30 Pelajar Sulung Program Teknologi Makanan UTHM Sertai Kursus Pensijilan Profesional Eksekutif Halal JAKIM
PAGOH – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Kerjasama UTHM Bitara dan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ), sebuah Pusat Latihan Halal (PLH) berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), telah menganjurkan Program Pensijilan Profesional Eksekutif Halal JAKIM pada 16 -18 dan 21 – 24 Julai 2025 bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.
Program ini bertujuan melengkapkan pelajar dengan kemahiran profesional Eksekutif Halal sebagai nilai tambah yang relevan dengan keperluan industri halal, sekali gus meningkatkan peluang penempatan industri serta prospek kerjaya pada masa hadapan.
Program yang julung kali diadakan ini disertai oleh 30 orang pelajar Tahun 3 Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian. Sepanjang tujuh hari program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai pengisian teori dan praktikal, diakhiri dengan penilaian bagi setiap modul.
Menurut salah seorang peserta, Muhammad Nur Syazwan bin Samsudin, salah satu latihan praktikal untuk pengisian Modul Audit Dalaman Halal, yang melibatkan tiga premis makanan di Kampus Cawangan Pagoh, merupakan pengalaman yang amat berharga kerana memberi peluang kepada pelajar untuk melaksanakan audit di premis sebenar, sekali gus mengukuhkan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah
Program ini digerakkan oleh Tenaga Pengajar Halal (TPH) yang diiktiraf JAKIM terdiri daripada Dr. Hj. Muhammad Suhaimi bin Datuk Hj Sulong, Prof. Madya Ts Dr Norazlin binti Abdullah, Prof. Madya Ts Dr Faridah binti Kormin, Dr. Fazleen Izzany binti Abu Bakar, Dr. Nur Hafizah binti Malik, dan Dr. Wan Ainaa Mardhiah binti Wan Zahari.
Pengarah program, Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad, yang turut bertindak sebagai TPH, menyatakan bahawa para peserta menunjukkan komitmen tinggi serta kerjasama yang baik sepanjang kursus berlangsung, di samping berjaya menamatkan penilaian teori dan praktikal dengan cemerlang.
Penulis dan Penulis Bersama:
- Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad
- Dr. Hj. Muhammad Suhaimi bin Datuk Hj Sulong
- Dr. Nur Hafizah binti Malik
- Dr. Fazleen Izzany binti Abu Bakar
- Prof. Madya Ts Dr Norazlin binti Abdullah




Last Updated on September 24, 2025