
PROGRAM SULAM GREENPRENEUR: INOVASI SISA MAKANAN MENJADIPRODUK BERNILAI TINGGI
Pagoh, 22 Mei 2026 – Seramai 55 pelajar kursus Kreativiti dan Inovasi (BWU 10202) Seksyen 3, yang majoritinya terdiri daripada pelajar Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), telah menyertai Program SULAM GreenPreneur: From Waste to Market yang berlangsung di Foyer Aras 1, Bangunan A1, UTHM Kampus Cawangan Pagoh. Program ini merupakan sebahagian daripada penilaian kursus tersebut dan dikendalikan oleh Dr. Farawahida Binti Abdul Halim dan Ts. Dr. Aida Sarina Binti Aridi. Program ini mengintegrasikan konsep Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti melalui pendekatan pembelajaran berasaskan perkhidmatan.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pengurusan sisa makanan secara lestari, di samping memupuk elemen kreativiti, inovasi dan keusahawanan dalam kalangan pelajar. Menerusi program ini, pelajar dikehendaki melawat premis atau penjaja makanan bagi menemu bual pengusaha serta mengenal pasti dan mendapatkan sumber sisa makanan yang dihasilkan. Berdasarkan sisa makanan yang diperoleh, pelajar kemudiannya membangunkan produk makanan bernilai tambah yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Dalam pertandingan yang dianjurkan, setiap kumpulan membentangkan hasil inovasi masing-masing serta mempamerkan produk yang dihasilkan daripada pelbagai jenis sisa makanan seperti biji mangga, hampas tebu, kulit tembikai, kulit nanas, kulit pisang, lebihan nasi, dan sisa roti. Sebanyak 10 produk inovatif hasil kreativiti pelajar telah dipertandingkan dan dinilai oleh empat orang juri berdasarkan beberapa kriteria, termasuk laporan temu bual bersama pengusaha makanan, kreativiti pembentangan, tahap inovasi produk serta kreativiti pameran reruai. Tiga kumpulan yang memperoleh markah tertinggi telah menerima hadiah berupa hamper sebagai penghargaan atas usaha dan pencapaian mereka.



Program SULAM GreenPreneur: From Waste to Market membuktikan bahawa sisa makanan mempunyai potensi besar untuk ditransformasikan menjadi produk bernilai tinggi melalui aplikasi kreativiti dan inovasi. Malah, pertandingan ini menyaksikan penghasilan pelbagai produk unik, antaranya minuman soda probiotik daripada sisa roti yang memenangi tempat pertama, rempeyek daripada hampas tebu yang memenangi tempat kedua, serta sapuan berasaskan biji mangga yang memenangi tempat ketiga.
Program ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk menerima maklum balas daripada pensyarah, rakan pelajar dan pengunjung bagi menambah baik produk yang dibangunkan. Di samping itu, penyertaan dalam pertandingan ini berjaya meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan serta pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan pelajar. Aktiviti sebegini juga memberi pendedahan kepada mereka mengenai potensi pengkomersialan produk berasaskan sisa makanan yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi kitaran dan kelestarian alam sekitar.
Pelaksanaan program ini bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar melalui pengurangan sisa makanan, malah turut membantu melahirkan graduan yang berdaya saing, berfikiran inovatif dan mampu menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Melalui inisiatif seumpama ini, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM terus komited memperkasakan pembelajaran berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta kelestarian negara.
Laporan disediakan oleh: Dr Farawahida binti Abdul Halim
Last Updated on July 6, 2026