Skip to main content
Official Portal of
Faculty of Applied Sciences and Technology

Memacu Industri Halal: UTHM Julang Kompetensi Pelajar Menerusi Kursus Sertu

UTHM Kampus Cawangan Pagoh, 13 Jun 2026 | Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama strategik Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ) telah berjaya menganjurkan Kursus Kompetensi Sertu bertempat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), pada 13 Jun 2026 yang lalu bagi memperkasakan kebolehpasaran graduan dalam industri Halal,.

Program berimpak tinggi ini dihadiri oleh seramai 42 orang mahasiswa daripada program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian, yang komited untuk melengkapkan diri dengan kemahiran luar daripada bilik kuliah.

Kursus intensif ini dimulakan dengan sesi pengisian teori menerusi slot ‘Fiqh Sertu’ yang disampaikan oleh Pengajar dan Jurusertu Profesional, Dr. Wan Ainaa Mardhiah binti Wan Zahari. Melalui slot tersebut, para peserta diberi pendedahan holistik mengenai rukun, syarat, serta konsep asas penyucian najis mughallazah mengikut perspektif Islam.

Bagi mengukuhkan pemahaman sertu dengan lebih mendalam dalam aspek sains, program diteruskan dengan slot kedua bersama Prof. Madya Dr. Balkis binti A. Talip yang mengupas topik ‘Aplikasi Sains dalam Sertu’. Kupasan secara saintifik ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami signifikansi dan hikmah amalan sertu berasaskan kajian biologi serta kimia moden. Sesi interaktif ini menyaksikan komitmen luar biasa daripada para pelajar menerusi sesi soal jawab yang rancak dan penuh pengisian.

Kemuncak program menyaksikan para peserta beralih ke Makmal Pembangunan Produk Makanan, UTHM bagi menjalani sesi praktikal yang dikendalikan oleh Dr. Nur Zainatul Nadra binti Zainol. Bagi memastikan keberkesanan latihan, kesemua peserta dibahagikan kepada lima kumpulan kecil untuk mengendalikan simulasi proses sertu yang sebenar.

Proses amali tersebut bermula daripada tatacara pemakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang betul, kaedah bancuhan air tanah mengikut sukatan syarak, sehinggalah kepada teknik menyuci aset serta peralatan dan mesin seperti Spray Dryer, Smoke House, Fridge, Gas Stove with Oven, Fish Deboner, Plate-Heat Exchanger, Autoclave dan Ice Maker Machine.

Menariknya, sesi praktikal ini turut dipantau dan dinilai secara langsung oleh Pengarah ISWAJ, Prof. Madya Dr. Khairun Nidzam bin Ramli, bersama Penolong Pengarah Unit Penguatkuasaan dan Pemantauan, Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Ustaz Haji Muhammad Suhadi bin Mesran. Beliau turut memastikan setiap langkah penyucian yang dilakukan oleh setiap kumpulan mematuhi piawaian dan garis panduan tegar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama. Malah, sesi maklum balas dan ulasan terperinci turut diberikan kepada setiap kumpulan sejurus amali selesai.

Di penghujung kursus, para pelajar diwajibkan menduduki sesi penilaian khas bagi melayakkan mereka menerima sijil kompetensi sebagai Jurusertu bertauliah.

Penganjuran kursus hasil sinergi FAST dan ISWAJ ini diharap dapat melahirkan modal insan yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah mahir dalam mengintegrasikan nilai praktikaliti hukum syarak. Pengiktirafan sijil kompetensi yang relevan dengan kehendak industri makanan Halal global ini dijangka akan menjadi nilai tambah yang signifikan, sekali gus membuka peluang penempatan latihan industri dan kerjaya yang lebih luas buat bakal graduan serta alumni UTHM.

Laporan disediakan oleh : Dr. Hana Syafiqah binti Sayeed Ibrahim, Dr. Noorakmar binti Ab Wahab

Last Updated on June 29, 2026

Translate »