BENGKEL ASAS DAN PENGAWALAN JARAK JAUH ROBOTIK PERKASA MINAT STEM DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH RENDAH
Pagoh, 21 Mei 2025 – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) – Kampus Cawangan Pagoh melalui Jabatan Fizik dan Kimia telah menganjurkan Bengkel Asas Robotik dan Bengkel Pengawalan Jarak Jauh Robotik yang melibatkan penyertaan seramai 16 orang guru dan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Kampung Raja.

Program ini dilaksanakan secara berfasa pada 19 Mac, 15 dan 23 April serta 21 Mei 2025, bertempat di Makmal Gunasama Matematik 2, UTHM Kampus Cawangan Pagoh, dengan objektif utama untuk memperkenalkan asas robotik kepada pelajar sekolah rendah dan memperkukuh minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Bengkel ini telah dikendalikan oleh pensyarah dari Jabatan Fizik dan Kimia, iaitu Dr. Nurul Nadia Adnan dan Dr. Fahmiruddin bin Esa.Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah mengikuti empat modul utama yang merangkumi asas pengaturcaraan menggunakan Micro:bit, pengawalan gerakan motor, reka bentuk 3D menggunakan perisian TinkerCAD dan teknik pencetakan 3D.
Pendekatan bengkel yang bersifat praktikal dan mesra pengguna telah memberi peluang kepada para pelajar untuk meneroka kemahiran baru dalam bidang teknologi dan inovasi, di samping mendedahkan mereka kepada peralatan dan perisian yang digunakan dalam pembangunan robotik.
Pihak penganjur berharap agar penganjuran program seumpama ini dapat memperluas akses pelajar sekolah kepada bidang STEM dan seterusnya mencetus inspirasi kepada mereka untuk meneruskan pengajian dalam bidang sains dan teknologi pada masa hadapan.







Last Updated on May 22, 2025