Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

INSPIRASI MADANI: MENCIPTA GENERASI PEDULI

12–14 Disember 2025, Tanjong Karang, Selangor – Program Inspirasi MADANI: Mencipta Generasi Peduli merupakan inisiatif berimpak tinggi yang dianjurkan oleh pelajar Program Sarjana Muda Sains (Analitik Data Komputasi) dengan Kepujian, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Sungai Kajang, Tanjong Karang, Selangor. Program berbentuk anak angkat selama tiga hari dua malam ini telah berjaya menghimpunkan mahasiswa, komuniti setempat serta pelbagai pihak berkepentingan dalam satu ekosistem pembelajaran berasaskan pengalaman, empati dan pemindahan ilmu dua hala.

Program ini melibatkan seramai 73 orang pelajar Analitik Data Komputasi dan seorang pelajar Matematik Teknologi UTHM, yang ditempatkan bersama 24 keluarga angkat dalam kalangan penduduk Kampung Sungai Kajang. Pendekatan ini memberi pengalaman hidup bermakna kepada mahasiswa, sekali gus membina hubungan kekeluargaan dan kepercayaan yang mendalam antara universiti dan komuniti.

Program Inspirasi MADANI dirangka dengan pendekatan turun padang secara menyeluruh merangkumi elemen pembangunan komuniti, pemindahan pengetahuan, kesukarelawanan, keprihatinan sosial, kerohanian serta pendedahan kepada industri desa. Ia bukan sekadar program khidmat masyarakat, malah menjadi wadah pembentukan sahsiah mahasiswa melalui penglibatan langsung dengan realiti kehidupan masyarakat luar bandar.

Elemen knowledge transfer dua hala menjadi teras utama pelaksanaan program, di mana mahasiswa UTHM berkongsi ilmu asas berkaitan literasi digital dan kemahiran teknologi kepada komuniti setempat. Pada masa yang sama, komuniti turut menjadi sumber pembelajaran autentik kepada mahasiswa melalui perkongsian nilai kehidupan, budaya setempat, keusahawanan desa serta semangat kebersamaan sosial. Interaksi ini membuktikan bahawa universiti dan komuniti saling melengkapi dalam membina masyarakat yang berdaya, inklusif dan mampan.

Antara pengisian paling menyentuh emosi ialah Lawatan Titipan Kasih kepada golongan B40 terlantar yang bukan sahaja membuka mata mahasiswa terhadap realiti kehidupan, malah menjadi detik keinsafan yang menjentik hati dan menyuburkan nilai empati serta rasa tanggungjawab sosial. Program ini turut menzahirkan inisiatif UTHM Prihatin melalui penyampaian sumbangan kepada ibu tunggal, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang cakna terhadap kebajikan masyarakat.

Dalam aspek pendedahan ekonomi dan keusahawanan, mahasiswa telah mengikuti lawatan industri ke IKS tempatan, di mana mereka didedahkan kepada proses penyediaan makanan serta rantaian pengeluaran daripada padi sehingga menjadi beras. Lawatan ini memberi kefahaman kontekstual tentang kecekalan usahawan desa, kelangsungan industri tempatan serta potensi aplikasi data dan analitik dalam menyokong pembangunan ekonomi komuniti.

Program ini turut diperkaya dengan pengisian kerohanian melalui solat Subuh berjemaah di Masjid Ar-Raudhah dan ceramah khas bertajuk “Cabaran Anak Muda Zaman Kini: Iman Sebagai Perisai” yang disampaikan oleh Datuk Dr. Mohd Mohadis bin Yasin, Nazir Masjid Ar-Raudhah. Pengisian ini menekankan keseimbangan antara kecemerlangan intelek dan kekuatan spiritual dalam pembentukan jati diri mahasiswa.

Aktiviti senamrobik bersama komuniti setempat yang dipimpin oleh mahasiswa UTHM, diikuti program santai bersama keluarga angkat serta sukan rakyat di pantai, berjaya mewujudkan suasana mesra, mengeratkan hubungan sosial dan memperkukuh nilai kekitaan antara universiti dan masyarakat.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Afandi bin Ahmad, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, dan turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura binti Awang, Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, serta YBrs. Tuan Haji Azimi bin Hj. Samsuddin, Pengerusi JPKKP Kampung Sungai Kajang.

Dalam amanatnya, Provost UTHM menzahirkan harapan agar program seumpama ini diteruskan dan diperkasakan sebagai agenda berimpak tinggi universiti. Beliau turut menggalakkan Program Analitik Data Komputasi untuk terus meneroka sumbangan berasaskan kepakaran, antaranya pembangunan pangkalan data komuniti bersepadu, pengurusan data sosial dan menjadikan Kampung Sungai Kajang sebagai case study berasaskan data bagi pembelajaran dan penyelidikan mahasiswa.

Program ini telah dilaksanakan di bawah bimbingan Penasihat Program, Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin, dan dipimpin oleh barisan pelajar dengan Saudari Cik Salwa Md Saidi sebagai Pengarah Program. Kepimpinan mahasiswa yang tersusun dan berdisiplin ini menjadi bukti keupayaan pelajar UTHM untuk merancang dan melaksanakan program komuniti berskala besar secara profesional dan berimpak.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Datuk Sulaiman Abd Razak, Pengerusi JPKKP Parlimen Tanjong Karang, yang sekali gus menandakan berakhirnya satu perjalanan bermakna yang telah meninggalkan kesan mendalam kepada mahasiswa dan komuniti setempat.

Pelaksanaan program ini turut disokong oleh penajaan dan sumbangan daripada Sunshine Bread Sdn. Bhd., Faztech Services, Team Selangor, LUNOS2025, Lucky Eight Resources Sdn. Bhd., serta individu-individu yang menghulurkan sumbangan dengan penuh keikhlasan. Sokongan ini mencerminkan keyakinan pelbagai pihak terhadap usaha universiti dalam memupuk generasi muda yang peduli dan bertanggungjawab.

Secara keseluruhan, Inspirasi MADANI: Mencipta Generasi Peduli telah membuktikan bahawa pendidikan sebenar berlaku apabila ilmu digabungkan dengan pengalaman, data disertai empati, dan kecerdasan intelek diseimbangkan dengan kepekaan hati. Program ini menjadi manifestasi komitmen UTHM dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berjiwa besar, berakhlak dan bersedia menjadi agen perubahan kepada masyarakat dan negara.

#UTHMPRIHATIN #ANALITIKDATAKOMPUTASI

Last Updated on December 17, 2025

Translate »