30 orang Komuniti Bandar Muar Diperkasa Melalui Kursus Latihan PengendaliMakanan Percuma di bawah Geran Komuniti@UniMadani
Muar, 29 Ogos 2025 – Seramai 30 orang komuniti Bandar Muar, kebanyakannya terdiri daripada pengusaha dan peniaga dari rumah (home-based), telah berjaya melengkapkan diri dengan ilmu keselamatan makanan melalui Kursus Latihan Pengendali Makanan yang diadakan di Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC) Muar hari ini.
Program penting ini dibiayai melalui Geran Komuniti@UniMadani, daripada Kementerian Kewangan Malaysia. Program hari ini merupakan Fasa 1, di bawah tajuk Program Rantaian Inovasi Dan Pembuatan Makanan Difortifikasi Mesra Usia Oleh Komuniti Pesara Mukim Muar: Pemakanan Sihat & Peluang Baharu. Ia dilaksanakan hasil kerjasama strategik pelbagai pihak, termasuk Komuniti Bandar Muar, kumpulan fokus Future Food x Living Lab Bandar Muar, dan Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC).
Inisiatif ini turut mendapat sokongan padu daripada pejabat Ahli Majlis Zon 9 (Maharani B), Majlis Perbandaran Muar, sebagai usaha untuk meningkatkan taraf usahawan tempatan.
Kursus ini telah disampaikan oleh penceramah bertauliah dan berpengalaman, PM Ts. Dr Faridah Kormin. Beliau berkongsi pengetahuan mendalam merangkumi aspek kebersihan diri, amalan pengendalian makanan yang betul, dan langkah-langkah pencegahan keracunan makanan selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut penyelaras kumpulan fokus Future Food dari Fakulti Sains Gunaan & Teknologi,
UTHM, PM Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi, program ini diadakan bagi memberi manfaat langsung kepada para peserta. Jelas beliau, matlamat utamanya adalah untuk membantu mereka memenuhi salah satu syarat utama dalam pendaftaran perniagaan makanan.
“Sijil penyertaan yang diterima akan membolehkan mereka menjalankan operasi perniagaan dengan sah, selamat, dan lebih yakin,” tambahnya.
Turut hadir memberikan sokongan dalam program ini ialah rakan-rakan akademik dari UTHM, iaitu PM Dr. Hamizah Mohd. Safuan dan Profesor Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar. Kejayaan program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak kursus kemahiran pada masa hadapan, sekaligus menyumbang kepada pembangunan komuniti usahawan yang berdaya saing dan mampan di Bandar Muar.




Last Updated on September 24, 2025