Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Bubur Lambuk Retort UTHM & Komuniti: Warisan Tradisi, Sentuhan Inovasi

PANCHOR, JOHOR, 11 Mac 2025 – Para pensyarah Program Teknologi Makanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menganjurkan aktiviti memasak dan mengagihkan bubur lambuk menggunakan teknologi retort serta kaedah konvensional bersama komuniti Kampung Jawa, Panchor, Johor, sempena bulan Ramadan kali ini. Program ini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat setempat, tetapi juga memperkenalkan teknologi pemprosesan makanan moden yang mampu memanjangkan jangka hayat makanan tanpa penggunaan bahan pengawet.

Teknologi retort digunakan dalam penyediaan bubur lambuk bagi memastikan ia tahan lebih lama serta mengekalkan rasa dan kualitinya. Proses ini melibatkan pemanasan bubur lambuk dalam bekas kedap udara pada suhu dan tekanan tinggi, menjadikannya selamat untuk disimpan lebih lama tanpa perlu disejukkan.

Menurut penyelaras program, Prof. Ts Dr. Mohd Fadzelly Bin Abu Bakar, aktiviti ini merupakan salah satu inisiatif Program Teknologi Makanan UTHM dalam memperkenalkan inovasi pemprosesan makanan kepada masyarakat, selain memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aplikasi teknologi dalam industri makanan. “Kami ingin menunjukkan bahawa makanan tradisional seperti bubur lambuk juga boleh dikomersialkan dengan kaedah moden seperti teknologi retort, sekali gus membantu usahawan kecil meningkatkan daya saing produk mereka,” katanya.

Selain penyediaan bubur lambuk, program ini turut disertai oleh penduduk Kampung Jawa yang bergotong-royong dalam proses memasak, membungkus, dan mengedarkan bubur kepada penduduk setempat termasuklah pendudukan Kg Jawa, Kg Semasih dan Kawasan Panchor secara umumnya. Suasana muhibah dan semangat Ramadan jelas terpancar sepanjang program berlangsung.

Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Prof. Madya ChM. Ts. Dr. Hatijah Basri, turut hadir dan menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat. Beliau menekankan kepentingan teknologi makanan dalam memastikan keselamatan dan ketahanan makanan bagi masyarakat. “Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat tetapi juga membuka peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar. Kami di FAST sentiasa menyokong inisiatif sebegini dalam usaha memperkasakan teknologi makanan untuk pembangunan industri makanan halal dan kelestarian makanan di Malaysia,” katanya.

Progam ini mendapat kerjasama daripada Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), UTHM, yang turut menyokong inisiatif pemindahan teknologi kepada komuniti. Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Faridah Kormin, Pengarah ICRC, UTHM, penggunaan teknologi retort dalam penyediaan makanan bukan sahaja membantu memanjangkan jangka hayat tanpa penggunaan bahan pengawet, tetapi juga memastikan keselamatan makanan terjamin. “Teknologi ini sangat bermanfaat dalam industri makanan kerana ia mampu mengekalkan kualiti nutrisi dan rasa, selain berpotensi untuk dikomersialkan ke pasaran yang lebih luas,” katanya.

Penghulu Mukim Jorak Panchor, En. Mesafizam Bin Mesri, dalam ucapannya, turut menyatakan penghargaan kepada pihak UTHM atas usaha membawa teknologi makanan moden ke dalam komuniti mereka. “Ini satu ilmu yang sangat bermanfaat, terutama bagi mereka yang ingin menceburi bidang pemprosesan makanan. Kami berharap lebih banyak program seperti ini dapat dijalankan pada masa hadapan,” ujarnya.

Program ini diharapkan dapat menjadi platform berterusan bagi memperkasakan komuniti dengan pengetahuan teknologi makanan, sekaligus menyumbang kepada pembangunan industri makanan halal yang lebih mampan di Malaysia.

Disediakan oleh:

Prof. Madya Ts Chm Dr Hatijah Basri & Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzelly Bin Abu Bakar

Last Updated on March 18, 2025

Translate »