dengan penerapan praktikal, sejajar dengan aspirasi pendidikan masa kini yang menyeluruh dan berimpak.

Last Updated on July 8, 2025

Translate »