24 Usahawan Mikro dan Kecil Daerah Muar Timba Ilmu Baharu Melalui Kursus Kesedaran Halal dan Latihan Pengendali Makanan
PAGOH – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ), sebuah Pusat Latihan Halal (PLH) berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Pusat Kepimpinan Dan Kompetensi (PKK), telah menganjurkan Program Kursus Kesedaran halal dan Latihan Pengendali Makanan pada 06 Ogos 2025 yang lalu.
Program ini bertujuan mengukuhkan hubungan kolaboratif antara UTHM dan komuniti industri makanan daerah Muar dalam usaha menghasilkan makanan selamat melalui pemerkasaan amalan Halal secara berterusan dalam kalangan pengusaha mikro dan kecil,
Kursus ini telah disertai oleh 24 orang pengusaha dan pengendali makanan daerah Muar, antaranya daripada pengusaha restoran, pengusaha produk ikan pekasam, pengusaha bakeri, pengusaha produk ketupat palas sejuk beku dan lain-lain lagi. Menurut salah seorang wakil penerima manfaat iaitu En Ibrahim bin Sudin selaku Pengerusi RT Progresif Parit Tarom, menyatakan program yang dianjurkan amat membantu pengusaha makanan mikro dalam memenuhi keperluan pemasaran produk tempatan. Beliau berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Penceramah terdiri daripada Dr. Munira binti Zainal Abidin yang merupakan Tenaga Pengajar Halal (TPH) JAKIM bertauliah dan Prof. Madya Ts Dr Faridah binti Kormin, yang merupakan TPH dan juga tenaga pengajar sekolah pengendali makanan bertauliah Bahagian Keseihatan dan Keselamatan Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pengarah program, Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad, menyatakan bahawa para peserta menunjukkan komitmen tinggi serta kerjasama yang baik sepanjang program berlangsung.
Penulis dan Penulis Bersama:
- Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati binti Muhammad
- Dr. Hj. Muhammad Suhaimi bin Datuk Hj Sulong
- Dr. Nur Hafizah binti Malik
- Dr. Fazleen Izzany binti Abu Bakar
- Prof. Madya Ts Dr Norazlin binti Abdullah



Last Updated on August 14, 2025