Ceramah Industri “Chemometric in Industrial Chemistry” Persiap Graduan Kimia Industri FAST UTHM Mendepani Dunia Digital
PAGOH, 24 November 2025 – Program Sarjana Muda Sains Kimia Industri dengan Kepujian (BWK), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Ceramah Industri “Chemometric in Industrial Chemistry” yang berlangsung dengan jayanya. Program ini dilaksanakan di bawah bimbingan ChM. Dr. Mohammad Arif Budiman Pauzan, selaku penasihat program yang komited memastikan setiap pelajar BWK benar-benar bersedia memasuki dunia industri moden.

Program yang menghimpunkan 84 pelajar BWK ini menampilkan dua tenaga pakar industri yang juga penasihat industri BWK, iaitu ChM. Abdul Rahim Othman dan Ts. ChM. Muhammad Zamir bin Othman, masing-masing membawa pengalaman besar dalam transformasi digital, kimia industri dan pembangunan produk berasaskan data.
Dalam sesi pertama, ChM. Abdul Rahim Othman mencuri tumpuan apabila mempersembahkan aplikasi perisian Uncrambled secara langsung—peralatan chemometric penting yang digunakan di makmal, kilang dan pusat R&D syarikat-syarikat kimia terkemuka. Melalui demonstrasi berimpak tinggi, pelajar menyaksikan bagaimana analisis multivariat digunakan untuk menyelesaikan isu variasi proses, meningkatkan konsistensi produk dan membuat keputusan berdasarkan data sebenar industri. Ramai pelajar mengakui sesi ini membuka minda mereka terhadap kepentingan kemahiran digital dalam kerjaya kimia masa kini. Slot kedua pula diterajui oleh Ts. ChM. Muhammad Zamir bin Othman, pengasas Sugarbomb Worldwide Sdn. Bhd., yang membawa pendekatan Problem-Based Learning (PBL) dengan gaya penyampaian yang penuh inspirasi. Beliau mencabar pelajar untuk melihat situasi industri sebenar dan mencari penyelesaian menggunakan pendekatan chemometric, sama seperti yang diamalkan oleh syarikat minyak wangi, kosmetik dan kimia pengguna. Pendedahan langsung kepada masalah dan strategi sebenar industri menjadikan pelajar lebih memahami realiti kerja dalam sektor pembuatan moden.

Program ini menjadi platform penting bagi pelajar BWK yang bakal menjalani Work-Based Learning (WBL) selama setahun di bawah kursus Digitalization in Industry (BWK30402). Melalui ceramah industri ini, pelajar bukan sahaja mendapat gambaran jelas mengenai aplikasi chemometric, malah semakin bersemangat untuk melangkah ke industri setelah memahami bagaimana teknologi analisis data digunakan dalam operasi harian syarikat. Menurut pihak penganjur, ceramah ini bukan sekadar perkongsian ilmu tetapi strategi jangka panjang dalam memastikan graduan UTHM—khususnya BWK—benar-benar industry-ready, kompeten dan mampu menyumbang dalam ekosistem industri kimia serta transformasi digital negara. Usaha ini sekali lagi membuktikan keupayaan UTHM sebagai hab TVET dan rujukan industri yang semakin mendapat pengiktirafan.


#GTU2030 #FASTUTHM #UTHMProducesProfessionals
Last Updated on December 12, 2025