BiodiverCT 2026: UTHM–KMJ Merentas Ilmu dan Alam Demi Pendidikan Lestari
PAGOH, 30 Januari 2026 — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi telah menganjurkan Program BiodiverCT 2026 dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) yang berlangsung di UTHM Kampus Pagoh.

Program yang diadakan dari 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari ini melibatkan seramai 34 orang pelajar dan 7 orang guru pengiring dari KMJ, dengan objektif utama untuk memperkasa kefahaman dan kesedaran terhadap kepentingan biodiversiti dalam kalangan pelajar prauniversiti.
Penganjuran program ini berada di bawah pelarasan Ts. Dr. Furzani binti Pa’ee, dengan sokongan barisan pensyarah daripada program Sarjana Muda Sains (Biodiversiti dan Pemuliharaan) dengan Kepujian, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM. Turut memainkan peranan penting ialah penglibatan aktif pelajar UTHM yang bertindak sebagai fasilitator dan urus setia dalam menjayakan keseluruhan pengisian program.

Program BiodiverCT 2026 telah dirangka berasaskan pendekatan pembelajaran bersepadu yang merangkumi tiga komponen utama. Aktiviti pertama ialah Slot Pengenalan kepada Biodiversiti oleh Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff bin Abu Bakar, yang memberi pendedahan asas berkaitan konsep biodiversiti, kepentingan ekosistem serta cabaran pemuliharaan alam sekitar semasa. Slot ini bertujuan membina kefahaman awal dan minat terhadap bidang biodiversiti dan sains alam sekitar.
Aktiviti kedua melibatkan lawatan ke makmal UTHM Kampus Pagoh, di mana para peserta diperkenalkan kepada kemudahan makmal serta kaedah asas yang digunakan dalam kajian biodiversiti dan pemuliharaan. Lawatan ini memberi gambaran awal kepada peserta mengenai suasana pembelajaran dan penyelidikan di peringkat universiti.




Program diteruskan dengan eksplorasi lapangan di Wetland UTHM, yang memberi peluang kepada peserta menjalankan pemerhatian secara langsung terhadap ekosistem tanah lembap. Aktiviti ini menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui pemerhatian biodiversiti, pengenalpastian spesies dan pemahaman fungsi ekosistem secara praktikal.
Secara keseluruhannya, Program BiodiverCT 2026 berperanan sebagai platform pemindahan ilmu dan pembelajaran dua hala antara UTHM dan KMJ. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar KMJ dari segi pendedahan awal kepada bidang biodiversiti, malah memperkukuh kemahiran insaniah pelajar UTHM melalui penglibatan aktif dalam kepimpinan, komunikasi saintifik dan pengurusan program. Inisiatif seumpama ini mencerminkan komitmen Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar serta memperkukuh peranan universiti sebagai rakan strategik kepada komuniti pendidikan dan masyarakat.
Last Updated on February 9, 2026