Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

SRIPE 2026: Medan Penyelidik Muda FAST Serlah Potensi Inovasi

Pagoh, Johor – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dan Program Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) telah berjaya melakar sejarah tersendiri menerusi penganjuran sulung Student Research and Innovation Poster Exhibition (SRIPE) 2026 baru- baru ini.

Program selama dua hari yang berlangsung pada 13 hingga 14 Januari 2026 di Dewan A9, Kolej Kediaman Pelajar, UTHM Kampus Pagoh ini menjadi platform penting kepada seramai 140 orang pelajar tahun akhir, terdiri daripada 101 pelajar Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) (BWD) dan 39 pelajar Program Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) (BWW), untuk mempamerkan hasil penyelidikan serta inovasi Projek Sarjana Muda masing-masing kepada umum.

Selain penilaian oleh juri profesional dalam kalangan pensyarah, program ini turut diperkukuh dengan penglibatan 14 panel industri daripada pelbagai agensi dan syarikat terkemuka, antaranya Farm Fresh Milk Sdn. Bhd., McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn. Bhd., Budayatama Corporation Sdn. Bhd., GHS Food Industries Sdn. Bhd., Epic Ingredients Sdn. Bhd., Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd., MBF Holdings Sdn. Bhd., Synergy One Holding Sdn. Bhd., Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Pahang, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Pusat Keselamatan Makanan Kebangsaan.


Program ini turut diserikan dengan slot perkongsian eksklusif bertajuk “Food Innovation from Industry Perspective” yang disampaikan oleh Penasihat Industri, Encik Khairul Nizam Yaakob, Ketua Serantau Hal Ehwal Kawal Selia dan Pematuhan Makanan, Asia Pasifik, Jacobs Douwe Egberts RTL SFM MY Sdn. Bhd. Perkongsian tersebut memberi pendedahan bermakna kepada pelajar mengenai realiti pembangunan produk inovatif serta keperluan pematuhan industri selaras dengan kehendak pasaran semasa.

Majlis penutup SRIPE 2026 telah disempurnakan oleh Dekan FAST, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura Binti Awang yang turut menyampaikan anugerah kepada para pemenang. Bagi Program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) (BWD), pingat Emas telah dimenangi oleh Theventhira Rau Anandan, diikuti pingat Perak oleh Nur Mardhiah Musfirah Binti Aminudin dan pingat Gangsa oleh Nur Afiqah Binti Zulkpli, manakala Nur Ain Sofea Binti Mohd Efandi telah menerima Anugerah Pilihan Industri. Sementara itu, bagi Program Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) (BWW), Yeoh Jing telah dinobatkan sebagai pemenang pingat Emas, diikuti Nuraisyah Farhana Binti Ab Hadi (Perak) dan Mumtaz Murfiqah Binti Mazdi (Gangsa), manakala Aliyah Adriana Binti Mohammad telah menerima Anugerah Pilihan Industri.

Dalam ucapannya, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura merakamkan penghargaan atas komitmen tinggi Pengarah Program, Prof. Madya Chm. Dr. Norhayati Binti Muhammad, bersama seluruh jawatankuasa pelaksana dalam menjayakan program yang berimpak ini. Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap semangat, kesungguhan dan daya saing yang ditunjukkan oleh para peserta. “Menang atau kalah bukanlah penentu segalanya. Perkara paling utama ialah proses pembelajaran, pengalaman serta ilmu yang diperoleh sepanjang penglibatan dalam SRIPE 2026. Program ini wajar diteruskan sebagai agenda tahunan fakulti dalam usaha melahirkan graduan UTHM yang unggul, kompeten dan berdaya saing di peringkat global,” ujar beliau.

Secara keseluruhannya, SRIPE 2026 terbukti menjadi platform persediaan akhir yang efektif dalam memperkasa pelajar dengan pengalaman pembentangan profesional serta pendedahan kepada keperluan sebenar industri. Kesinambungan penganjuran program ini amat signifikan dalam melahirkan graduan UTHM yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing selaras dengan keperluan industri semasa.

Disediakan oleh:
Dr. Hana Syafiqah binti Sayeed Ibrahim & Ts. Dr. Salasiah Binti Mohamad
Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Last Updated on February 4, 2026

Translate »