
UTHM Biodiversity Festival 2026 Tarik Penyertaan Dari Pelbagai Negeri, Perkasa Kesedaran Biodiversiti dan Kelestarian Komuniti
PAGOH, 6 Jun 2026 – Program UTHM Biodiversity Festival 2026 @ Bandar Universiti Pagoh telah berlangsung dengan meriah bersempena sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa dan International FAST STEM Festival 2026 yang bertemakan “Acting Locally for Global Impact”. Program yang diadakan di Dewan A9 dan sekitar Bandar Universiti Pagoh ini berjaya menghimpunkan seramai 160 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar sekolah, pelajar universiti, agensi kerajaan, penduduk setempat serta orang awam. Menariknya, program ini turut menerima penyertaan dari beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak, membuktikan keupayaannya sebagai platform yang berjaya menghimpunkan komuniti pencinta biodiversiti dari seluruh negara.
Program anjuran Panel Sumber Semulajadi dan pelajar Program Sarjana Muda Sains Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Sime Darby Property dan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST). Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memperkasakan pemeliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar melalui pendidikan, kesedaran awam serta penglibatan komuniti, NEST memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini dan memperluaskan impaknya kepada masyarakat setempat.
Aktiviti dimulakan seawal jam 8.00 pagi menerusi pelepasan peserta bagi acara Mini Bird Race dan Pertandingan Fotografi Alam Semula Jadi. Para peserta diberikan tempoh selama tiga jam untuk merekodkan spesies burung di sekitar Bandar Universiti Pagoh. Penganjuran julung kali program ini berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai golongan yang berkongsi minat terhadap biodiversiti, pemerhatian burung dan pemuliharaan alam sekitar.

Bagi memeriahkan lagi program, pertandingan Mini Bird Race dan Pertandingan Fotografi Alam Semula Jadi turut menawarkan hadiah wang tunai dan hadiah iringan dengan jumlah keseluruhan tajaan bernilai RM5,000 yang disumbangkan oleh Sime Darby Property. Tajaan tersebut menjadi antara tarikan utama program serta mencerminkan komitmen Sime Darby Property dalam menyokong usaha pendidikan biodiversiti, pemerkasaan komuniti dan kelestarian alam sekitar. Inisiatif ini turut memberi galakan kepada masyarakat untuk lebih menghargai keunikan biodiversiti setempat melalui aktiviti pemerhatian burung dan fotografi alam semula jadi.
Program diteruskan dengan aktiviti mewarna yang melibatkan kategori murid tadika dan sekolah rendah. Selain itu, pelbagai pameran berkaitan biodiversiti dan kelestarian turut diadakan dengan penyertaan daripada NEST, Sime Darby Property, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM serta Persatuan Bulan Sabit Merah UTHM.
Pengunjung turut berpeluang mengikuti Forum Biodiversiti yang menampilkan dua panel jemputan iaitu wakil Sime Darby Property, Encik Izereen Mukri selaku Penolong Pengurus dan ahli ekologi, serta Presiden NEST, Encik Haji Sulaiman Salikan. Forum tersebut membincangkan topik berkaitan biodiversiti bandar dalam pembangunan perbandaran Sime Darby serta peranan komuniti dalam usaha memelihara biodiversiti. Sebagai NGO yang giat memperjuangkan pemuliharaan alam sekitar, NEST turut berkongsi pengalaman dalam melaksanakan program kesedaran dan penglibatan masyarakat bagi memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap pemeliharaan biodiversiti.






Majlis diteruskan dengan perasmian penutup yang disempurnakan oleh Yang Menjalankan Fungsi Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Ts. Dr. Abdul Mutalib Leman. Turut hadir ialah Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura Awang serta barisan timbalan dekan FAST.
Penganjuran UTHM Biodiversity Festival 2026 membuktikan bahawa usaha pemeliharaan biodiversiti memerlukan penglibatan pelbagai pihak merangkumi institusi pendidikan, sektor industri, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat. Program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan biodiversiti serta menggalakkan tindakan kolektif dalam usaha memelihara khazanah alam negara selaras dengan tema program, “Acting Locally for Global Impact”.
✨ Terima Kasih Kerana Menyokong Festival Biodiversiti UTHM 2026! ✨🌿
Jawatankuasa penganjur ingin merakamkan penghargaan yang setulus-tulusnya kepada semua penaja dan kolaborator yang telah menyumbang kepada kejayaan Festival Biodiversiti UTHM 2026.
Ucapan terima kasih yang istimewa kepada Penaja Utama kami, Sime Darby Property Sdn. Bhd., atas sokongan yang murah hati serta komitmen mereka terhadap kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti.
Kami juga amat berterima kasih kepada Kolaborator dan Penaja Utama kami, Nature Sustainable Ecosystem Society (NEST), atas kepakaran dan sokongan mereka yang tidak ternilai sepanjang program ini berlangsung.
Penghargaan kami juga ditujukan kepada: ☕ Kafe Dandan Pagoh Jaya 🖨️ Qubic Printing Bukit Gambir
Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada inisiatif yang bermakna ini dan membantu kami menerapkan rasa cinta yang lebih mendalam terhadap biodiversiti dan kelestarian alam sekitar.
Together, we conserve. Together, we sustain. 🌱💚
Last Updated on June 12, 2026