
Program SULAM STEMathics Camp 2026 pemangkin inovasi pengajaran dan pembelajaran matematik kepada sekolah angkat UTHM
Pagoh, 14 Jun 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi meneruskan tradisi penganjuran program tahunan STEMathics Camp 2026, sebuah inisiatif berimpak tinggi yang bertujuan memperkasakan minat dan penguasaan pelajar sekolah dalam bidang matematik, statistik, sains data dan teknologi digital. Program yang berlangsung selama 2 hari 1 malam (13 Jun 2026 – 14 Jun 2026) di UTHM Kampus Cawangan Pagoh ini berjaya menghimpunkan 111 orang pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 daripada enam buah sekolah angkat sekitar daerah Muar, Batu Pahat dan Tangkak.

Bertemakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) matematik, STEMathics Camp 2026 menampilkan pelbagai aktiviti interaktif yang menggabungkan teknologi, penyelesaian masalah, analisis data dan pembelajaran berasaskan pengalaman bagi membantu meningkatkan lagi kefahaman topik-topik matematik. Program ini dianjurkan oleh pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 Sarjana Muda Sains (Kepujian) Matematik Teknologi, Statistik Industri dan Analitik Data Komputasi di bawah Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM.
Antara pengisian utama program ialah ExploreSTATS, satu pertandingan berasaskan data yang mencabar peserta mengaplikasikan konsep statistik dalam situasi sebenar. Aktiviti ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang bagaimana data digunakan untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara saintifik. Selain itu, pertandingan Inovasi MathsStatsData turut memberi peluang kepada peserta menghasilkan idea kreatif yang mengintegrasikan matematik dengan teknologi digital.
Keunikan STEMathics Camp 2026 turut terserlah melalui penganjuran Bengkel EduGame Builder, PowerBI dan GeoGebra untuk guru dan murid, yang memberi pendedahan mengenai penggunaan pengaturcaraan komputer dan teknologi visualisasi data. Bengkel ini bertujuan memperkenalkan kaedah PdP yang lebih menarik, interaktif dan selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

Menurut penyelaras program, Profesor Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan dan Dr. Sabariah Saharan, penggunaan teknologi mampu mengubah persepsi pelajar terhadap matematik daripada subjek yang sukar kepada bidang yang menyeronokkan dan relevan dengan kehidupan harian. Pendekatan ini juga membantu meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi, kreativiti dan literasi data dalam kalangan pelajar.

Memperkasakan lagi pengisian program, sesi Mentor-Mentee MathsStats memberi peluang kepada mahasiswa UTHM berperanan sebagai mentor yang memberikan bimbingan secara individu (one-on-one) kepada pelajar sekolah. Pengisian slot yang memfokuskan kepada penyelesaian modul latihan bersama ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian hala tuju pengajian dan kerjaya STEM, malah membakar semangat peserta untuk memburu keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seterusnya melangkah ke menara gading.
Program turut diserikan dengan aktiviti Riadah Matematik, yang menggabungkan unsur matematik dalam senaman pagi bagi membuktikan bahawa pembelajaran matematik boleh dilaksanakan dalam suasana santai dan menyeronokkan.

Majlis penutupan perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Razak bin Johar, Pegawai SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Muar dan Profesor Ts. Dr. Abdul Mutalib bin Leman, Menjalankan Fungsi Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh bagi menyampaikan hadiah kepada wakil sekolah dan para pemenang. Turut mengiringi jemputan ialah Dr. Maria Elena Nor, Ketua Jabatan Matematik dan Statistik, Nuranisa Nuranisa Asyiqin binti Zainudin, Nor Aina Athirah binti Abdul Ghani, Rosalin binti Khalid dan Nurul Zayanah binti Izdwan selaku Pengarah program SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) di bawah kursus Kreativiti dan Inovasi (BWU10202).
Penganjuran STEMathics Camp 2026 membuktikan komitmen berterusan UTHM dalam memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti sekolah serta mempromosikan pembelajaran matematik yang lebih inovatif, kreatif dan berteraskan teknologi. Program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan minat pelajar terhadap STEM, malah memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka potensi bidang matematik, statistik dan sains data sebagai pemacu pembangunan negara pada masa hadapan.
Laporan disediakan oleh: PM Dr Hamizah Mohd Safuan dan Dr Sabariah Saharan
Last Updated on June 18, 2026