Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Perkasa STEM dan TVET: FAST Festival UTHM 2026 Sahut Seruan Negara Lahirkan Bakat Teknologi Masa Hadapan

PAGOH, 9 JUN 2026 – Telah berlangsung Majlis Perasmian FAST International STEM Festival 2026 bertempat di Pusat Konvensyen, Hub Pendidikan Tinggi Pagoh yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM. Festival gilang-gemilang yang memfokuskan kepada pemerkasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) ini turut dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari TVET Negara 2026. 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Penyelaras Johor Talent Development Council (JTDC), Encik Hilmy bin Hj Hussain dan dialukan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang juga Menjalankan Tugas Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Afandi bin Ahmad dan diiringi oleh En. Huzaimi Amir bin Zainudin iaitu Pengarah Seksyen Projek Khas Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (SPK HPTP), Prof. Ts. Dr. Abdul Mutalib bin Leman yang Menjalankan Fungsi Provost UTHM-Kampus Pagoh dan Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azura binti Awang selaku Dekan FAST. 

FAST International STEM Festival 2026 yang berlangsung selama seminggu bermula 6 hingga 14 Jun 2026 ini padat dengan pelbagai aktiviti menarik. Acara berskala besar ini dibuka penyertaannya kepada orang awam, guru, murid-murid sekolah, serta pelajar-pelajar universiti dan institusi pengajian tinggi. Antaranya program adalah Pagoh Mini Bird Race dan Pertandingan Fotografi, Biodiversity Forum, Pertandingan mewarna biodiversiti, sesi ceramah bersama industri, bengkel STEM, HUSSEIN ASCTEC: Pertandingan Inovasi, stesyen STEM, Food Intech 9.0, bengkel digital dan STEMathics Camp 2026. 

Kemuncak majlis perasmian pada pagi ini turut diserikan dengan sesi demonstrasi menarik oleh Pusat Sains Negara (PSN) bersama dengan bas pameran bergerak iaitu ‘Science On Wheels’ membawa bahan Sains lebih dekat dengan pengunjung festival. Selain itu, para hadirin turut disajikan dengan sesi perkongsian kepakaran daripada wakil universiti antarabangsa dan pihak industri menampilkan delegasi dari Universitas Airlangga, Indonesia serta syarikat Yakult Malaysia selain Pertandingan Inovasi HUSSEIN ASCTEC mendapat sambutan dari peserta antarabangsa dari Indonesia dan India. 

Turut dijalankan adalah pameran poster pembentangan projek akhir pelajar FAST yang menonjolkan hasil kajian terkini yang dinilai oleh pemeriksa dalaman, wakil industri dan alumni FAST. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut menyampaikan ceramah berkaitan pengurusan kewangan dan simpanan kepada lebih 200 pelajar tahun akhir FAST sebagai pendedahan sebelum melangkah ke alam pekerjaan kelak. 

Penganjuran festival ini menerima banyak jalinan kerjasama daripada pelbagai pihak korporat dan agensi yang bertindak sebagai juri projek dan pertandingan, antaranya Sime Darby, Nature Sustainable Ecosystem Society (NEST), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Jabatan Perangkaan Malaysia, STMicroelectronics, ATX Semiconductor, Skolar Sdn. Bhd., Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad, Rohde and Schwarz Technologies Malaysia Sdn. Bhd., Riskk.com Fintech Sdn Bhd, Merchantrade Sdn Bhd (Celcopon Sdn Bhd), SLB Malaysia, Angkatan Ellus Capital Sdn. Bhd. (Property Investment), Angkatan Ellus Capital Sdn. Bhd. (Property Investment), GXBank Berhad, Teleperformance Malaysia Sdn Bhd dan banyak lagi. 

Sinergi kolaborasi ini menjadi satu manifestasi bagi menyemarakkan lagi budaya inovasi serta mencetuskan minat generasi muda ke arah mendepani cabaran teknologi masa hadapan seterusnya melahirkan bakat teknologi kepada negeri Johor khususnya, dan Malaysia secara amnya. 

Laporan disediakan Oleh: Prof. Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan 

Last Updated on June 10, 2026

Translate »